24 November 2022, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kehadiran pameran Beradong: Gugusan – Siri Terengganu di Muzium Negeri Terengganu boleh dikatakan sebagai kesinambungan daripada dua pameran yang mengkolaborasikan antara U-Wei Haji Saari dengan Faizal Sidik sebelum ini. Pameran “Wayang U-Wei Angkat Saksi” di Galeri 3A dan Galeri 3B di Balai Seni Negara pada tahun 2011 sebagai kurator bersama-sama adalah sebuah pameran yang menghimpunkan beberapa pengkarya dalam membuat interpretasi visual terhadap filem-filem arahan U-Wei. Dalam pameran ini, selain sebagai kurator bersama, penulisan “Dari Layar ke Kanvas” yang dihasilkan oleh penulis merupakan sebuah esei yang menghubungkan secara saintifik kedua-dua medium seni tampak dan filem.

Penulis (tengah berbaju hijau) bersama-sama para pengkarya seni anak jati Terengganu.

Pameran “Kali Ini Kita Bersama-Nusantara Sebahagian” di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara pada tahun 2019 pula mengangkat isu-isu kewanitaan di rantau Asia Tenggara. Dalam pameran ini, U-Wei memilih sebahagian daripada pelukis-pelukis wanita utama di rantau ini yang terdiri dari Patani, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Dalam pameran ini juga, sebuah esei disumbangkan oleh penulis sebagai penyelaras pusat ini, iaitu “Kali Ini Kita Bersama-Nusantara Sebahagian: Panggung Seni Dalam Membingkai Babak Ceritera Perempuan”.

Seterusnya, pameran “Beradong” pada tahun 2022 terhasil daripada pameran induknya, iaitu “Gugusan” yang dicadangkan untuk diadakan di sebuah galeri nasional. Pameran “Gugusan” boleh dianggap sebagai kesinambungan momentum dua pameran yang dikuratorkan oleh beliau sebelum ini. Keterbukaan dan pelawaan yang diberikan oleh galeri negeri seperti Muzium Negeri Terengganu adalah suatu rahmat dan penghargaan dalam menganjurkan siri pengenalan awal pameran “Gugusan” yang dinamakan pameran “Beradong: Gugusan – Siri Terengganu”.

Beradong adalah perkataan dialek negeri Terengganu yang bermaksud beriya-iya atau bersungguh-sungguh membuat sesuatu. Pameran “Beradong: Gugusan – Siri Terengganu” adalah sebuah pameran seni tampak yang menghimpunkan pelukis terpilih kelahiran negeri Terengganu yang terdiri daripada generasi awal dan generasi kini. Pameran ini merupakan projek perintis kepada sebuah pameran seni berskala besar, iaitu “Gugusan” yang akan diadakan pada tahun 2023. Pameran ini juga adalah manifestasi kesungguhan dalam mempertembungkan pengkarya lama dan generasi baharu dalam satu ruang yang dekat di hati masyarakat di Muzium Negeri Terengganu.

U-Wei Haji Saari (kiri) selaku kurator pameran.

Seramai 10 pengkarya seni anak jati Terengganu menampilkan hasil karya seni dalam pameran ini merangkumi arca, catan dan media campuran dalam menginterpretasikan pandangan mereka terhadap alam gugusan ini. Pengkarya pameran ini boleh dibahagikan kepada tiga ganerasi, iaitu pengkarya yang lahir pada tahun 1950-an dan 1960-an, iaitu Mad Anuar Ismail (1952), Tengku Sabri Tengku Ibrahim (1961) dan Suzlee Ibrahim (1967). Generasi kedua pula lahir pada tahun 1970-an seperti Mat Ramli Mansor (1977), Rafidah dan Zainuddin (1977), Zuhdi Nusuki (1978) serta Khairul Anwar Yusoff (1978). Manakala generasi ketiga lahir pada tahun 1980-an seperti Syed Fakaruddin (1989) dan Hisyamuddin Abdullah (1989).

Generasi awal dalam pameran ini yang terdiri daripada Mad Anuar, Tengku Sabri dan Suzlee Ibrahim telah mula berkarya sejak tahun 70-an dan 80-an. Pengkaryaan selama 30 hingga 40 tahun memperlihatkan kematangan mereka dalam kemahiran teknik dan penggunaan bahan. Setelah tamat belajar, kebanyakan mereka berkelana dalam kehidupan sebagai pentadbir seni dan pendidik. Walaupun tidak menetap di Terengganu, namun kesenian tradisi asal usul tidak ditinggalkan dan masih kukuh diterapkan dalam pengkaryaan mereka.

Mad Anuar Ismail (Med) dilahirkan di Dungun, Terengganu pada tahun 1952. Beliau terkenal dengan siri arca ukiran kayu dan logam Penongah Arus atau Storm Rider. Siri ini adalah penghormatan Med terhadap nelayan laut yang bertarung nyawa mencari rezeki di lautan yang sering dilambung ombak besar. Dalam pameran ini, Med menghasilkan arca torso salah seorang pengumpul seninya, iaitu Pakhruddin Sulaiman sebagai satu bentuk penghormatan untuknya. Karya Fakh (2002) adalah singkatan nama bagi Pakhruddin yang dikenali dalam kalangan industri seni seperti pelukis, galeri dan kolektor seni di negara ini.

Sungguhpun arca ini merupakan arca yang dibuat daripada kepingan besi, namun identiti visual ukiran kayu menggunakan pahat oleh Med diterapkan dalam karya ini. Sejarah arca torso mula popular semasa zaman Pembaharuan (Renaissance) apabila para bangsawan membayar pengarca untuk menghasilkan arca potret diri mereka sebagai salah satu cara mereka meninggikan lagi status diri mereka.

Arca kayu enjit-enjit semut.

Tengku Sabri Tengku Ibrahim dilahirkan di Besut, Terengganu pada tahun 1961. Beliau adalah anak Tengku Ibrahim Tengku Wook yang merupakan Adiguru Kraf Ukiran Halus dan Tokoh Kraf Negara. Pada tahun 1980-an, beliau menghasilkan karya hulu keris yang dinamakan Siri Teleng. Pada tahun 1990-an beliau menghasilkan Siri Gunung Daik menggunakan bahan daripada kayu dan wayar imaginasi untuk menghasilkan pembentukan antropomorfik primitif Asia.

Pada tahun 2000-an, berlaku peralihan dalam karyanya, iaitu daripada karya arca kayu pada dinding dan atas pedestal kepada seni pemasangan menggunakan bahan seperti dawai dan tali. Setelah diadun dengan bahan campuran ini, beliau kembali mengarca. Karya Kuda Semberani (2018) adalah arca kayu gabungan bentuk haiwan dan objek primitif.

Suzlee Ibrahim yang dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1967 merupakan pelukis ekspresionisme abstrak. Pada awalnya, beliau dikenali dengan “Movement Series” dan kemudian beralih kepada siri yang menggambarkan tempat kelahirannya yang dekat dengan fenomena maritim. Antara siri yang dihasilkan beliau merangkumi Siri Monsun, Siri Ombak dan Siri Tengkujuh. Karya Waiting for Sakura 5 akrilik atas kanvas pula dihasilkan daripada program bengkel silang budaya antara Malaysia dengan Jepun pada tahun 2007 hingga 2008.

Bengkel seni Japan-Malaysia World Arts & Culture Exhibition for Friendship telah diadakan pada tahun 2007 di Galeri Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur manakala bengkel lanjutan yang dinamakan Art for Earth Aid telah diadakan di Taito Hall, Tokyo Trade Centre, Jepun pada tahun 2008.

Generasi kedua pula adalah pengkarya yang lahir pada tahun 1970-an seperti Rafidah dan Zainuddin (1977), Zuhdi Nusuki (1978), Khairul Anwar Yusoff (1978) dan Mat Ramli Mansor (1977). Rafidah Saharuddin dilahirkan di Kemaman, Terengganu. Karya arca kayu Enjit-enjit Semut Siapa Sakit Naik Atas pada tahun 2022 adalah interpretasi mereka terhadap permainan masyarakat terdahulu yang dilagukan dengan membawa persoalan penindasan, ketidakadilan dan gila kuasa dalam kalangan masyarakat.

Enjit-enjit semut adalah sebuah permainan rakyat yang mengambil sifat semut yang akan menggigit musuhnya apabila berasa terancam atau diserang. Arca kayu enjit-enjit semut berbentuk tungku tiga kaki pada bahagian bawah, manakala bahagian atas yang berketul-ketul adalah metafora kepada tangan-tangan dalam permainan ini. Walaupun karya ini mengambil sifat kesatuan kehidupan serangga itu, namun karya ini lebih dekat dalam memaparkan isu-isu kebebasan daripada dibelenggu. Uniknya dalam karya ini adalah bongkah-bongkah itu boleh dipasang dan dibuka semula mengikut susunan yang diinginkan.

Antara potret lukisan yang dipamerkan dalam pameran Beradong: Gugusan – Siri Terengganu.

Irwan Othman dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1979. Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Seni Halus, Universiti Teknologi MARA Kampus Machang (UiTM Machang), Kelantan dan Pengerusi Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer). Karya Indah Kehidupan, Duri Pengajaran Siri I dan Duri Pengajaran Siri II merupakan kesinambungan kepada kisah peribadi pelukis dalam menyatakan perasaan tentang pengalaman perhubungan dengan manusia. Karya yang dihasilkan adalah berkisarkan tentang simbolik hubungan antara manusia.

Alam semula jadi flora juga dijadikan sebagai lambang kepada penyampaian karya. Bunga mawar sebagai “watak” dan merupakan simbol yang kuat menggambarkan wanita. Metafora pula dari sudut kecantikan, penghargaan, kasih sayang, kesucian dan tanggapan. Kisah dan perasaan diterjemahkan secara rawak. Warna monokromatik sebagai latar simbolik ringkas tentang kenangan dan nostalgia pada sesuatu yang lepas kebiasaannya berubah kepada hitam dan putih.

