Oleh Awang Sariyan
9 November 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun 2023 merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif (CSP) China-Malaysia, dan tahun 2024 merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia. Sebagai susulan muafakat strategik “memperkaya pertukaran budaya dan meningkatkan persahabatan dalam kalangan rakyat” yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua buah negara, Radio and Televisyen Guangxi (GXRTV) di kota Nanning, iaitu ibu kota provinsi Guangxi di selatan negara China, meluaskan saluran pertukaran budaya antara China dengan Malaysia, dan menggunakan bahan audio, gambar dan video untuk berkomunikasi dengan rakyat Malaysia dalam bahasa Melayu.

Baru-baru ini, GXRTV telah menterjemahkan dan menghasilkan satu siri filem dan program televisyen China yang unggul dan terbaharu untuk disiarkan di Malaysia. Contohnya ialah “Pekan Minning” yang bertema pembasmian kemiskinan, “China Rahsia” yang menggambarkan cara hidup di kawasan luar bandar di China, “Gambar-gambar Xinjiang” tentang keindahan Xinjiang dan “Pengejar Cahaya: Kisah Pembasmian Kemiskinan” yang merekodkan kisah rakyat China biasa dalam pembasmian kemiskinan.

Untuk mengisi keperluan dan menarik minat penonton Malaysia, GXRTV telah melantik kumpulan penterjemah dan pengalih suara yang profesional untuk membuat filem dan program TV tersebut. Secara khusus, GXRTV telah melantik Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai perunding bahasa bagi program untuk siaran radio dan televisyen itu. Pensyarah-pensyarah bahasa Melayu Universiti Minzu Guangxi turut dilantik sebagai penyemak kandungan dan aspek bahasa.

Poster siri filem Pekan Minning yang bertema pembasmian kemiskinan.

Bagi meningkatkan pertukaran dan komunikasi dengan penonton Malaysia, GXRTV telah melancarkan filem dan program TV tersebut di platform video YouTube dan terbuka sepenuhnya untuk tontonan rakyat Malaysia. Sebaik-baik sahaja disiarkan, filem dan program TV tersebut telah mendapat pengiktirafan yang tinggi oleh Tuan Azlim Zakaria, Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, kerana terjemahan yang tepat dalam bahasa Melayu, kefasihan dan kejelasan bahasa penyampai, serta kualiti produksi yang sangat baik dan berteknologi tinggi. Filem dan program TV tersebut diiktiraf sepenuhnya oleh pakar dan sarjana yang berkaitan di Malaysia dan di China, serta mendapat sambutan baik penonton Malaysia.

Di samping itu, GXRTV secara berterusan memperluas pertukaran budaya dan kerjasama dengan pelbagai pihak di Malaysia dalam bidang radio, filem dan program TV. Usaha meningkatkan persefahaman dan juga persahabatan rakyat antara rakyat negara China dengan rakyat Malaysia dilaksanakan melalui penganjuran Minggu Pameran Program TV serta penerbitan dan penyiaran bersama dokumentari dengan kerap. Kejayaan penyiaran filem dan program TV di Malaysia bukan sahaja berkongsi konsep “keterbukaan dan keterangkuman” dalam pendedahan pelbagai cerita kepada penonton Malaysia, bahkan turut membuka kunci model baharu dalam kegiatan pertukaran budaya antara China dengan Malaysia.

Poster siri filem Pengejar Cahaya: Kisah Pembasmian Kemiskinan yang merekodkan kisah rakyat China biasa dalam pembasmian kemiskinan.

GXRTV ternyata berjaya memanfaatkan media sebagai saluran paling berkesan dalam memupuk persefahaman dan persahabatan antara dua buah negara yang memang telah mempunyai hubungan tamadun sekian lama, sejak zaman dinasti awal China dan kerajaan Melayu lama pada awal abad Masihi. Mudah-mudahan GXRTV akan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung tamadun negara Malaysia dengan tamadun negara China dalam satu kesinambungan sejarah zaman bahari dan zaman baharu.

Bangunan Radio and Televisyen Guangxi (GXRTV).

Diharapkan juga GXRTV turut mengusahakan penterjemahan filem dokumentari dan cerita yang masyhur dalam tamadun Melayu ke dalam bahasa Mandarin untuk disiarkan di stesen radio dan tv di Nanning. Penyiaran program dua hala itu akan dapat menjadi “titian muhibah” antara negara Malaysia dan negara China dengan lebih akrab.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.