Oleh Karmila Azmi
2 April 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pasaran seni China adalah yang kedua terbesar di dunia dengan jualan yang melonjak sebanyak 35 peratus pada tahun 2021. Justeru, tidak hairanlah apabila Dafen, iaitu sebuah kampung di pinggir bandar Longgang, Shenzhen, Wilayah Guangdong di China pernah disebut sebagai “kampung seni”.

Di Dafen terdapat kira-kira 8000 pelukis yang menghasilkan lukisan tiruan berdasarkan adi karya seni halus. Sebut sahaja karya Monalisa yang dihasilkan oleh Leonardo da Vinci, Starry Starry Nite (Vincent van Gogh) malah sehingga karya Cezzane atau Monet, semuanya mampu dihasilkan dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah. Di samping itu, mereka mampu melukis karya replika itu secara hampir sempurna seperti karya asal.

Pada waktu kemuncak sekitar awal tahun 2000, tiga daripada lima cat air yang dijual di seluruh dunia dihasilkan di kampung berkenaan. Cat air tersebut bukan hanya dijual dalam pasaran tempatan, bahkan hampir di seluruh dunia merentasi Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, eksport karya-karya seni itu mula merosot selepas tahun 2008 akibat kesan krisis kewangan global dan China kemudiannya menutup sempadan negara pada tahun 2020 kerana wabak pandemik COVID-19. Susulan itu, ada artis seni yang terpaksa menutup studio mereka.

Namun sejak China menamatkan polisinya yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 pada penghujung tahun 2022, jalan-jalan di Dafen kembali sesak dengan kehadiran para pelancong dari serata dunia. Jika dahulu artis seni di Dafen menjual lukisan replika karya Vincent van Gogh pada kadar  1500 yuan ($220), namun kini mereka turut menjual karya asli sendiri dengan harga 50 000 yuan.

Kunjungan para pelancong ke Dafen juga bukan sekadar untuk membeli lukisan, bahkan ramai yang datang mahu mempelajari teknik melukis. Namun begitu, kebanyakannya mencari salinan adi karya dengan harga yang murah. Misalnya, catan Madonna and Child yang dihasilkan oleh Duccio dijual pada harga serendah 50 yuan sekeping.

Sebaliknya, jika karya yang sama dilukis dengan tangan, maka harganya berlainan dan mampu mencecah sehingga 1500 yuan pula. Sebelum krisis wabak pandemik COVID-19 melanda dunia, Dafen dianggarkan mampu menghasilkan 60 peratus daripada hasil lukisan cat minyak untuk pasaran dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.