Oleh Rasfan Abu Bakar
15 Mac 2023, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kartunis legenda tanah air, Abdul Fatah Ngah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Fatah Ngah yang popular dengan karya kartunnya, iaitu Lagak A. Mamud telah kembali ke rahmatullah pada 5 Februari 2023. Fatah Ngah meninggal dunia pada pagi hari Ahad di rumahnya, iaitu Kampung Alor Tembusu, Dungun, Terengganu kerana sakit tua.

Fatah Ngah yang mula melukis pada tahun 1978 untuk majalah Medan Pelajar dan Bambino merupakan antara generasi awal yang mula-mula menyertai majalah Gila-Gila. Sewaktu bersama dengan majalah Gila-Gila, beliau telah menghasilkan satu siri kartun yang menjadi “trademark” buat dirinya, iaitu Lagak A. Mamud.

Siri kartun Lagak A. Mamud mengangkat dialek negeri Terengganu sebagai bahasa pertuturan dalam kartunnya di samping watak A. Mahmud yang ranggi dan berfesyen tahun 60-an lengkap berkaca mata hitam dengan gaya rambutnya yang berjambul. Tidak lupa juga motor Vespa yang sentiasa menemani A. Mahmud walau di mana-mana sahaja dia berada.

Siri kartun Lagak A. Mamud karya Fatah Ngah sangat terkenal pada era tahun 1980-an.

Kartunis Fatah Ngah berjaya membuktikan bahawa kartun dan komik boleh menjadi alat yang berkuasa untuk mengekalkan warisan dan budaya. Medium ini boleh menyampaikan nilai budaya, tradisi dan kepercayaan dengan cara yang menghiburkan, menarik serta mudah untuk diakses oleh masyarakat yang luas.

Di samping itu, komik juga boleh menggambarkan peristiwa dan tokoh sejarah serta membantu mengekalkan warisan budaya untuk generasi akan datang. Selain itu, dengan menggambarkan budaya yang pelbagai secara positif, kartun dan komik dapat menggalakkan persefahaman dan toleransi budaya. Justeru, kartun dan komik memainkan peranan yang penting dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya.

Kartun Lagak A. Mamud boleh berfungsi sebagai satu bentuk dokumentasi kehidupan pada era tahun 60-an dan tahun 70-an. Siri kartun ini menggambarkan sikap, fesyen, teknologi dan peristiwa pada masa itu. Menerusi jenaka dan sindiran, pelbagai mesej boleh disampaikan dan merangkumi isu sosial, politik, pendidikan, hiburan dan lain-lain lagi.

Hal ini dikatakan demikian kerana kartun boleh menjadi sumber maklumat sejarah yang penting dengan membantu mengekalkan ingatan, gambaran unik kehidupan dan landskap budaya pada era tahun 60-an dan tahun 70-an untuk generasi akan datang.

Fatah Ngah juga sangat berjaya dalam penghasilan gaya lukisan kartun. Reka bentuk watak kartun yang dihasilkan oleh beliau menjadi sangat unik dan asli. Manakala karya kartun dan komik beliau mempunyai gaya tersendiri yang membezakannya daripada bentuk seni lain. Gaya tersebut terdiri daripada garisan ringkas dan minimalis kepada ilustrasi yang sangat terperinci serta boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti latar belakang pengalaman kartunis serta subjek yang dilukis.

Reka bentuk watak kartun juga penting kerana memainkan peranan utama dalam membentuk personaliti dan daya tarikan watak tersebut. Watak yang dihasilkan kebiasaannya ekspresif, emotif, menggunakan bahasa badan, ekspresi muka dan isyarat visual lain untuk menyampaikan perwatakan dan perasaan.

Elemen keaslian, gaya dan watak kartun yang unik menjadikan siri kartun Lagak A. Mamud begitu menarik dan kekal diingati oleh masyarakat. Gabungan lukisan berkualiti tinggi dengan reka bentuk watak yang cemerlang dapat menghasilkan kartun yang tidak dapat dilupakan dan sentiasa kekal relevan sepanjang zaman.

Bagi generasi muda pula, kita boleh melihat kartun sebagai sumber identiti negara. Kartun boleh menjadi gerbang waktu kepada nilai budaya, tradisi dan sejarah sesebuah negara. Di samping itu, kartun juga membantu dalam mendidik dan berkomunikasi dengan generasi muda tentang warisan budaya, identiti serta jati diri yang pernah dilalui oleh genarasi terdahulu.

Semoga komik dan karya kartun peninggalan kartunis Fatah Ngah akan dikenang hingga ke akhir zaman dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara. Allahyarham Fatah Ngah telah berjaya membuktikan bahawa kartun dan komik bukan sekadar hiburan semata-mata, bahkan merupakan satu khazanah yang menjadi rujukan tentang perjalanan untuk menjadi sebuah negara yang maju.

Jenazah Allahyarham Fatah Ngah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun, Terengganu. Pada tahun 2015, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kartunis Malaysia yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.