5 Mac 2023, 21:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ulu Klang – Hari ini bertempat di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berlangsung Majlis Apresiasi Filem Spilt Gravy on Rice (Ke Mana Tumpahnya Kuah) arahan Datuk Zahim AlBakri anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dengan kerjasama FINAS.

Sebelum diterbitkan dalam genre filem komedi gelap (dark comedy), terlebih dahulu karya yang terhasil daripada cetusan karyawan industri kandungan kreatif negara, iaitu Allahyarham Jit Murad telah terhasil dalam genre teater pada tahun 2002.

Karya yang “hidup” sejak lebih dua dekad ini seperti perjalanan makhluk yang belum dipanggil untuk “kembali” kepada Pencipta-Nya. Karya ini dinamik dan unggul dalam meniti zamannya. Lantaran karya ini “berdiri dan hidup” serta jujur, akhirnya setelah lebih 20 tahun dihasilkan, karya ini telah menemukan kejayaan yang tidak pernah dijangka apabila layak dicalonkan dalam 15 kategori Festival Filem Malaysia (FFM) yang ke-32 pada tahun lalu.

Barisan panelis wacana bersempena Majlis Apresiasi Filem Spilt Gravy on Rice (Ke Mana Tumpahnya Kuah) arahan Datuk Zahim AlBakri.

Usaha yang tidak pernah berhenti menghidangkan pemaknaan yang mendalam menerusi filem ini akhirnya membuahkan kejayaan cemerlang kepada dedikasi merakamkan kenangan teratak keluarga AlBakri menerusi filem ini apabila mengungguli FFM ke-32 pada tahun lalu sebagai Filem Terbaik.

Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa filem mempunyai pemaknaan yang luas dan sebagai meraikan proses kreativiti dalam menghasilkan sesebuah filem, program apresiasi seperti ini amat perlu bagi membuka lagi minda masyarakat umum khususnya pencinta seni dan karyawan filem dalam memahami fungsi filem kepada masyarakatnya dan juga pemikiran yang disampaikan oleh karyawan menerusi filemnya.

Contohnya, apresiasi filem ini adalah wadah pengkaryaan berkonsepkan bandar dan menerusinya, penonton serta peneliti memahami setiap jujukan yang diterjemahkan menerusi filem ini. Tambahnya lagi, setiap orang bebas mengapresiasi sesebuah karya filem yang dihasilkan tetapi haruslah meneliti serta menilainya dengan sudut ilmu. Harus difahami oleh orang yang meneliti filem, terdapat simbol, semiotik serta “tatabahasa” sesuatu filem. Bahkan tidak wajar sewenang-wenangya mengkritik sesuatu filem sehingga membunuh nilai yang terdapat dalam sesebuah filem.

Apresiasi filem ini membawa pengembaraan penonton kepada sebuah keluarga pertengahan di tengah-tengah kota kosmopolitan Kuala Lumpur yang mendominasi plot filem ini, iaitu watak “Bapak” yang dilakonkan dengan cukup semula jadi dan arif menerusi lakonan Dato’ Rahim Razali.

Bapak yang memiliki lima orang anak berasa bahawa masanya untuk “pergi” sudah tiba. Rentetan itu, dia dapat melihat dua malaikat yang akan menjemputnya “pergi” dan Bapak perlu segera mengumpulkan anak-anaknya dan dia sudah tidak mempunyai banyak masa untuk menyampaikan wasiatnya berkaitan rumah yang akan ditinggalkannya.

Permulaan filem ini membawa satu tarikan tersendiri apabila frasa “malaikat lalu” sudah cukup menjadi sebagai tanda filem ini mengungkapkan signifikan yang wujud dalam senario masyarakat, iaitu keadaan yang tiba-tiba senyap sunyi dan hal yang cukup seni di sebaliknya turut berjaya digarap dengan cukup berkesan oleh Zahim sebagai pengarah yang luas pengalaman seninya.

Sama ada mimpi atau fantasi bagi Bapak, “malaikat lalu” menjadi semiotik yang amat besar dengan seni maknanya dalam filem ini. Akhirnya dalam segala kepayahan dan konflik yang serba kompleks, berjaya juga hati anak-anak dikembalikan kepada Bapak dan siapakah yang akan mewarisi rumah mereka juga akhirnya berjaya diketahui. Mengapa Darwis yang mewarisi rumah mereka dan bukan Husni, Zak, Kalsom atau Zaiton, iaitu anak-anak yang lain juga memiliki analisis yang cukup bersemiotik.

Usai tayangan dalam slot pertama majlis ini, satu wacana diadakan yang dijayakan oleh empat orang panel dan diterajui oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba sebagai moderator. Empat orang panel yang masing-masing memahatkan penelitian berkaitan filem ini khususnya dalam menghorizonkan slogan “filem kita wajah kita” ialah Datuk Zahim AlBakri (pengarah), Harith Baharuddin (Pensyarah UiTM), Zaki Abdul Rahim (Juri FFM ke-32) dan Zarul AlBakri (penerbit).

Turut hadir dalam majlis apresiasi ini ialah Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Saari Sungib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang; Dr. Hasan Hamzah, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN); Puan Hajah Roziah Md Yunus (Wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka); Encik Hassan Mutalib, karyawan dan pencinta seni filem serta para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.