Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTurkiye sebuah negara yang mempunyai 81 buah negeri tetapi bersatu di bawah kibaran bendera yang sama. Jika di Malaysia setiap negeri mempunyai bendera dan identiti tersendiri, namun tidak di sini. Mereka bangga dengan bendera yang berlatarkan warna merah, melambangkan darah pejuang kemerdekaan. Di tengahnya ada bulan bintang berwarna putih. Bintang mewakili bangsa Turkiye dan bulan sabit pula kepercayaan dalam agama.
Kali ini, penulis berpeluang ke sebuah negeri dalam Turkiye, iaitu Bursa. Usai solat subuh, penulis tinggalkan Istanbul. Mengikut perancangan, penulis dan ahli kumpulan yang lain akan sampai di Bursa dan Kusadesi sebelum menjelang malam. Kami hanya diberi lima minit untuk solat sebelum turun sarapan dan daftar keluar dari hotel Park Inn Raddison. Dalam bermusafir, kita akan selalu menemukan perkara sebegini. Wirid dalam bas itu tidak pelik. Tidaklah santai seperti di rumah yang semuanya teratur.

Jalan sekitar Atasehir (Istanbul Asia) sudah mulai sesak ketika kami bergerak menuju jambatan merentasi Teluk Izmit (mengalir ke Laut Marmara). Jambatan Osmangazi yang dibina pada tahun 2016 merupakan jambatan gantung yang terpanjang di Turkiye, menyambungkan Gebze ke Yolova. Pada tahun 2022, sebuah lagi jambatan gantung dibina, iaitu menyambung Canakkale melintasi Selat Dardaneles di bahagian barat. Panjang jambatan ini dapat menandingi jambatan Osmangazi.
Laut Marmara ialah sempadan yang memisahkan Turkiye dari Asia. Istanbul boleh diakses melalui jalan darat mengelilingi Laut Marmara. Kini, kita boleh membuat satu pusingan sehingga sampai ke Istanbul semula melalui pembinaan jambatan tadi. Selain itu, Turkiye juga bersempadan dengan Laut Hitam di Utara, Laut Aegean di Barat dan Laut Mediteranean di Selatan. Kedudukan geografinya di persimpangan laluan sutera menjadikan Turkiye negara yang kaya dengan percampuran budaya dari timur dan barat atau digelar Eurasia.
Masjid Ulu Camii
Selepas dua jam, kami tiba di Ataturk Boulevard. Kami melalui taman bertingkat di bawah ranting pohon oak besar yang sudah gugur daunnya. Pancaran mentari membentuk siluet pohon ke dinding marmar masjid. Sudut fotografi yang estetik yang penulis idamkan. Masjid yang dimaksudkan tadi ialah Masjid Agung Ulu Camii di Bursa, berbentuk empat segi dengan dua buah menara di utara mengapit pintu utama.
Dengan langkah kanan, penulis masuk melalui pintu sisi masjid diiringi doa. Di tengah dewan dari tiga pintu kayu utama itu dibina kolam shadirwan (tempat wuduk) di bawah bumbung kaca. Cahaya dari bumbung kaca menerobos ruangan dewan mewujudkan suasana damai dan tenang.

Cahaya lembut dan warna dalaman masjid begitu menenangkan. Hiasan kaligrafi warna kayu menonjolkan lagi seni islamiknya. Keseluruhan dinding dan tiang dihiasi dengan seni khat kufi yang merangkumi ayat al- Quran, Asma ul-husna dan selawat ke atas Rasulullah. Mimbar tinggi daripada ukiran kayu diletakkan dalam bilik kaca. Mimbar tersebut dibina daripada kayu yang dicantum tanpa paku dikenali sebagai seni kundekari yang berasal dari Anatolia. Mihrabnya dilingkungi dengan pengadang kayu berlorek separas lutut. Sayangnya, ruang tersebut yang hanya dibuka ketika solat jemaah sahaja, bukan ketika lawatan.
Masjid ini didirikan oleh Yildrim Beyazid selepas memenangi peperangan Nicopolis menentang tentera salib. Beliau bernazar untuk membina masjid. Akhirnya impian itu dibangunkan pada tahun 1396 dengan 20 buah kubah dalam masjid oleh arkitek, Ali Neccar. Masjid tersebut merupakan masjid yang terbesar di Bursa dan dipengaruhi oleh seni bina Seljuk pada awal pemerintahan Empayar Uthmaniyah. Malah, masjid tersebut juga kelima terpenting dalam sejarah Islam. 20 buah kubah yang dibina menjadi ciri khas atau keunikan Masjid Ulu Camii. Terdiri dari empat baris, setiap baris terdiri lima buah kubah ditampung dengan 12 batang tiang bersaiz empat persegi. Dengan itu menghasilkan petak-petak di bawah kubah.
Mengikut cerita jurupandu kami, semasa pembinaan masjid, ada seorang wanita Kristian tidak membenarkan dibina ruang solat di atas tanahnya. Namun begitu, sultan berkompromi dengan membina kolam shadirwan untuk memenuhi permintaannya dan bersetuju menyerah tanah miliknya. Begitu harmoni hubungan antara agama mengikut tuntutan Islam.
Kolam shadirwan dalam bangunan itu kekal bersih. Elemen air itu menjadikan suasana sejuk. Desir aliran air juga nyaman halwa telinga. Alangkah bahagia mereka yang menginfakkan tanah untuk kegunaan orang ramai. Bagi seorang Muslim, pahalanya mengalir ke syurga. Usai lawatan, kami sekadar meninjau kedai (window shopping) yang berhampiran. Dalam tentatif, kami tidak akan membeli belah di Bursa yang terkenal sebagai kota pengeluar kain sutera. Setiap kedai mempamerkan pashmina dan penulis hanya mampu melihat. Masa mencemburui, tidak sempat penulis membeli apatah lagi tawar menawar harga dan membanding harga dari kedai ke kedai.
“Kenapalah tiada aktiviti membeli belah?” Rungut penulis pada jurupandu. Rugi tidak dapat menjejaki ke Koza Han yang terkenal sebagai pusat jualan sutera. Tempat tersebut merupakan hentian terakhir perdagangan sutera melalui jalan darat dari China. Pedagang Bursa menyebarkan syariat Islam merentasi Asia Tengah sehingga ke China.
“Nanti di Cappodocia dan Bolu kita singgah kervansaray. Lagi murah dan banyak pilihan.”
Koza Han asalnya sebuah kervansaray yang dibina oleh Sultan Uthmaniyah sebagai tempat berlindung melepas lelah dan bermalam para pedagang. Di situ, ada kemudahan restoran dan kedai tukang besi yang memudahkan urusan kembara. Juga tempat parkir haiwan tunggangan dan muatan dagangan. Kervanseray besar teguh seperti kubu menjadikan tempat yang selamat dari serangan puak Mongol.
Masjid Yesil Camii
Seterusnya, kami meninggalkan Koza Han dan menuju ke Masjid Yesil Camii. Yesil dalam bahasa Turki bermaksud hijau. Bursa juga terkenal sebagai kota yang menghijau dengan tanaman zaitun, tin dan aprikot. Masjid Yesil Camii terletak dalam kawasan kompleks dikelilingi taman menghijau di atas bukit. Ada dataran dengan huruf BURSA tersusun berwarna warni, malah bangunan kedai sutera yang berhampiran juga berwarna terang menjadikan kawasan tersebut sebagai satu daripada tempat merakam kenangan yang wajib dirakamkan foto bagi setiap pelancong.
Kami berjalan santai menikmati suasana nyaman menuju ke masjid marmar putih dengan tingkap yang berseni tersebut. Dilengkapi kubah dan dua batang menara dari bata merah. Kelihatan seperti dua tingkat kerana ada jendela tinggi untuk pencahayaan. Jendela di bawah merupakan mihrab kerana musim panas, jemaah melimpah sampai ke luar masjid dan berjemaah di kawasan rumput yang ditinggikan. Masjid tersebut didirikan sejak awal pemerintahan Uthmaniyah, iaitu semasa pemerintahan Celebi Mehmet.
Keturunan Uthmaniyah asalnya suku Turguz Oghuz dari Khorasan. Ertugul, bapa kepada Osman Ghazi telah dilantik sebagai gabenor Sogut oleh Sultan Kayqubad I dari Dinasti Seljuk (1037-1300). Puak Seljuk asal dari nomad antara Parsi dan Anatolia. Mereka berpindah mencari kawasan subur untuk pertanian. Mereka mendirikan khemah sebagai penempatan sementara. Pintu seperti bukaan khemah inilah tarikan pertama yang mengaitkan dengan ciri binaan Seljuk.
Tiang yang menyokong pintu dihiasi gemburan yang berlekuk. Sekali pandang seperti stalaktit, ada juga yang kaitkan seperti sarang lebah (beehives). Inilah rekaan seni dari Parsi. Seperti masjid di Parsi, air pancurnya berada di depan pintu masuk digunakan untuk mengambil wuduk. Hanya satu pintu menjadi laluan membuka ke ruang lobi yang dihiasi dengan marmar hijau pada dinding dan lantai. Hiasan muqarnaas berulang pada setiap tiang dalam masjid. Bahagian dalamnya berwarna hijau yang harmoni dan menakjubkan. Jubinnya buatan tempatan yang sangat bermutu sehingga nampak berkilat. Sesuai dikenali sebagai Yesil Camii.
Dewan solat berbentuk T terbalik. Naik beberapa anak tangga ke depan ialah mihrab, ke kiri kanan ialah ruang untuk wanita dan anak-anak. Siling dewan tinggi dan kelihatan balkoni di bahagian atas lobi. Hiasan dalaman kubah juga mengguna jubin hijau berkualiti disusun corak geometri. Indah pantulan seperti corak kaleidoskop. Di tengah – tengahnya tergantung lampu candelier dari besi tempawan.
Dingin semilir angin menyapa kami sebaik usai jawlah. Begitu nyaman suasana kerana masjid berada di atas bukit dan saujana menghijau di sekelilingnya. Bersebelahan masjid ialah Yesil Turbe, mausoleum berwarna biru firus menempatkan makam Sultan Mehmed 1, sultan yang membina Yesil Camii. “Interior turbe dan Camii seperti bangunan kembar kerana dibina oleh arkitek yang sama.” Jurupandu hanya memberi sedikit gambaran dan tidak membawa kami mendaki tangga tinggi ke dalam makam.
Jika mahu ziarah makam perlulah bermalam di Bursa. Selain makam Sultan Mehmet 1(sultan ke-5), ada dua makam lagi di Tophane, iaitu makam pengasas Kesultanan Uthmaniyah, Osman Gazi dan anaknya Orhan Gazi. Manakala Sultan ke-3 Murad 1 mangkat di Kosovo dan sultan ke-4 Yeldrim Bayezid mangkat dalam tahanan di Tamerlane, tetapi tidak dinyatakan makamnya.
“Eloklah kita datang lagi menginap dua tiga hari di sini. Baru boleh tulis buku.” Penulis lontarkan impian kepada pada Bella.
Bas meluncur laju meninggalkan Bursa, ibu kota pertama Kerajaan Uthmaniyah. Perut kami sudah minta di isi. Mujur ada teman yang dikenali sebagai Mak Teh membawa bekal kek sarang semut. Seronok dapat kembara dengan orang yang rajin masak. Dia sengaja kukus kek untuk “berkelah” dalam bas.
Rombangan kami rancak berbual dan berkenalan dengan teman-teman seperjalanan. Ada pasangan dari Sarawak, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan penulis mengaku dari Selangor. Orang Selangor pula dari Gombak, Bukit Saujana, Shah Alam dan Kepong. Kami 20 orang kembara bersama Jawahir Travel and Tours. Diketuai oleh Sara, gadis seusia anak penulis.
Bas merentas kawasan pertanian melalui lebuh raya enam lorong. Pemanduan pun lancar. Mentari bersinar terang, langit membiru dan disajikan pemandangan tanah rata yang mendamaikan. Walaupun sudah bermula waktu menuai, Turkiye di awal September masih menghijau dengan tanaman. Saujana mata memandang!
Kami berhenti makan tengah hari di restoran yang menghidangkan sup, salad, kofta (bebola daging) dan nasi butter. Ini baru betul menu Turkiye! Semalam makan menu Indonesia. Jangan lupa mencuba masakan tempatan jika merantau ke negeri orang.
Dari kawasan padat penduduk kami beransur melalui rumah-rumah yang terpencil dalam ladang luas. Perut kenyang maka mata pun mulalah layu. Perjalanan seterusnya sunyi kerana masing-masing dibuai lena. “Eh, kenapakah bas berhenti tengah lebuh raya?” Getus penulis.
Pemandu bas, Mustapha turun membawa baldi dan mencari pili air. Mungkin mahu sejukkan enjin panas. Bas terus dipandu tapi 30 minit kemudian berhenti lagi. Sekali lagi Mustapha terpaksa menyeberang lebuh raya luas itu untuk dapatkan air. Tindakan itu membahayakan.
“Pelik bas ini. Bukan kehabisan minyak tapi mahu di isi air. Apa masalahnya?” Soal Pak Din pada jurupandu tempatan, Osh. Osh sudah menggelabah menelefon nombor bengkel dan tauke bas. Katanya bas rosak!
Mustapha terus memandu dan berhenti setiap 15 minit. Mentari sudah condong dan langit semakin senja. Kami sepatutnya sudah tiba ke Kusadesi selepas 12 jam perjalanan. Laluan kami di kawasan ladang yang sunyi. Hanya kelihatan kincir angin moden (windfarm) membarisi banjaran bukit.
Kami singgah di pekan kecil untuk solat jamak. Masjid dikelilingi pohon-pohon hijau yang mula bertukar kekuningan. Tanda-tanda bermula musim luruh. Masjid kecil tetapi selesa. Cuma bilik air Muslimah seperti sudah lama tidak digunakan.
Osh menghilangkan diri bersama bas dan drebar. Mereka mencari bengkel dan kami ditinggalkan menunggu. Kami duduk berehat di bawah pohon epal. Ada juga pohon zaitun dan limau. Mak Cik dari Terengganu sempat lagi membeli satu kilo limau dan kami berkelah di situ. Hari semakin sejuk dan kami mulai resah.
Osh mengajak kami berjalan ke bengkel kerana ada tempat menunggu. 10 minit berjalan kami sampai dan bas masih belum siap dibaiki. Kedai sekitar banyak yang sudah tutup. Kafe pun tidak kelihatan, orang pun tiada yang lalu lalang. Mungkin kawasan tersebut kilang yang terbiar.
Setelah lama menunggu, kami melonjak gembira apabila Mustapha berjaya hidupkan enjin dan bas mula bergerak. Bas semakin perlahan selepas memasuki lebuh raya. “Jauh lagikah destinasi kita?” laung Pak Din dari tempat duduk belakang.
Dalam remang senja, penulis berdoa supaya kami tidak terperangkap di tengah ladang. Meremang juga bulu roma takut tersesat ke alam bunian. Osh dengan muka kelat menukar rancangan supaya kita makan di kawadan rehat dan rawat sambil menunggu bas ganti. Pukul 8.10 kami sampai ke kawasan tersebut. Makanan sudah tersedia, hanya untuk kami tiada pelanggan lain yang menyinggahi.
“ Siapa yang mahu ke tandas? Jom teman.” Sara ketua kumpulan kami mahu pastikan jangan ada yang tercicir.
Menu kami nasi butter dengan kebab. Memang sedap tapi layanan budak perempuan itu agak kasar. Mungkin dia sudah penat dan mahu cepat-cepat pulang. Pak Din menegur kerana dia belum habis makan dan budak pelayan sudah mengutip pinggan mangkuk. Orang Melayu pantang jika tangan lalu lalang di depan pinggan ketika masih makan.
Budak itu tergelak -gelak kerana dia tidak faham bahasa Inggeris. Dia ingat Pak Din berjenaka. Benda kecil pun jadi isu kerana kami sudah stres, letih kerana seharian bermusafir. Dari subuh dan belum ketemu bilik menginap lagi.
Pukul 9.30 malam, bas ganti tiba. Osh menarik nafas lega. Mustapha mengucapkan selamat tinggal kerana dia akan undur balik ke bengkel tadi. Kami menghala ke Kusadesi dalam gelap malam dibawa oleh “drebar” baharu, iaitu Ishmael.
Kami tiba di Faustine Hotel pukul 11 malam. Cepat-cepat kami daftar diri kerana katil sudah memanggil. Penulis ditempatkan bersama-sama Bella dan menempatkan tiga katil bujang. Bella pilih katil di tepi tandas, penulis di tengah dan katil tinggal kosong berhampiran tingkap.
Penulis tersedar di tengah malam kerana bermimpi ada budak kecil tidur di katil kosong dan suhu bilik sangat sejuk. Kami tidur dengan lampu menyala. Langsir bergerak-gerak di tiup angin. Alangkah terkejut kerana pintu gelangsar sudah terbuka! Biar betul, tidak mungkin orang masuk kerana berada di aras 7. Penulis tutup pintu gelangsar, baca ayat kursi dan sambung tidur.
Baru diusik mimpi sudah lemah semangat. Jauh api dari panggang berbanding dengan keturunan Kayi suku Turguz Orguz yang meneroka kawasan rumput gunung ganang, melawan serangan Monggol dan tentera salib untuk menegakkan tamadun Islam yang menyambung legasi sistem khalifah dan kegemilangan Islam.
Esoknya penulis tersedar mendengar deruan ombak. Kuselak langsir dan lautan luas terbentang di depan mata. Patutlah sejuk kerana angin kuat sehingga menolak pintu gelangsar. Kata Osh. “Kusadesi ialah kota tepi laut menghadap Laut Aegean.”
Sayang tidak dapat berlari-lari di pantai melayan deruan ombak kerana kami bertolak selepas sarapan. Hari ini menuju ke Izmir, Selcuk, Ephesus dan akan bermalam di Pamukkale.
