Diterbitkan pada 12 Februari 2025, 08:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Persatuan Ejen Pelancongan Guilin (GTAA) pada 10 Februari lalu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mengukuhkan kerjasama pelancongan antara Malaysia dengan China di Hotel Royal Signature.

MOU ini bertujuan meningkatkan perjalanan dua hala, memperkukuh pertukaran pelancongan dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas bagi kedua-dua negara.

Kerjasama ini juga dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026), kempen pelancongan utama Malaysia yang menyasarkan kedatangan 26.1 juta orang pelancong antarabangsa dan menjana hasil pelancongan sebanyak RM97.6 bilion.

Perjanjian Persefahaman antara MATA yang diwakili YBhg. Dato‘ Seri Dr. Mohd. Khalid Harun (kiri) dengan GTAA menerusi YBrs. Encik Li Yingfeng.

Melalui kerjasama ini, MATA dan GTAA akan memudahkan pengalaman perjalanan yang lancar antara Malaysia dengan Guilin, sebuah destinasi terkenal dengan landskap karst yang menakjubkan, warisan budaya, serta pemandangan Sungai Li yang indah.

Pihak berkepentingan pelancongan Malaysia juga akan bekerjasama rapat dengan GTAA untuk mempromosikan pelbagai tarikan Malaysia, dari tapak warisan UNESCO di Pulau Pinang dan Melaka hingga percutian pulau di Langkawi dan Sabah.

Ada empat manfaat utama kerjasama ini, iaitu Pertumbuhan Pelancongan Dua Hala, Peluang Perniagaan dan Pelaburan, Peningkatan Kesalinghubungan, dan Program Pertukaran Budaya.

Pertumbuhan Pelancongan Dua Hala merupakan kempen promosi bersama-sama untuk menggalakkan pelancong Malaysia menerokai Guilin, dan menarik pelancong China untuk menikmati warisan budaya, dan keindahan semula jadi Malaysia.

Peluang Perniagaan dan Pelaburan pula memperkukuh kerjasama B2B antara agensi pelancongan, penyedia hospitaliti, dan pengendali pelancongan di Malaysia dengan China.

Sementara Peningkatan Kesalinghubungan adalah usaha memperjuangkan peningkatan penerbangan langsung, dan penambahbaikan infrastruktur peralanan bagi menyokong kedatangan pelancong yang lebih tinggi.

Akhir sekali, Program Pertukaran Budaya merupakan inisiatif untuk memperdalam pemahaman dan penghargaan bersama-sama melalui festival, pameran, dan program pertukaran.

Menurut YBhg. Dato‘ Seri Dr. Mohd. Khalid Harun, Presiden MATA, kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting bagi sektor pelancongan Malaysia dengan China sebagai salah satu pasaran utamanya.

“MOU antara MATA dengan GTAA ini bukan sahaja akan meningkatkan pelancongan masuk, tetapi juga memberikan rakyat Malaysia lebih banyak peluang untuk menerokai keindahan Guilin,” jelas Dato’ Seri Dr. Mohd. Khalid.

Pandangan beliau dipersetujui YBrs. Encik Li Yingfeng, Naib Presiden GTAA yang menyatakan Malaysia adalah destinasi utama bagi pelancong China, menawarkan gabungan alam semula jadi, budaya, dan tarikan moden.

“Melalui kerjasama ini, kami yakin lebih ramai pelancong China akan memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka, terutama ketika kita menuju ke Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujar Li.

Penandatanganan MOU ini mencerminkan hubungan yang semakin erat antara Malaysia dengan China dalam sektor pelancongan, serta menegaskan komitmen kedua-dua persatuan dalam memacu pertumbuhan pelancongan yang mampan.

Dengan industri pelancongan global yang terus pulih, kerjasama ini dijangka membawa peluang baharu kepada perniagaan dan pelancong di kedua-dua negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi