Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Tuah selaku tuan rumah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dinobatkan sebagai johan keseluruhan Kejohanan Sukan Mini Gemaputera Tradisional Kedah 2025 yang berlangsung di Muzium Padi, Gunung Keriang pada 21 Februari 2025.
Naib johan keseluruhan menjadi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan tempat ketiga keseluruhan disandang oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Dalam kejohanan tersebut, sebanyak enam acara sukan tradisional yang disertai oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dari seluruh Malaysia telah dipertandingkan, iaitu futsal bendang, bola jaring bendang, sepak raga ratus, dam aji, congkak dan mengai alor (mengail alur).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin, kejohanan sukan tradisional ini dapat mengukuhkan silaturahim, perpaduan dan semangat kesukanan antara warga kerja PKEN di seluruh Malaysia.
“Sukan tersebut juga menjadi satu platform penting dalam usaha mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) dengan tema Experience Kedah,” tambah beliau semasa merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Sukan Mini Gemaputera Tradisional Kedah 2025.

Johan bagi acara futsal bendang ialah PKNS; naib johan pula disandang oleh PMINT; dan tempat ketiga dimenangi oleh Penang Corporation Development (PDC) dan PKNP.
Johan acara congkak pula ialah PKNK; tempat kedua disandang oleh PMINT; dan tempat ketiga menjadi milik PKNS dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis (PKENPs).
Sementara itu, johan acara dam aji ialah PKNK; naib johan ialah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK); dan tempat ketiga dimenangi oleh PKNS dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Seterusnya, acara sepak raga ratus diungguli oleh PKNK; tempat kedua menjadi milik PKNS dan tempat ketiga dimenangi oleh PKENPs.
Johan bola jaring bendang pula ialah PKNK, tempat kedua disandang oleh PKNP dan tempat ketiga dimenangi oleh PMINT.
Hadiah utama acara mengail alur pula menjadi milik PKNK sebagai johan, PDC sebagai naib johan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS). PMINT turut menerima hadiah bagi kategori busana tradisional terbaik.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin, dan YB Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Haji Muhammad Radhi Haji Mat Din, .
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, YBhg. Dato’ Wira Haji Ishak Murat, Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan wakil PKEN seluruh Malaysia.