Diterbitkan pada 29 September 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman dan beberapa kenalan telah berkunjung ke daerah Setiu, setelah pulang dari Kota Bharu. Beliau menemui Saudara Arif Karimi dan menulis tentang Langgar Rindu.

Sewaktu dalam perjalanan pulang kami ambil peluang singgah di Langgar Rindu milik seorang seniman, yakni saudara Arif Karimi. Binaan tempat tersebut sangat mudah dilihat dari jalan utama Kuala Terengganu – Kota Bharu, sebabnya betul-betul terletak di tepi  bahu jalan sebelah kiri menghala ke KB dari KT.

Tambahan pula dengan rupa dan reka bentuknya yang unik serta lain dari yang lain menyebabkan pandangan kita yang melalui kawasan ini akan mudah beralih padanya. Beralamat di Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu; bangunan ini berupa sebuah surau persendirian, sekali gus sebagai tempat tinggal Arif Karimi.

Kita akan disambut dengan satu poster terang berwarna hijau pekat mengandungi petikan sajak Arif Karimi bertajuk “Sabilillah” yang pernah disiarkan dalam majalah Al-Islam keluaran November 1998:

Yakinlah…

Mahligaimu

Ada Di Sana

Setelah Kau Temui

Tuhan Yang Maha Pengasih

Tuhan Yang Maha Penyayang

Ketika Engkau Semai Budi

Di Ladang Duniawi

Langgar Rindu juga terdapat tunggul-tunggul kayu besar yang sengaja diletakkan sebagai perhiasan. Ada yang diletakkan secara berdiri menegak dan ada juga yang diletakkan dengan gaya jatuh melintang.

Penulis merakam kenangan di tangga Langgar Rindu.

Surau kayu yang unik ini dibina lantainya tinggi sehinggakan orang lelaki dewasa boleh di berdiri di bahagian bawah Langgar Rindu. Malah ketinggian lantai sebegitu, mudah untuk dijadikan tempat parkir motosikal serta ada meja juga kerusi kayu di bahagian bawah rumah.

Kerja-kerja pertukangan yang tidak pernah selesai nampaknya turut kelihatan di bahagian bawah rumah yang tinggi itu pada hari tersebut. Ada kerusi daripada tunggul kayu lama yang diletakkan di halaman untuk dijadikan tempat rehat atau berhenti seketika bagi tetamu yang keletihan.

Arif Karimi yang juga dikenali sebagai Pak Su Arif menganggap Langgar Rindu adalah hasil karya seni yang dibina khusus untuk menghargai almarhum orang tuanya. Jauh lebih dalam, Arif Karimi mengatakan bahawa dia menganggap Langgar Rindu ini adalah sebuah puisinya, diciptakan khas untuk kedua arwah orang tuanya.

Mula dibina pada bulan Julai tahun 2018, kebanyakan kayu yang digunakan ialah dari jenis cengal dan tembusu. Bahagian atas surau kayu ini atau kami orang Kelantan dan Terengganu memanggilnya “perkakas atas” kebanyakannya daripada kayu cengal.

Kebanyakan kayu yang digunakan untuk membina Langgar Rindu sebahagiannya kayu terpakai yang dihadiahkan orang, iaitu daripada dua buah rumah lama dan sebuah dewan sivik Sekolah Sultan Sulaiman. Menariknya, Langgar Rindu dibina oleh Arif Karimi sendiri tanpa mengupah mana-mana tukang kerana katanya dia tidak berkemampuan.

Arif Karimi pemilik Langgar Rindu.

Penulis mengambil peluang untuk memotretkan foto di beberapa sudut menarik di surau berkenaan kerana tidak tahu bilakah akan bertandang ke situ lagi. Panas tengah hari itu sangat membahang. Mujur ruang atas Langgar Rindu banyak yang terbuka membolehkan pengedaran angin jadikan para pengunjung lebih selesa dan nyaman.

Ada sepasang suami isteri yang datang dengan motosikal kuasa tinggi dan singgah menyantuni tuan rumah, serta tidak lupa mereka juga merakam foto seperti pengunjung-pengunjung lain. Malah pengunjung yang berkereta dengan keluarga selalu ada, bersilih ganti. Mereka pun seperti kami, pandangan mata akan segera tertancap pada seni bina istimewa Langgar Rindu dari atas jalan raya apabila melintas lalu di sini. Maka kaki akan segera mahu ikut berhenti dan turun menikmati senibina surau indah dan unik yang terletak di daerah Setiu ini.

Bahan bacaan yang terdapat di Langgar Rindu.

Arif Karimi berceloteh panjang kepada penulis tentang karya dan aktiviti sastera yang pernah diikutinya satu ketika dulu. Selepas lebih setengah jam dia bercerita tentang pengalaman lalunya dalam sastera dan dunia pentas, kami minta izin untuk mengundur diri meninggalkan Langgar Rindu. Udara petang selepas zohor masih membahang. Kami meninggalkan Langgar Rindu untuk bertolak pulang ketika orang masih bertukar ganti datang.

___________________________________________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi