Diterbitkan pada 4 Februari 2025, 08:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – 29 orang pelatih telah menerima bengkung tahap 1 dan diraikan dalam Majlis Tamat Tahap 1 Seni Silat Cekak Terlak Qhadirun (CTQ) di Dewan Orang Ramai Permatang Badak, baru-baru ini.

Majlis ini diadakan sebagai simbol kejayaan pelatih dalam menamatkan tahap pertama latihan silat ini dan turut dirasmikan Gelanggang Kg Chendering.

Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Tok 4 Lubuk Puyu, iaitu En. Roslan Mansur.

Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan harapannya agar gelanggang ini menjadi pusat latihan yang dinamik untuk pengembangan seni silat di kawasan tersebut dan berharap jumlah ahli CTQ akan bertambah dari semasa ke semasa.

”Program seperti ini bertujuan untuk memperkukuhkan jalinan silaturahim antara pelatih, jurulatih dan komuniti melalui aktiviti bersama”.

Program ini membuktikan komitmen Seni Silat CTQ dalam melahirkan generasi baru yang berdisiplin dan berwawasan dalam seni silat, serta terus memperkukuhkan kedudukan seni silat dalam kalangan masyarakat.

En. Ahmad Sallihin selaku Pengerusi CTQ berkata, objektif program ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian pelatih tahap 1 dan memberi penghargaan atas usaha serta kejayaan mereka.

Menurut beliau, ”Seni silat perlu diperkenalkan sebagai warisan budaya bangsa kepada masyarakat setempat dan hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat, termasuk komuniti dan ahli keluarga dapat diperkukuhkan melalui seni silat”.

Beliau juga menyatakan misi program untuk melahirkan pendekar berkualiti dengan disiplin, teknik dan adab yang tinggi, menonjolkan keunikan seni silat CTQ kepada masyarakat dengan lebih meluas dan meneruskan legasi seni silat kepada generasi muda untuk memastikannya terus berkembang dan dihormati.

Terdahulu, majlis ini telah dihadiri oleh lebih 80 orang tetamu, termasuk jurulatih, pelatih, ahli keluarga dan beberapa tetamu kehormat dari Persatuan Seni Silat Kuantan (Persilatan) serta komuniti setempat.

Persembahan Tari Buka Gelanggang oleh En. Ahmad Sallihin memeriahkan suasana sebelum diikuti dengan persembahan silat oleh pelatih yang telah berjaya menamatkan ujian tahap 1 mereka.

Persembahan orang lama CTQ turut diadakan dengan demonstrasi khas oleh ahli berpengalaman, memberikan gambaran mendalam tentang kekuatan dan keindahan seni silat ini.

Tidak ketinggalan, satu persembahan jemputan dari Persatuan Seni Silat Kuantan (Persilatan) turut memeriahkan acara. Program yang penuh dengan acara menarik ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian pelatih serta memasyarakatkan seni silat kepada komuniti setempat.

Majlis diakhiri dengan persembahan penutup dari Ketua Gelanggang Cawangan Bukit Rangin Aman dan Kg Chendering.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi