Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Projek 100 Lagu 100 Tahun adalah penerbitan baharu melahirkan semula warisan muzik Melayu dengan menghimpunkan 100 buah lagu ikonik yang telah mewarnai industri muzik tanah air, serta pernah memberi dampak yang membekas, selama satu abad, agar dapat dipersembahkan kembali untuk tatapan generasi muda hari ini.
Projek ini juga diharapkan dapat menjadi koleksi khazanah seni yang bernilai bagi memperlihatkan evolusi, dan keunggulan muzik, serta lagu-lagu yang ditampilkan kembali dalam versi kontemporari oleh artis-artis popular tanah air tanpa mengubah keasliannya.
Idea 100 Lagu 100 Tahun ini datang daripada YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Seri Dr. Mohamad Mustafa Ishak, Pengerusi Eksekutif, World Business Affairs Sdn. Bhd. bersama-sama komposer dan produser terkenal, Dr. Azmeer, ketika Dato’ Seri Mohamad Mustafa adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia dari tahun 2016 hingga 2017.
Walaupun tertangguh kerana beberapa faktor, tetapi ia berjaya direalisasikan apabila mendapat sokongan Kementerian Komunikasi Digital dan Multimedia ketika itu menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) pada tahun 2021.
Majlis Peluncuran 100 Lagu 100 Tahun telah diadakan di Heritage Club, Hotel Royale Chulan pada 26 Februari lalu yang turut dihadiri YBrs. Encik Yazman Yahya, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi; YBhg. Dato’ M. Nasir, Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas); Pengarah Produksi Luncai Emas, YBrs. Encik Keon Omar, Mohamad Mustafa, dan Azmeer, serta penyanyi Sharifah Zarina dan Dr. Fitri Haris.
Majlis berkenaan meluncurkan Volume 1 projek yang mengandungI 25 buah lagu, dan juga sebagai suatu pengumuman awam, sekali gus seruan agar ada agensi-agensi kerajaan, dan swasta yang dapat memberi sokongan dana kepada penerbitan volume seterusnya.
Penerbitan Volume 1 ini adalah dengan sokongan Kementerian Komunikasi di bawah DKK. Peluncuran 100 Lagu Dalam 100 Tahun diharap dapat mengukuhkan apresiasi terhadap warisan seni ini, serta menghubungkan generasi lama, dan baharu menerusi keindahan muzik yang abadi.

Dengan setiap volume mengandungi 25 buah lagu, projek 100 Lagu 100 Tahun dibahagikan kepada empat volume yang diterbitkan secara audio, visual, dan juga penerbitan buku meja kopi yang mengimbau kembali sejarah, latar belakang penciptaan dan lirik, serta persembahan dan dampak lagu-lagu ini dalam masyarakat ketika mula diterbitkan.
Projek 100 lagu 100 tahun berada di bawah penerbitan World Business Affairs dengan kerjasama Luncai Emas yang menjadi rakan kerjasama bagi pengedaran audio, dan audio visual di platform digital, sementara penerbitan buku masih dalam perbincangan akhir.
Antara lagu dalam volume pertama ini termasuklah lagu tradisional Ulek Mayang dan Nuri Terbang Malam yang merakamkan akar budaya, dan menjadi legenda awal dalam dunia rakaman Melayu, serta karya pop moden seperti Wajahmu di Mana-mana (nyanyian asal Azlina Aziz) dan Kenangan Lalu (nyanyian asal kumpulan Flybaits), dan Madah Berhelah (nyanyian asal Ziana Zain).
Getaran Jiwa (nyanvian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dan Penantian (nyanyian asal kumpulan Harmoni) turut diberi ulasan mendalam, menunjukkan evolusi irama dan lirik yang telah memberi impak besar dalam sejarah muzik tanah air.

Nuri Terbang Malam, nyanyian M. Nasir yang diluncurkan pada Januari 2025 sebagai lagu tunggal pertama projek ini, dipercayai sebagai lagu Melayu pertama yang pernah dirakamkan pada piring hitam sekitar tahun 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramaphone Company. Penyanyi asalnya ialah Qasim.
Lagu Penantian yang dinyanyikan semula oleh Lah Ahmad, menjadi lagu tunggal kedua yang diluncurkan pada 28 Februari 2025. Ciptaan sepenuhnya Allahyarham Zubir Ali yang diterbitkan pada tahun 1981, lagu ini popular kerana berirama merdu, dan berlirik puitis (ia juga adalah lagu puisi).

Penggubahan semula lagu-lagu dan rakaman dalam volume adalah di bawah terbitan Azmeer, sementara dua buah lagu, termasuk Nuri Terbang Malam diterbitkan oleh M. Nasir.
Menurut Mustafa, pihak beliau berbangga dapat mempersembahkan koleksi lagu yang mengukuhkan sejarah muzik Melayu. Sentuhan seni daripada Azmeer dan M. Nasir, katanya, menjamin bahawa nilai budaya, dan keaslian lagu-lagu ini kekal relevan dalam era moden.
“Sebagai penggiat seni, saya ingin membawa Nuri Terbang Malam ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya,” jelas M. Nasir sambil menegaskan bahawa lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik negara kita, dan menjadi tugas kita untuk mengabadikannya.
Menjawab soalan mengenai lagu rock tanah air, beliau memberitahu bahawa lagu berentak sedemikian turut dimasukkan dalam projek 100 Lagu 100 Tahun.
Sementara itu, Keon memberitahu bahawa Luncai Emas bersetuju menjadi rakan kerjasama bagi pengedaran audio dan visual ke pelantar digital untuk 100 Lagu 100 Tahun kerana merasakan projek ini adalah satu usaha murni.
“Sebenarnya seiring dengan hala tuju Luncai Emas yang ingin mengangkat dan mengiktiraf karya hebat dengan memperdengarkan kembali kepada generasi muda, tetapi mengikut citarasa semasa. Usaha ini juga dapat memberi pendapatan berterusan kepada komposer-komposer yang terlibat,” ujar Keon.
Sebagai ketua projek, Azmeer berharap buku vang bakal diterbitkan dapat melestarikan lagu-lagu itu menerusi informasi, dan ilmu daripada artikel mengenai asal usul lagu ini.
“Saya harap buku ini dapat diterima baik, serta mampu memberi ilmu dan manfaat, serta menarik minat generasi muda mengenali lagu-lagu lama,” katanya yang turut memberitahu untuk Volume 1, sebenarnya 30 buah lagu telah dirakamkan.
Majlis peluncuran tersebut turut diisi dengan tayangan video muzik Nuri Terbang Malam, tayangan video peluncuran 100 lagu 100 tahun, serta persembahan Liza Hanim untuk lagu Wajahmu di Mana-mana, Lah Ahmad dengan Penantian, serta Kaka dan Bunga mendendangkan Ulek Mayang.