Diterbitkan pada 20 Februari 2025, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. menganjurkan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk bersempena menyambut ketibaan Ramadan 1446/2025, yang bukan sahaja memperkukuh tradisi, malah mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti memasak, dan amal kebajikan.

Ketimbang 17 orang peserta pada tahun 2024, Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025 (PMBL2025) pada 15 Februari lalu disertai 20 pasukan yang bersaing dalam Kategori Terbuka, dan Kategori Masjid dan Surau.

Kategori Terbuka yang dibuka kepada orang ramai dan peminat kulinari, disertai  Tanjak Catering, Healthcare, Bubur Lambuk Atok Bomba, Pak Mail Bubur Lambuk, Wak Kam Sojar, Capatios, De’ Pelaga, Royale Chulan Damansara, Cik Noor Kitchen, dan Bespoke.

Kategori Masjid dan Surau yang mengiktiraf peranan institusi keagamaan dalam mengekalkan keunikan hidangan ini pula menampilkan Masjid Al-Ijtimaa’iah Ipoh, Arham Catering, Masjid Sg. Besi, Surau Al-Falah, Masjid Ar Rahman Bukit Teh, Surau At Taqwa, Al-Jabbar, Team An-Nur kkka Cochrane, Tok Rais Crew, dan Surau Al-Ansor.

PMBL2025 turut menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM12,000, sebagai penghargaan kepada peserta yang menunjukkan kehebatan memasak, serta komitmen dalam mengekalkan tradisi ini.

Pemenang pertama, kedua dan ketiga setiap kategori menerima hadiah wang tunai masing-masing RM3000, RM2000, dan RM1000. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YBrs. Encik Nazli Saad, Ketua Pegawai Eksekutif MKLSB.

Para peserta dinilai oleh barisan juri profesional, iaitu Chef Selebriti Yang Jamil Chef dan Zaidah Mohd. Noor, serta Chef Eksekutif Musa Shamsudin dari Restoran ARAS, MKL.

Penilaian dibuat berdasarkan keaslian, rasa, dan persembahan. Rasa warisan adalah lebih daripada sekadar hidangan bubur lambuk yang telah sekian lama menjadi simbol kebersamaan di Malaysia, di mana keluarga dan masyarakat bergotong-royong untuk menyediakan, dan berkongsi hidangan ini.

Kategori Masjid dan Surau dimenangi Masjid Al-Ijtimaa’iah Ipoh, sementara Masjid Ar Rahman Bukit Teh meraih tempat kedua, dan Surau At Taqwa pula di tempat ketiga.

Tanjak Catering menjuarai Kategori Terbuka, diikuti Wak Kam Sojar sebagai Naib Juara, dan Cik Noor Kitchen di tempat ketiga.

Dalam ucapannya semasa majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang PMBL2025 di MKL, Encik Nazli berkata, bubur lambuk bukan sekadar hidangan, tetapi adalah simbol kebersamaan, kemurahan hati, dan warisan turun-temurun yang perlu dikekalkan.

“Melalui pertandingan ini, kami berharap lebih ramai dapat mengenali, menghargai, dan meneruskan tradisi penyediaan bubur lambuk yang ikonik,” tambah Nazli.

Pada tahun lalu, MKL telah mengagihkan 1,500 pek bubur lambuk kepada Projek Perumahan Rakyat, rumah anak yatim, dan golongan asnaf. Pada tahun ini, sasaran ditingkatkan untuk membantu lebih ramai yang memerlukan, memastikan keberkatan Ramadan dirasai di seluruh Lembah Klang.

MKL memperkukuh usaha CSR dengan menjemput 30 orang anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia untuk merasai pengalaman istimewa.

Kanak-kanak ini diberi peluang melawat ke Sky Deck, Sky Box, Observation Deck, dan Tower Walk 100 di MKL sambil menikmati pemandangan bandar raya Kuala Lumpur yang menakjubkan.

Sebagai tanda keprihatinan, setiap anak yatim dan asnaf menerima sumbangan khas bernilai RM6,000. Bubur lambuk yang dimasak dalam PMBL2025 MKL turut diagih-agihkan kepada rumah anak yatim, keluarga asnaf, tempat perlindungan gelandangan, dan masjid oleh staf serta sukarelawan MKL, memastikan lebih ramai merasai keberkatan Ramadan.

“Kami percaya bahawa walau sekecil mana pun kebaikan, seperti semangkuk bubur lambuk, tetapi ia mampu membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” ujar Nazli lagi.

Selain pertandingan bubur lambuk yang telah dimulakan pada tahun 2011, Yayasan Restu sebagai salah satu rakan strategik, turut menganjurkan demonstrasi khas dan jualan seni kaligrafi khat, memberikan pengunjung peluang untuk menyaksikan keindahan seni Islam.

Acara ini juga menampilkan Program Infaq dan Wakaf al-Quran, di mana para pengunjung berpeluang menyumbangkan naskhah al-Quran dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, dan Sepanyol Latin.

Inisiatif ini selaras dengan usaha tanggungjawab sosial korporat berterusan MKL memupuk kecintaan yang lebih mendalam terhadap al-Quran, sekali gus menjadi satu bentuk amal jariah sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Perkara ini merupakan peluang bagi para pengunjung menyumbang kepada tujuan yang bermakna sambil menghayati semangat sebenar memberi bersempena dengan kedatangan bulan suci tidak lama lagi.

Selain Yayasan Restu, PMBL2025 turut mendapat sokongan padu rakan strategik, seperti ACGAS, yang memastikan kelancaran pengalaman memasak oleh peserta; Syarikat Faiza Sdn. Bhd. yang membekalkan beras berkualiti tinggi, bahan utama dalam bubur lambuk; Harta Maintenance Sdn. Bhd. menyokong usaha komuniti melalui tajaan; dan Air Selangor Sdn. Bhd. menyediakan bekalan air bersih untuk kelancaran proses memasak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi