Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bermula dengan minat dan bergabung dengan bakat semula jadi, Roslan Razali yang merupakan anak kelahiran Kelantan tidak menoleh ke belakang lagi untuk merealisasikan cita-cita beliau dalam menghasilkan lukisan abstrak. Perkara ini menjadi realiti dan memberi semangat kepada beliau apabila semakin banyak mendapat pendedahan dalam bidang tersebut sama ada di dalam negara mahu pun di luar negara.
“Ketika di sekolah rendah, saya didedahkan dengan teknik asas melukis, iaitu mewarna dan melukis pelbagai flora dan fauna. Minat saya semakin meningkat setiap tahun sejak sekolah rendah sehingga bersekolah menengah. Pada tahun 1992, saya mewakili Sekolah Menengah Ciku 3 menyertai satu pertandingan melukis antara sekolah-sekolah dalam daerah Gua Musang.
Walaupun hanya berjaya mendapat tempat ketiga, namun hal tersebut memberi semangat kepada saya untuk menerokai bidang lukisan dengan lebih serius. Bersempena Pesta Wau 1994, saya menyertai Pertandingan Melukis Peringkat Kota Bharu dan sekali lagi saya mendapat tempat ketiga,” ujar Roslan yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan daripada Universiti Malaya (UM).
Selepas tamat alam persekolahan, Roslan aktif menyertai pelbagai pertandingan lukisan seperti Pertandingan Melukis Batik 1995 di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan. Roslan mendapat tempat kelima terbaik daripada 30 orang peserta yang menyertai pertandingan tersebut.
Seterusnya, Roslan menyambung pengajian di Akademi Seni Melaka dan UM. Selepas menamatkan pengajian di UM dalam bidang Drama dan Seni Persembahan pada tahun 2001, beliau mula kembali melukis secara serius.
“Saya mula menerokai penggunaan medium daripada akrilik dan melukis di atas kanvas. Pada awalnya, karya-karya yang dihasilkan hanya dijadikan sebagai hadiah kepada ahli keluarga terdekat. Namun setelah melihat hasil lukisan yang diberikan, mereka mencadangkan agar dijual kerana mereka berpendapat bahawa lukisan yang saya hasilkan mempunyai nilai komersial,” ujar Roslan yang menjadikan pelukis terkenal negara China, Wang Peidong sebagai idola beliau.
Kata-kata semangat daripada sanak saudara dan rakan taulan menyebabkan Roslan semakin bersemangat untuk bergiat aktif menghasilkan lebih banyak lukisan di atas kanvas. Bagi meningkatkan kemahiran diri, Roslan mengambil inisiatif berkunjung ke Guangzhou dan Shenzen, China serta Jakarta, Indonesia bagi melihat dan mempelajari teknik lukisan pelukis-pelukis terkenal di kedua-dua negara tersebut.
“Seperti yang kita maklum, senario industri lukisan di China dan Indonesia jauh lebih hebat berbanding Malaysia. Maka wajarlah saya mempelajari pelbagai pendekatan para pelukis-pelukis profesional di sana. Saya juga cenderung menghasilkan karya separuh realisme dan separuh abstrak kerana dekat dengan jiwa saya, sarat dengan pelbagai mesej serta mempunyai unsur-unsur moral kepada khalayak.
Sebagai contoh, saya melukis sebuah kereta Volkswagen yang terkandas semasa banjir akibat hujan lebat berlatarkan bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sewaktu pulang dari tempat kerja dan hal tersebut memberikan saya ilham tentang kejadian banjir yang berkait rapat dengan kelangsungan kehidupan warga kota di Kuala Lumpur yang sentiasa dihambat dengan kesesakan lalu lintas,” tegas Roslan.
Selain itu, Roslan gemar mengetengahkan subjek flora atau bunga-bungaan kerana memberi banyak konotasi kepada kehidupan manusia. Selain indah dan berwarna-warni, lukisan bertemakan bunga-bungaan memberi “nilai kehidupan” kepada ruang sama ada di dalam rumah, pejabat, kafe, restoran atau hotel yang menggantungnya.
“Pada pandangan saya, lukisan membawa suasana yang tersendiri. Jika kita lihat di ruang lobi hotel, lukisan memberi satu dimensi yang begitu indah. Selain mendapat ilham berdasarkan kejadian yang berlaku pada setiap hari, saya juga mendapat ilham untuk melukis subjek tertentu berdasarkan pembacaan dan kajian yang saya lakukan. Mungkin ada yang berpendapat bahawa melukis merupakan aktiviti yang mudah, terutamanya melukis lukisan abstrak. Hakikatnya, melukis memerlukan kemahiran yang tinggi selain bakat dan disiplin pengurusan masa.
Di samping itu, menyiapkan sebuah lukisan kadangkala mengambil masa sehingga bertahun-tahun. Selain perlu fokus, pelukis juga perlu mengetepikan hambatan-hambatan kerja yang sentiasa mengejar. Sebagai contoh, melukis adalah sebagai aktiviti sampingan jika kita bekerja tetap. Justeru, sudah pasti kita perlu mengutamakan pekerjaan tetap berbanding dengan melukis dan sebaliknya. Oleh sebab itu, melukis memerlukan disiplin dan fokus yang tinggi. Jika tiada keseriusan, maka objektif melukis tidak akan menjadi kenyataan,” ujar Roslan yang pernah menjadi Pengerusi Kelab Seni Lukis Sekolah Menengah Mulong, Kota Bharu.
Perancangan Masa Hadapan
“Sewaktu saya mengenali Pengasas Art Market Malaysia pada tahun 2019, beliau memberikan semangat kepada saya untuk lebih serius menghasilkan lebih banyak karya yang bermutu. Jika sebelum ini saya tidak menjangkakan bahawa lukisan saya akan dibeli oleh para peminat lukisan di negara ini, namun hal sebaliknya yang berlaku. Ramai peminat lukisan yang membeli karya-karya pelukis amatur seperti saya kerana Art Market Malaysia menyediakan platform yang mampu mempamerkan karya-karya yang saya hasilkan.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, jika seseorang pelukis tidak mempunyai latar belakang akademik yang formal dalam bidang seni tampak lukisan ini, maka pasti tidak mudah untuk menjual karya lukisannya dan sukar untuk dikenali oleh para pemain industri lukisan, terutamanya pengumpul (collector) yang berprofil tinggi.
Hal ini menjadi satu kekangan kepada para pelukis amatur seperti saya dan rakan-rakan pelukis yang lain. Namun dengan kewujudan Art Market Malaysia, saya dan para pelukis yang lain sangat bertuah dapat menjadi sebahagian daripada pelukis atau artis yang bernaung di bawah satu bumbung bagi menyelaraskan pelbagai aktiviti seni tampak seperti pameran dan jualan hasil seni yang dihasilkan,” terang Roslan lagi.
Impian dan Harapan
“Saya mempunyai impian untuk memiliki sebuah galeri seni yang bukan sahaja menjual hasil karya saya, bahkan menjadi pusat sehenti kepada para pelukis amatur menjayakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan seni tampak.
Selain pameran, galeri tersebut boleh dijadikan sebagai tempat untuk pertemuan para peminat seni tampak mengadakan forum, bengkel, pusat latihan, aktiviti dokumentasi dan pelbagai acara atau program tertentu. Setakat ini, saya berjaya menjual hampir 30 unit lukisan dengan pelbagai saiz.
“Walaupun saya tidak melanjutkan pengajian dalam bidang seni tampak pada peringkat sarjana, namun saya tetap mengasah bakat sebagai pelukis amatur apabila ada masa lapang. Saya melihat, menghasilkan lukisan yang berpotensi untuk menjana pendapatan sampingan,” jelas Roslan mengakhiri bicara.
Profil Pelukis
Nama: Roslan Razali
Nama komersial: Tunjong Garden
Tarikh Lahir: 28 Disember 1976
Tempat Lahir: Kampung Tunjong, Kota Bharu, Kelantan
Pendidikan:
– Sekolah Kebangsaan Mulong, Kota Bharu
– Sekolah Menengah Ciku 3, Gua Musang
– Sekolah Menengah Mulong, Kota Bharu
– Diploma Seni Penulisan, Akademi Seni Melaka
– Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Universiti Malaya
Pencapaian:
– Tempat ketiga, Pertandingan Melukis antara Sekolah-sekolah Daerah Gua Musang 1992.
– Tempat ketiga, Pertandingan Melukis, Pesta Wau 1994 peringkat Kota Bharu.
– Tempat kelima (Enam yang Terbaik), Pertandingan Melukis Batik 1995, Gelanggang Seni, Kota Bharu.
– Peserta Pameran Art Market Malaysia tahun 2019 hingga tahun 2023.
Hobi: Melukis dan berkebun
Moto hidup: “Hidup sentiasa belajar”
Instagram: @tunjongarden
Facebook: Tunjong Garden