Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAnimasi selalu mendapat tempat dalam hati penonton terutama kanak-kanak. Artikel ini menjelaskan konsep rupa bentuk mata yang dilakar dalam filem animasi.
Industri animasi memiliki pendekatan tersendiri dalam membentuk identiti visual watak. Satu daripada aspek dominan dalam rekaan watak ialah konsep rupa bentuk mata. Tiga kuasa besar dalam industri animasi global, iaitu Amerika Syarikat, Jepun China memiliki gaya yang tersendiri dalam mempersembahkan bentuk mata watak yang dihasilkan.
Konsep ini bukan sahaja berfungsi sebagai estetika artistik tetapi juga mencerminkan identiti budaya setempat. Dari mata bulat dan ekspresif dalam animasi Amerika yang menekankan realisme ke mata besar dan iris bercahaya dalam animasi Jepun hingga ke konsep mata daun willow yang panjang dan miring ke atas dalam animasi China. Setiap konsep dan gaya ini mencerminkan nilai budaya serta warisan seni masyarakat setempat.
Reka Bentuk Mata Animasi Amerika: Dari Realisme ke Geometri
Sejak awal abad ke-20 industri animasi Amerika mengalami evolusi dalam reka bentuk mata watak. Perubahan ini bukan sekadar refleksi terhadap perkembangan teknologi animasi tetapi juga cerminan nilai budaya masyarakat setempat.
Awal kemunculan filem animasi di Amerika Syarikat, pendekatan realistik telah mendominasi reka bentuk mata. Filem seperti Tarzan of the Apes (1918) menampilkan watak dengan mata yang lebih kecil dan seimbang dengan wajah, bertindak sebagai mengekalkan anatomi realistik. Manakala, teknik merotoskop yang digunakan dalam Snow White and the Seven Dwarfs (1937) menghasilkan ekspresi wajah yang naturalisme, dengan mata yang direka menyerupai dimensi semula jadi.
Seiring dengan perkembangan teknologi, reka bentuk mata industri animasi Amerika Syarikat telah berlaku perubahan ke arah pendekatan konsep geometri. Pada era 1980-an dan 1990-an konsep pembentukan rupa mata diperbesarkan untuk menonjolkan emosi.
Sebagai contoh dalam filem The Little Mermaid (1989), mata watak Ariel direka lebih besar bagi memperlihatkan keperibadian ceria dan emosi yang jelas. Begitu juga dalam filem The Lion King (1994), di mana reka bentuk mata yang besar berfungsi untuk menonjolkan perasaan mendalam dalam interaksi watak seperti Simba dan Mufasa.
Seterusnya, dalam era animasi digital membawa perubahan lebih ketara dalam konsep reka bentuk mata pada industri animasi Amerika. Filem Toy Story (1995) menjadi pelopor filem animasi yang menggunakan antara muka get laluan sepunya (CGI) yang menggunakan mata dengan proporsi besar dan menampilkan estetika ekspresif yang jelas.
Trend ini diteruskan dalam filem Finding Nemo (2003) dan Ratatouille (2007), di mana watak mempunyai mata yang bulat dan besar untuk menarik perhatian penonton.
Dalam filem animasi moden seperti Frozen (2013) dan Zootopia (2016), reka bentuk mata besar bukan sahaja memberi daya tarikan visual tetapi juga menyumbang kepada estetika ekspresi watak. Walaupun kebanyakan animasi Amerika cenderung menggunakan reka bentuk mata besar yang ceria dan ekspresif, terdapat variasi yang membawa pendekatan lebih gelap dan melankolik.
Perkara itu boleh dilihat dalam filem Corpse Bride (2005), Tim Burton menggunakan reka bentuk mata besar yang menonjol keluar sebagai estetika ekspresi tema ‘underworld’ yang bersifat gothik.
Mata Besar, Iris Berkilau dan Kelopak Mata Terputus: Ciri Identiti Lokal Anime Jepun
Industri animasi Jepun atau dikenali sebagai anime mempunyai gaya tersendiri dalam mempersembahkan konsep reka bentuk mata sebagai elemen estetika ekspresi utama.
Konsep mata besar dalam anime dapat dikesan sejak tahun 1950-an apabila Osamu Tezuka memperkenalkan reka bentuk watak bermata besar dalam filem Astro Boy (1963), mengambil inspirasi daripada filem animasi Disney seperti Snow White and the Seven Dwarfs (1937) dan Bambi (1942). Mata besar digunakan untuk memberikan kesan emosi yang lebih kuat dan menjadikan watak lebih mudah disukai oleh penonton.
Pada era 1970-an hingga 1980-an, anime mula mengalami perubahan dengan kepelbagaian dalam konsep reka bentuk mata yang bergantung kepada genre dan gaya penceritaan. Sebagai contoh, dalam filem The Rose of Versailles (1979), mata watak direka lebih luas dengan iris berkilau.
Sebaliknya, dalam anime aksi dan sains fiksyen seperti Mobile Suit Gundam (1979) dan Akira (1988), konsep mata lebih kecil dan realistik tetapi masih mengekalkan garisan mata yang tajam serta iris yang besar dan bercahaya sebagai elemen estetika ekspresi.
Hayao Miyazaki individu yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan penggunaan mata besar sebagai elemen utama dalam anime Jepun. Dalam filem seperti My Neighbor Totoro (1988), watak Mei dan Satsuki direka dengan mata besar dan bercahaya untuk menonjolkan kecomelan dan polos. Dalam Spirited Away (2001) dan Howl’s Moving Castle (2004), mata watak bukan sahaja direka secara estetika tetapi juga sebagai simbol ekspresi emosi yang mendalam. Justeru, konsep reka bentuk mata besar dan iris besar menjadikan anime Jepun berbeza daripada animasi Barat dan China.
Mata Daun Willow: Evolusi Reka Bentuk Mata dalam Animasi China
Konsep reka bentuk mata dalam animasi China mempunyai akar sejarah yang kuat. Berasaskan seni klasik dan opera tradisional. Mata panjang dan tirus dikenali sebagai mata daun willow merupakan ciri khas animasi China yang berakar daripada pengaruh seni kaligrafi dan lukisan Dinasti Tang.
Sebelum industri animasi berkembang, seni visual China sudah memiliki gaya tersendiri terutamanya dalam lukisan klasik dan opera tradisional seperti Opera Peking dan Opera Sichuan. Filem animasi klasik seperti Havoc in Heaven (1961) dan Nezha Conquers the Dragon King (1979) menampilkan watak dengan mata berbentuk tirus panjang yang menyerupai gaya lukisan Dinasti Tang.
Walaupun pada era 1980-an dan 1990-an terdapat pengaruh dari anime Jepun dan animasi Barat, animasi China tetap mengekalkan elemen identiti lokalnya dengan menyesuaikan reka bentuk mata yang lebih panjang dan sedikit membesar dari segi pupil.
Dengan perkembangan teknologi animasi digital dan 3D, reka bentuk mata dalam animasi China menjadi lebih realistik dan dinamik. Filem seperti White Snake (2019) dan New Gods: Nezha Reborn (2021) memperlihatkan perubahan besar dalam konsep reka bentuk mata. Mata watak direka dengan detailing pupil yang menarik.
Secara ringkas, reka bentuk mata dalam industri animasi bukan sekadar aspek estetika ekspresi tetapi juga medium untuk mengangkat identiti budaya setempat. Animasi Amerika cenderung ke arah geometri dan ekspresi ceria, anime Jepun menampilkan mata besar dengan kelopak mata terputus sebagai simbol ekspresi emosi, manakala animasi China mengekalkan elemen mata daun willow yang panjang.
Setiap pendekatan ini mencerminkan bagaimana budaya, sejarah dan teknologi mempengaruhi evolusi reka bentuk mata dalam industri animasi global menjadikannya lebih daripada sekadar elemen visual tetapi juga satu bentuk naratif identiti budaya.
__________________________________________
Dr. Ayu Haswida Abu Bakar merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan penulis skrip.
Penulisan ini diambil dan dirumuskan dari artikel He Ting dan Dr. Ayu Haswida yang disiarkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences Vol. 15, No. 01.