Alpha Generation Studies Series I adalah kesinambungan karya Khairul Anwar Yusoff yang selama ini mengkaji tentang mimik muka. Dalam karya sebelum ini, Khairul Anwar yang lebih dikenali dengan nama Ganu menonjolkan pengaruh media massa atau seperti televisyen terhadap tindak-tanduk psikologi kanak-kanak. Perkembangan teknologi bergerak dengan pantas dan kini beralih kepada era digitalisasi komputer. Kini segala maklumat berada pada hujung jari.

Pada masa kini, kanak-kanak sehingga orang dewasa mudah untuk mendapat sebarang maklumat menerusi penggunaan peranti pintar. Dalam karya Alpha Generation Studies Series I, Khairul Anwar memaparkan dua ahli keluarga sendiri yang tidak terlepas daripada isu ini. Kelihatan dua figura kanak-kanak sedang memegang peranti. Pada sebelah kiri, kanak-kanak perempuan sedang mengepit peranti manakala figura kanak-kanak lelaki pada sebelah kanan sedang memegang dan melihat telefon pintar.

Zuhdi Nusuki dilahirkan di Dungun, Terengganu namun dibesarkan di Kemaman, Terengganu. Selepas tamat belajar dalam bidang seni halus, beliau banyak terlibat dalam pengiklanan komersial dan telefilem sebagai pereka prop dan pengarah seni. Seterusnya, beliau aktif menyertai pameran yang diadakan dengan penerapan karya yang berlatarbelakangkan kerjaya yang dilakukan oleh beliau sebelum ini dalam bidang komersial.

Karya Jebak 1, Jebak 2 dan Jebak 3 adalah karya berbentuk sangkar yang dihasilkan daripada bahan seperti kayu, rotan dan dawai. Jebak adalah perangkap atau jerat. Jebak juga adalah simbol kepada tipu daya dan muslihat. Karya kraf yang dipersembahkan dalam konteks galeri ini adalah satu daripada keistimewaan kearifan tempatan orang Pantai Timur.

Antara karya yang dipamerkan dalam Muzium Negeri Terengganu.

Mat Ramli Mansor dilahirkan di Batu Rakit, Terengganu pada tahun 1977. Beliau merupakan penukang kepada pengarca Tg. Sabri Ibrahim. Karya arca daripada kayu angsana dan mahagoni, iaitu Semangat Benih #3, Semangat Benih #4 dan Semangat Benih 5 adalah arca yang seolah-olah berbentuk hulu keris seperti janin.

Manakala generasi ketiga adalah pengkarya yang lahir pada tahun 1980-an seperti Syed Fakaruddin (1989) dan Hisyamuddin Abdullah (1989). Syed Fakaruddin dilahirkan di Setiu, Terengganu dan memperoleh diploma daripada UiTM Melaka serta sarjana muda dari UiTM Shah Alam. Karya The Wall of Hope (2018) adalah sebuah karya kejutan budaya yang dihadapinya dan direalisasikan dalam siri Bumi Asing pada tahun 2018. Hasil tekstur yang terdapat pada lukisan itu berlaku daripada olesan kasar warna secara berlapis-lapis dan mewakili ekspresi beliau terhadap kerosakan muka bumi yang berlaku disebabkan kerakusan manusia memburu pembangunan.

Pandangan beliau, kemajuan itu satu keperluan, namun tanpa perancangan yang tersusun, pembangunan yang tidak terkawal akan menganggu ekosistem kehidupan alam yang lain, memusnahkan alam sekitar, menyebabkan kehilangan harta benda serta memberi kesan kepada perasaan dan emosi dalaman seseorang.

Hisyamuddin Abdullah dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1989. Beliau menyambung pengajian dalam bidang Diploma Seni Halus di UiTM Machang dan sarjana muda di UiTM Shah Alam. Karya Potret Ayah (2012) dalam pameran ini adalah pengkaryaan awal Hisyamuddin yang mula meneroka subjek figura wajah orang tuanya.

Selain itu, karya yang pernah dihasilkan merangkumi Father Nature (2013) dan Ayah dari Kehidupan Dulu (2012). Dalam karya Potret Ayah, bahagian sisi kanan muka diberi penekanan dengan teknik lukisan lorekan bersilang. Wajah ayah yang berkerut dan berkedut diberi perincian yang utama dalam karya ini.

Antara arca yang dipamerkan untuk tontonan para pengunjung.

Semoga pertembungan antara pengkarya lama dan pengkarya baharu dalam pameran Beradong: Gugusan – Siri Terengganu ini dapat membina wacana terhadap perkembangan seni tampak Terengganu serta membuka ruang pengkajian dan penyelidikan dalam kalangan ahli akademik tentang keberadaan seniman negeri ini yang membawa nafas kesenian tradisi gugusan dalam nada yang lebih segar.

*Beradong: Gugusan – Siri Terengganu adalah sebuah pameran seni tampak yang dianjurkan oleh Morne Gallery (Morne Hashim) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang diadakan di Muzium Negeri Terengganu daripada 20 Oktober hingga 31 Disember 2022. Pameran ini dikuratorkan oleh U-Wei Haji Saari dan Faizal Sidik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.