Diterbitkan pada 23 September 2025, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Malaysia 2026, dan Halim Abdullah ingin memperkatakan tentang Bandar Diraja Klang yang dilawatinya.

Penulis baru-baru ini berkesempatan mengunjungi Bandar Diraja Klang buat pertama kalinya. Perjalanan dari Johor Bahru ke Klang mengambil masa lebih kurang empat jam setengah.

Sebelum itu, penulis ingin titipkan beberapa info tentang Klang. Klang merupakan satu daripada satu bandar yang tertua di Malaysia. Dikenali sebagai Bandar Diraja Klang, daerah tersebut mempunyai kekayaan sejarah, budaya dan kepentingan ekonomi di Malaysia.

Klang telah menjadi sebuah penempatan sejak zaman Kesultanan Melaka dan lebih awal lagi sebagai pusat perdagangan. Sebelum Kuala Lumpur dan Shah Alam, Klang pernah menjadi ibu negeri Selangor. British mewujudkan pusat pentadbiran di Klang pada akhir abad ke-19, dan hal ini meninggalkan seni bina kolonial yang masih wujud sehingga kini.

Klang terletak kira-kira 32 kilometer barat Kuala Lumpur dan terletak di sepanjang Sungai Klang. Terbahagi kepada dua kawasan utama, iaitu Klang Utara dan Klang Selatan yang dihubungkan dengan beberapa jambatan seperti Jambatan Kota dan Jambatan Sultan Abdul Aziz Shah.

Klang merupakan bandar kepada masyarakat berbilang bangsa dan budaya, terutamanya Melayu, Cina dan India. Kepelbagaian ini dapat dilihat dalam perayaan, makanan dan tempat ibadat yang terletak di bandar tersebut seperti Masjid Diraja Sultan Suleiman, Kuil Sri Sundararaja Perumal yang juga merupakan salah satu kuil Hindu tertua di Malaysia dan Rumah Berhala Kwan Imm.

Setiba di Klang, destinasi pertama yang penulis kunjungi ialah Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz. Muzium tersebut mempamerkan sejarah Kesultanan Selangor, termasuklah artifak diraja replika seperti permata mahkota Selangor, potret dan seni bina budaya.

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz merupakan cetusan idea Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pada mulanya dipanggil “Muzium Kenangan” dan dibina pada tahun 1988 di Jalan Kota, Kampung Jawa di Klang.

Selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah menaiki takhta pada tahun 2001 sebagai Sultan Selangor ke-9, baginda bertitah supaya Bangunan Sultan Suleiman yang dibina pada tahun 1909, dijadikan Galeri Diraja yang baharu. Pada 19 Oktober tahun 2007, Galeri Diraja telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penulis menyaksikan kekayaan sejarah dan warisan Kesultanan Selangor yang berasal daripada keluarga Diraja Bugis Sulawesi di galeri berkenaan. Penulis menelusuri bahan pameran di dalam galeri bagi memahami sejarah Kesultanan Selangor. Penulis dapat menggambarkan perjalanan zaman kanak-kanak Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan tahun-tahun awal baginda sebagai putera mahkota, kerjayanya dalam tentera dan pejabat awam sehingga pelantikannya sebagai Sultan Selangor ke-8 pada tahun 1960 dan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada tahun 2001.

Bangunan tersebut turut mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang mana British mendudukinya semasa zaman penjajah sebagai pejabat tanah dan pentadbiran, Jepun semasa Perang Dunia II sebagai ibu pejabat perangnya dan kemudian oleh beberapa pihak berkuasa tempatan sehingga pemulihannya ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Tidak jauh dari galeri berkenaan, penulis berjalan kaki ke Masjid India Muslim Tengku Kelana yang dibina pada tahun 1910 untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan oleh masyarakat India-Muslim yang tinggal di daerah ini. Masjid ini terletak di Jalan Tengku Kelana yang merupakan kawasan membeli-belah terkenal kaum India.

Bangunan asal masjid ini telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan masjid baru pada tahun 1973. Namun begitu, bangunan ini juga telah dirobohkan bagi menggantikan masjid dua tingkat yang besar dan moden untuk menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.

Masjid Bandar Diraja Klang merupakan sebuah lagi masjid yang menjadi mercu tanda bandaraya Klang. Masjid tersebut tampak indah berikutan kedudukannya di tebing Sungai Klang yang menjadikannya seolah-olah seperti masjid terapung. Masjid tersebut siap dibina pada tahun 2009 untuk menampung jemaah yang lebih ramai, selain daripada Masjid India dan Masjid Sultan Suleiman.

Penulis kemudian mengunjungi Masjid Sultan Suleiman. Sejujurnya, penulis sangat tertarik akan seni bina yang unik masjid berkenaan. Dibina pada tahun 1934, dan pernah dijadikan Masjid Negeri. Malah, Khutbah Jumaat dari masjid ini pernah disiarkan melalui televisyen suatu ketika dahulu.

Kawasan masjid ini turut menempatkan Makan Diraja, Isteri-isteri raja dan juga kerabat terdekat Diraja. Berhadapan dengan masjid berkenaan ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) yang merupakan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Klang. Ramai tokoh intelektual, tokoh politik serta alim ulama telah dilahirkan oleh SBP tersebut semenjak penubuhannya pada tahun 1955.

Destinasi terakhir penulis ialah Jambatan Kota, iaitu jambatan dua tingkat pertama di Malaysia. Terletak di seberang Sungai Klang di bandar Klang. Jambatan itu pada asalnya mempunyai jarak yang lebih panjang, namun sebahagian daripada jambatan itu telah dialihkan untuk membolehkan pembinaan jambatan baharu di situ.

Dek atas telah ditukar kepada ruang awam dan tidak lagi membenarkan lalu lintas kereta, namun dek bawah masih terbuka kepada pejalan kaki, basikal dan motosikal. Banyak sebenarnya peristiwa penting sejarah yang membawa kepada pembinaan jambatan tersebut. Hal tersebut termasuklah peristiwa pencerobohan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Kesimpulannya, kunjungan penulis ke BandarDiraja Klang baru-baru ini membuka mata dan minda penulis akan keunikan bandaraya ini. Penulis kini lebih memahami mengapa bandaraya ini digelar sebagai bandaraya Diraja.

Selain menempatkan tempat bersemayamnya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, turut menjadi saksi bagaimana masyarakat berbilang kaum hidup secara harmoni di bandar tersebut.

Bandaraya Diraja Klang adalah gabungan warisan Diraja, kepentingan sejarah dan pembangunan moden, menjadikannya kawasan utama dalam landskap budaya dan ekonomi negeri Selangor.

____________________

Penulis makalah ini, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi