20 September 2022, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di DADI Cinema Pavilion, berlangsungnya penganjuran Festival Filem China yang pertama di Malaysia. Festival filem yang berlangsung selama empat hari bermula dari 15 hingga 18 September 2022 tersebut dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur.

Penganjuran festival filem yang pertama kali diadakan di Malaysia ini merupakan antara usaha berterusan Malaysia dengan China dalam meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi industri perfileman.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, festival filem tersebut bukan sahaja menjadi platform kepada pembuat dan penerbit filem kedua-dua negara untuk saling bertukar idea, tetapi juga adalah untuk mengenal pasti peluang kerjasama dalam membangunkan industri perfileman.

Filem On Your Mark arahan pengarah filem dari Malaysia, Chiu Keng Guan ditayangkan pada malam majlis perasmian festival tersebut. Filem ini berjaya memperoleh RM8.7 juta pada hari pertama tayangannya dan terus menjana keuntungan sehingga RM24 juta dalam tempoh dua hari tayangan, sekali gus menjadi filem nombor satu di China. Kejayaan filem ini juga membuktikan kemampuan bakat dan idea kreatif dari negara kita yang mempunyai kualiti hebat sebagai teraju dalam produksi bertaraf global.

YB Datuk Zahidi Zainul Abidin sewaktu sedang berucap.

“Saya amat berbangga kerana sebuah filem terbitan Malaysia mendapat perhatian dan menjadi tumpuan di negara China. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengalu-alukan semua produksi luar negara, khususnya dari Republik Rakyat China untuk menjalankan penggambaran filem di Malaysia. Saya juga percaya festival filem ini akan menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dengan China,” ujar YB Datuk Zahidi.

FINAS menawarkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk menarik pelaburan asing dalam penerbitan filem dan televisyen dengan menggunakan Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

Kerjasama strategik bersifat jangka masa panjang menerusi perjanjian kerjasama produksi antarabangsa antara dua negara tersebut yang sedang dimuktamadkan merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan daya saing ekonomi industri filem tempatan pada peringkat global.

Sepanjang empat hari Festival Filem China 2022 berlangsung di DADI Cinema Pavilion, sebanyak 20 buah filem ditayangkan dalam festival filem ini dengan 18 filem dari China dan dua filem dari Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.