Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prof Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid telah berpeluang dipilih sebagai Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand. Ikuti catatan perjalanan beliau dalam siri Catatan dari New Zealand.

Pelantikan sebagai penyandang Kursi Pengajian Malaysia ke Victoria University of Wellington telah dimasyhurkan pada 1 Disember 2025. Sebelum berangkat ke sana, penulis perlu menyelesaikan beberapa perkara yang diminta; urusan permohonan visa, kesesuaian kategori spesifik permit kerja, pemeriksaan kesihatan untuk seluruh ahli keluarga di pusat kesihatan yang diluluskan oleh Imigresen New Zealand, sijil berkelakuan baik, serta surat pembuktian bahawa anak yang dibawa bersama ibu bapa mempunyai sijil atau surat penjagaan penuh ke atas anak tersebut.

Akhirnya, tanggal 6 Jun 2026, penulis dan keluarga tiba di Wellington, New Zealand. Bandar Wellington berada dalam radius 20 hingga 40 minit berjalan kaki jika tinggal di kawasan seperti Kelburn, Karori, The Terrace, Brooklyn dan beberapa lagi kawasan penempatan.

Victoria University of Wellington (VUW)

Pejebat penulis di Victoria University of Wellington di Kelburn Parade, memakan masa 15 minit jika berjalan daripada rumah penginapan sementara yang disediakan oleh pihak universiti, iaitu di 214 The Terrace Wellington.

Cuaca yang dingin dengan angin kencang anggaran 50–150 km per jam tidak lagi dianggap cabaran. Warga New Zealand seolah-olah telah menyatu dengan alam semula jadi dan menyambut cuaca harian seadanya dengan senyuman di bibir.

Namun begitu, bagi orang baru, deruan angin kencang memukul tingkap saban malam di musim dingin, menegakkan bulu roma, mempercepatkan jantung berdegup, dan memanjatkan doa sambil tafakur, serta sujud memohon dipelihara dari segala marabahaya.

Kenalan Lama dan Urusan Harian di VUW

Penulis mula melaporkan diri di kampus.  Ketika melaporkan diri, hati penulis terasa gembira dan kecilnya dunia, apabila bakal bertugas di kampus yang sama dengan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Puan Hariaty Abu Hasan yang berkhidmat sebagai Pengurus Pentadbiran di Fakulti Matematik dan Sains, VUW.

Lantaran, penulis mengimbau kenangan lama sebagai (senior-junior) semasa di Kamsis Ibrahim Yaakob, UKM. Ibarat secangkir madu yang setiap tetes memberikan rahmat dan keberkatan. Bantuan Kak Yati dan suaminya, James Salim, sepanjang memulakan hidup baru di Wellington memudahkan urusan penulis mencari rumah sewa, kedai daging halal dan bahan makanan halal sedia ada di pasar raya seperti Ingham’s, Turks, dan Tegel.

 

Dalam tempoh penyesuaian, penulis mula mengenali tempat dan lokasi sumber membeli bahan mentah harian yang halal untuk meneruskan kelangsungan hidup adalah suatu yang tidak diperoleh daripada membaca buku, sebaliknya jaringan sosial bersama rakan dan taulan yang baru dikenali dan sudi membantu.

Pasar raya seperti PakNSave, Woolworths, New World, Kedai Daging Halal, Haerumai Asian Foods, dan Yan Supermarket menawarkan bekalan keperluan harian dengan perbandingan harga yang berbeza mengikut daerah, kawasan, hari dan jenis kedai. Ini membolehkan individu mengatur perbelanjaan harian dengan lebih cermat.

Gunung Kaukau

Di Ngaio, terdapat Gunung Kaukau setinggi 445 meter dan bila berada di puncaknya, Pulau Selatan boleh dilihat berbalam-balam. Jika menaiki pesawat ke Christchurch, akan mengambil masa kurang tiga puluh minit untuk mendarat.

Namun cuaca musim dingin dari bulan Jun hingga Ogos memperlihatkan deruan angin kencang sehingga banyak jadual penerbangan terbatal. Di bumi New Zealand, aplikasi AccuWeather dan Geonet amat penting kerana membantu kita mengetahui perubahan cuaca.

Aplikasi tersebut juga membantu kita supaya sentiasa peka dengan cuaca semasa dan amaran gempa bumi. Selain itu, jika anda seorang muslim, untuk mengetahui waktu solat, aplikasi seperti FIANZ (The Federation of Islamic Associations of New Zealand) akan membantu. Bukan semudah menaip waktu solat di Wellington dalam Google secara rawak.

Mulanya Perjalanan di VUW

Pada 8 Jun 2026, pertemuan kali pertama secara fizikal bersama rakan akademik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Jabatan Sejarah, Falsafah, Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Antara yang hadir dan meraikan kedatangan penulis termasuklah Ketua Jabatan Sains Politik, Prof Madya Dr. Fiona Baker; Timbalan Ketua Jabatan dan pakar bidang sejarah, Profesor Kate Hunter; Timbalan Dekan (Akademik), bidang Sains Politik, Profesor Madya Dr Xavier Marquez; Timbalan Dekan (Antarabangsa), Dr Angela Joe, dan Prof Madya Stephen Epstein, pensyarah di Pusat Pengajian Asian (Linguistik dan Budaya).

Turut meraikan penulis ialah Profesor Adjung dalam bidang Sejarah dan Sains Politik, Malcolm McKinnon; Profesor Madya Dr Kate MacMillan pensyarah bidang Sains Politik, Puan Jonette Crysell Pengurus Pentadbiran, dan Nabila Farid, pegawai Pejabat Pelajar Antarabangsa.

Dari kiri: penulis, Jonette Crysell, Prof Madya Dr. Xavier Marquez (Timbalan Dekan Akademik), Prof Madya Dr. Fiona Baker (Ketua Jabatan Sains Politik) dan Dr. Angela Joe, Timbalan Dekan (Antarabangsa).

Begitu juga dengan insan bernama Shafiqa Jamal, mesra dipanggil Eqa, turut dilantik sementara sebagai pembantu tadbir bagi membantu urus tadbir penulis. Penulis bangga melihat anak Malaysia keluaran VUW yang telah memperoleh status Permanent Resident, gigih bekerja dan masih kekal utuh bertungjangkan akar  bangsa Melayu dan Islam.

Pertemuan dan perbualan awal bersama rakan fakulti diteruskan ke kafe Milk and Honey yang terletak dalam kampus. Kami menikmati manisan bersama minuman panas. Secara umum, sikap profesional dan kesediaan untuk bekerjasama subur dalam bicara yang akan dizahirkan secara kolektif.

Dua minggu pertama di Wellington menonjolkan sisi ketahanan diri untuk beradaptasi dengan suasana baharu, cuaca musim dingin dengan libasan angin kutub Selatan yang sejuk hingga ke tulang.

Urusan Sekolah, Transaksi, Pengangkutan 

Kekuatan angin yang menderu bagai tiupan sangka kala, mencari  sekolah dan pendaftaran anak ke Wellington Girls’ College secara dalam talian dan anak beserta ibu bapa penjaga perlu menghadiri sesi temuduga serta ujian kemahiran Bahasa Inggeris ~ semuanya perlu diurus segera agar kemandirian hidup untuk menjalankan tugas dapat dilaksana tanpa gangguan atau tekanan.

Dari kiri: Dr. Angela Joe, Cik Nabilah Farid, dan Profesor Kate Hunter (Timbalan Ketua Jabatan Sejarah, Falsafah, Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial.

Selain itu, transaksi dan tukaran mata wang asing juga mendorong pemaustautin baru membuka akaun bank bagi membolehkan pembayaran rumah sewa, internet, telefon, penggunaan air, dapur gas dan minyak dapat diatur segera kerana New Zealand mengutamakan pembayaran mengikut minggu bukan bulanan. Tambahan lagi di musim dingin, penggunaan alat pemanas berasaskan minyak atau gas agak mahal.

Pada minggu awal, penggunaan pengangkutan awam dengan kad Snapper amat kerap untuk berulang-alik ke kampus mengikuti kursus keselamatan sebagai syarat untuk mendapatkan kad pekerja. (New Zealand berada di tengah-tengah tektonik bumi dan pergerakan gempa walaupun kecil dan tidak terasa, berlaku setiap saat).

Berjalan kaki mendaki bukit sepanjang Salamanca Road untuk tiba di Kelburn Parade sangat menduga pada awalnya, namun bila sudah kerap mendaki, tidak lagi tercungap meminta nyawa.

New Zealand; walaupun lokasinya jauh di hujung dunia, kebanyakan urusan perlu diselesaikan dalam talian, dan negara ini seperti negara maju yang lain menggunakan sepenuhnya aplikasi memudahkan urusan masyarakatnya.

Sebagai contoh,  jika anda ingin menandatangi kontrak sewa rumah atau mencari rumah sewa, aplikasi seperti PropertyMe akan membantu. Untuk mencari barangan terpakai seperti perabot, kereta, dan lain-lain pula melalui aplikasi Trade Me.nz, manakala sistem pendaftaran sekolah dalam SchoolAppsNZ yang mengumpulkan semua maklumat sekolah dalam New Zealand dengan kemudahan pemantauan jadual belajar, kehadiran, penyertaan dalam kelas, peperiksaan dan ko-kurikulum.

Paling menarik, maklumat guru-guru untuk dihubungi dan sebagainya turut tertera dalam aplikasi tersebut meletakkan sistem pengurusan sekolah di sini jauh lebih maju dari Malaysia yang masih lagi terikat dengan Telegram sebagai platfom untuk pemakluman, aktiviti sekolah dan sebagainya.

Pengalaman mengurus hidup dan menyesuaikan diri dengan suasana baharu berlaku secara spontan, memerlukan keputusan segera, dan memerlukan pembelajaran melalui pemerhatian, perkongsian dengan teman-teman, dan belajar dari kesilapan sendiri untuk terus tekal dan tabah. Insya-Allah!

Penghargaan

Penulis ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Duta Malaysia ke New Zealand, Encik Abu Bakar Mamat yang sentiasa mempunyai idea yang bernas dalam membantu memudahkan urusan di sini.

Terima kasih jua buat Puan Nadzatul Hilmi Abdullah dan suami, Encik Rizal, Encik Abdul Hafiz Ampuan Tajuddin, Mrs Jonette Crysell, Mrs Djhoanna Lambert, Cik Nabila Farid, Cik Shafiqa Jamal (Eqa) yang telah banyak membantu memastikan penyesuaian di tempat baharu berjalan dengan baik dan aman.

______________________________

Prof Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid merupakan Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand. Beliau turut menjadi Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UM).

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi