Diterbitkan pada 3 Februari 2025, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tahun 2025 merupakan Tahun Melawat Kedah. Tulisan ini akan membawa pembaca menelusuri keindahan Negeri Kedah Darul Aman

Tinggalan sejarah menjadi identiti untuk diketengahkan kepada masyarakat khususnya pelancong. Malaysia memiliki khazanah alam semula jadi yang indah dan unik. Landskapnya diliputi hutan hujan tropika yang menghijau, iklim dan cuaca yang tidak melampau, banjaran gunung-ganang yang cantik, pulau serta pantai dan pelbagai spesies flora serta fauna. Sejumlah aset pelancongan berimpak tinggi seperti tapak arkeologi, tapak tanah bersejarah, monumen dan bangunan bersejarah turut dimiliki oleh Malaysia. Kesemuanya sangat bernilai dan menjadi daya tarikan dalam industri pelancongan.

World Tourism Organization mentafsirkan pelancongan sebagai aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya. Kedatangan pelancong memberikan limpahan rahmat apabila membantu meningkatkan ekonomi melalui pengaliran masuk mata wang. Malaysia kini berada di kedudukan ke-14 di peringkat global pada tahun 2024 dengan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 26.1 juta orang. Walau bagaimanapun, iklim politik dunia yang tidak stabil, penularan wabak penyakit dan faktor keselamatan dalam negara akan turut mempengaruhi industri berkenaan.

Sejarah penglibatan negara dalam industri pelancongan bermula pada tahun 1959 apabila Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) ditubuhkan sebagai agensi yang diberikan tanggungjawab. Sumbangan sektor pelancongan dalam ekonomi negara yang signifikan menyebabkan pihak kerajaan memberikan perhatian serius terhadap industri tersebut.

Kedudukan Malaysia yang terletak dalam gugusan Alam Melayu dan susun galur sejarah dan budaya yang hampir sama menjadikannya sebagai satu daripada faktor penting pengunjung luar memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Akar budaya yang menjadi teras kepada negara Malaysia ialah budaya Melayu ditambah pula dengan akses politik yang berperanan sebagai factor penarik. Agama Islam dan institusi beraja turut menjadi kekuatan terhadap sektor tersebut.

Keindahan negeri Kedah Darul Aman

Kekayaan dan keunikan sesebuah destinasi bukan hanya diukur dari segi ekonominya tetapi juga lakaran sejarahnya yang  tersendiri. Dikenali sebagai “Negeri Jelapang Padi”, Kedah Darul Aman terletak di utara Semenanjung Malaysia dan berkeluasan 9,447 kilometer persegi. Negeri yang sinonim dengan legenda Merong Mahawangsa menyimpan seribu satu khazanah sejarah, budaya dan warisan yang tidak ternilai hebatnya. Experience Kedah diangkat sebagai tema Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025). Kedah Tourism diberikan tanggungjawab untuk mempromosikan keunikan setiap daerah di negeri Kedah di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa. Usaha yang dilaksanakan diharapkan dapat meletakkan tanda aras baharu dalam pemerkasaan industri pelancongan di negeri Kedah.

Arkeopelancongan merupakan bidang yang berkait rapat antara tapak warisan arkeologi dan tapak bersejarah. Kluster tersebut melibatkan warisan, arkeologi, pelancongan dan konservasi. Dengan kata lain, arkeopelancongan merupakan usaha untuk menarik kedatangan pelancong melawat ke tapak arkeologi dan tapak bersejarah. Elemen fizikal dalam bentuk monumen atau bangunan bersejarah yang mempunyai perkaitan perlu ditonjolkan dan mampu memberikan manfaat kepada pengunjung dalam bentuk kepuasan minda, membangkitkan inspirasi serta nostalgia, informasi atau berbentuk santai.

Di negeri Kedah, Tapak arkeologi Lembah Bujang merupakan destinasi yang wajib dikunjungi. Seni bina dan ukiran pada monumen serta tembikar yang ditemukan membuktikan kehebatan Kerajaan Kedah Tua. Kota Kuala Kedah menjadi benteng pertahanan dan sarat dengan kisah perjuangan dalam mempertahankan kedaulatan negeri Kedah perlu dipugar kepada khalayak. Di samping itu, sejarah dan pengorbanan pejuang Kedah dalam  Perang Musuh Bisik pada tahun 1821 juga perlu diketengahkan kepada umum.

Alam semula jadi dan warisan budaya menjadi kelebihan dalam konteks pelancongan di negeri Kedah. Keindahan pantainya yang putih dan bersih, air terjun, tasik, teluk, jeram, gua batu kapur, gunung, banjaran tanah tinggi, permatang dan sebagainya turut berperanan sebagai daya penarik industri tersebut.

Catatan sejarah membuktikan Gunung Jerai pernah menjadi panduan utama bagi pedagang Arab, Cina, dan India yang belayar melalui Selat Melaka kira-kira 1500 tahun dahulu. Gunung Jerai yang berketinggian 1217 meter bukan sahaja terkenal dari aspek sejarah namun sebagai lokasi menarik untuk pengunjung menikmati panorama matahari terbenam. Tidak terkecuali Padang Tok Syeikh, Makam Sultan Muzaffar Shah, Kota Kuala Muda, Masjid Pengkalan Kakap, Bukit Penjara dan Jambatan Merdeka yang perlu dikunjungi.

Pulau Langkawi pula terkenal dengan keindahan pantainya dan sinonim dengan legenda Mahsuri. Pulau Songsong, Pulau Bidan, Pulau Telur dan Pulau Bunting yang terletak dalam kawasan Jerai Geopark juga unik serta perlu diterokai kerana memiliki kawasan pesisiran pantai dan  air laut yang  sangat jernih serta membiru. Turut menjadi sebutan dan tarikan ialah sejarah serta mitos Puteri Lindungan Bulan dan Raja Bersiung. Kompleks Pasar Bisik, Kuala Muda turut menjadi daya penarik masyarakat tempatan dan luar melawat Kedah. Amalan berbisik ketika menjalankan jual beli menjadi tradisi unik yang tiada di tempat lain.

Bagi pengunjung yang berminat dengan aktiviti lasak, Tasik Pedu dan Tasik Gubir  yang dikelilingi hutan menghijau serta mendamaikan perlu diteroka. Lokasi tersebut sesuai bagi pengunjung bermalam sambil melakukan aktiviti-aktiviti luar  seperti memancing, melihat hidupan liar, jungle trekkinghiking di Bukit Fakir dan  sebagainya.

Selain itu, Muzium Padi di Gunung Keriang turut menyediakan informasi interaktif mengenai sejarah industri padi di samping Muzium Diraja dan Balai Nobat. Galeri Rundingan Baling perlu dimasukkan dalam jadual lawatan kerana di situlah berlakunya peristiwa bersejarah negara dalam usaha menamatkan gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya.

Agama Islam dan institusi beraja menjadi sebahagian tunjang kekuatan sektor pelancongan. Hal yang demikian diterjemahkan dengan kemudahan mendapatkan makanan halal, kemudahan beribadat dan ikon pelancongan yang bercorak Islamik. Sehingga kini terdapat lebih 5,000 buah masjid di Malaysia yang mempunyai ciri-ciri unik. Keindahan Masjid Zahir, Masjid Al Busyra yang kaya dengan keunikan seni binanya yang tersendiri dan lain-lain rumah ibadat pelbagai kaum boleh ditonjolkan sebagai elemen tarikan pelancong.

Kebudayaan tidak ketara lebih kepada ungkapan bahasa, sebutan lidah, pepatah, nyanyian lagu rakyat, tradisi lisan, muzik, busana  dan sebagainya. Kedua-dua elemen tersebut saling melengkapi dan menjadi tarikan pengunjung ke sesuatu lokasi.

Budaya masyarakat tempatan menerusi tarian dan permainan seperti Wayang Kulit Seri Asun, Mek Mulung, sepak raga tuju, congkak, batu seremban, gasing serta wau boleh diperkenalkan. Gelagat Etong dan Pak Tam dalam Wayang Kulit Seri Asun pasti mencuit hati para penonton. Keistimewaannya yang tersendiri, celoteh Tok Dalang  dan isu-isu semasa yang sarat dengan kritikan sosial disampaikan dengan menggunakan bahasa Melayu serta dialek Siam yang amat menghiburkan hati.

Budaya meraikan tetamu sinonim dengan masyarakat Melayu Kedah.  Tradisi ‘kenduri’orang Kedah tidak lengkap tanpa hidangan gulai kawah daging rias pisang. Di samping itu, pengunjung juga boleh mencuba keenakan hidangan gulai temenung panas di Kuala Kedah, Kuala Sala atau di Batas Paip, Teluk Kechai.

Sebagai pencuci mulut boleh merasai keenakan kuih qasidah, dangai, bunga pudak, ubi telampong, peneram atau Laksa Teluk Kechai. Emping, ringgi, karas, gedung chak, turut menjadi tarikan di samping belacan tumbuk dari Tanjung Dawai dan pekasam ikan darat. Keenakannya pasti akan menyebabkan pelancong akan datang semula untuk kali kedua. Salah satu destinasi ikonik pelancongan dan pusat aktiviti serta ekonomi orang Melayu tempatan ialah Pekan Rabu. Destinasi tersebut menjadi lokasi wajib terakhir sebelum meninggalkan negeri Kedah. 

Melestarikan industri pelancongan tempatan

Sektor pelancongan mempunyai prospek yang cerah namun perlu bergelut dengan cabaran dari dalam dan luar yang sentiasa mendatang. Ekosistem dunia yang tidak menentu seperti konflik kemanusiaan, kejatuhan nilai mata wang dan wabak penyakit  turut memberikan impak terhadap industri tersebut. Segala potensi yang ada perlu dimanfaatkan dengan semaksima mungkin bagi menjana pendapatan negara.

Tapak arkeologi di Lembah Bujang dan Lembah Lenggong wajar diberikan perhatian khusus dari segi data arkeologinya disebabkan oleh kepentingan sejarah serantau. Tapak bersejarah yang berkaitan dengan peristiwa penting seperti tapak kubu, kota, monumen, bangunan bersejarah, pusara dan kearifan tempatan sangat bermanfaat dari segi kepentingan nasional. Justeru itu, usaha-usaha pelestarian bagi memperkasakan agenda tersebut perlu dilipatgandakan.

Lokasi sesebuah tapak pelancongan perlu dilengkapi dengan akses prasarana yang mencukupi. Penyelesaiannya juga bergantung kepada pembiayaan, halangan fizikal berupa jarak dan keupayaan bekerjasama  dengan destinasi. Kedudukan yang berselerak dan tidak strategik turut memberikan impak terhadap  kerja penyelenggaraan dan pemantauan. Kondisi tapak warisan yang tidak terurus akan memberikan imej negatif terhadap industri pelancongan tempatan.

Sejarah dan keunikan budaya masyarakat Kedah perlu dipugar dan dipaparkan semula dalam bentuk baharu berupa live museum bagi tatapan umum. Kelompongan story teller ketika ini di institusi seperti permuziuman yang menjadikan industri pelancongan semakin suram perlu ditangani segera. Pelancong ingin mengetahui dan melihat sesuatu yang tiada dalam pengetahuan serta pembacaan mereka secara lebih dekat.

Keunikan dan kelembutan budaya masyarakat Melayu perlu dijadikan pull factor dalam menggamit pelancong ke negeri Kedah. Persepsi negatif  bahawa produk orang lain adalah yang terbaik perlu dibuang sedangkan negara memiliki banyak keunikan yang seharusnya dilestarikan. TMK 2025 dapat memberikan nafas kreatif dan berdaya saing. Industri tersebut mampu membuka ruang pekerjaan baharu sama ada di kawasan desa, pekan atau di bandar. Pelbagai bentuk kerjaya baharu dapat diteroka seperti pemandu pelancong, pengusaha makanan, perhotelan, Inapdesa, fotografi, dan sebagainya yang mampu merancakkan sektor perekonomian negara.

Keupayaan menguruskan produk pelancongan bukan bererti kita hanya mengekalkan kelestariannya namun berupaya menjana pendapatan negara dan seterusnya memberikan manfaat kepada masyarakat setempat. TMK 2025 amat signifikan dan berpotensi  untuk melonjakkan lagi industri pelancongan di negara ini agar kompetetif khususnya dalam konteks negara serantau. Keunikan negeri Kedah dalam perspektif sejarah, budaya dan warisan perlu dipugar. Sektor pelancongan perlu diuruskan secara terancang dan holistik. Perubahan polisi negara tidak seharusnya merencatkan pembangunan yang telahpun dirancang rapi.

Platform Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 perlu dimanfaatkan sebagai sebuah blok yang berpotensi besar dan dinamik dalam menarik pelancong ke Malaysia. Lokasi negeri Kedah yang berhampiran dengan pintu sempadan negara jiran Thailand dan Indonesia perlu dimanfaatkan.

Pembangunan fizikal dan jiwa masyarakat yang kukuh, tegar dan sentiasa berdaya maju perlu digembleng bagi memperkasakan TMK 2025. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia berperanan signifikan dalam memartabatkan sektor pelancongan negara. Ruang yang tersedia perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi meletakkan nama negeri Kedah sebagai salah satu destinasi indah yang wajib dikunjungi.

__________________________________

Mohamed Ali Haniffa merupakan pensyarah di Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi