Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPekan merupakan sebuah bandar bersejarah yang terletak di negeri Pahang, dan berperanan sebagai bandar Diraja Pahang. Berdasarkan cerita rakyat tempatan, nama Pekan diberikan sempena nama tumbuhan berbunga bernama Bunga Pekan yang pernah tumbuh liar di sepanjang tebing Sungai Pahang.
Bunga tersebut dikatakan berwarna putih seperti bunga melati. Terdapat juga sesetengah pihak yang berpendapat bahawa Pekan memperolehi namanya daripada maksud perkataan Pekan itu sendiri yang merujuk kepada bandar, pasar atau tempat orang berjual beli.
Pekan pernah menjadi ibu negeri Pahang pada tahun 1889 sehingga 1898 sebelum berpindah ke Kuala Lipis pada tahun 1898. Pada tanggal 27 Ogos 1955, pusat pentadbiran Pahang dipindahkan dari Kuala Lipis ke Kuantan. Bandar Pekan terletak di sepanjang Sungai Pahang, dan kira-kira 50 kilometer ke selatan Kuantan.
Pekan terkenal dengan kekayaan warisan budaya, yang menggabungkan tradisi Melayu, pengaruh diraja, serta adat tempatan. Pekan sering dianggap oleh pengunjung sebagai tempat yang damai dan indah dengan banyak kepentingan sejarah. Satu daripada mercu tanda bandar yang paling terkenal ialah Muzium Sultan Abu Bakar, yang terletak di dalam bangunan gaya kolonial yang pernah menjadi istana diraja.
Muzium Sultan Abu Bakar mempamerkan peninggalan Orang Asli yang ditemui di negara ini terutamanya di negeri Pahang. Bangunan muzium ini telah dibina pada tahun 1920-an semasa pemerintahan British. Sejak itu, bangunan itu telah digunakan untuk kediaman rasmi kerajaan British, berek tentera dan istana rasmi Sultan Abu Bakar. Bangunan tersebut turut pernah menjadi kediaman pegawai-pegawai Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Bangunan itu kemudiannya ditukar kepada muzium dan dibuka dengan rasminya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah pada 21 Oktober tahun 1976. Muzium tersebut mempamerkan koleksi barangan kaca dan seramik Cina purba, serta artifak yang berkaitan dengan sejarah Pahang dan sejarah Kesultanan Pahang.
Malah, muzium tersebut turut menghidangkan pengunjung dengan sejarah diraja negeri, artifak dan paparan tentang evolusi budaya Pahang. Penulis turut mengunjungi bahagian bangunan yang dinamakan sebagai Personae Inderapura yang merujuk kepada kepelbagaian watak atau karakter masyarakat yang tinggal di negeri Pahang sejak berkurun lamanya.
Satu bahagian didedikasikan kepada bahagian Air Tangan Diraja, iaitu Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang sangat tersohor dengan kemahiran memasak.
Dua buah buku masakan baginda, Air Tangan Tengku Puan Pahang: Masakan Tradisional Pahang, dan Air Tangan Tengku Puan Pahang: Manisan Tradisional Pahang turut dipamerkan. Masakan sohor negeri Pahang, iaitu Ikan Patin Tempoyak turut diketengahkan di bahagian tersebut.
Terletak berdekatan dengan muzium tersebut ialah Muzium Masjid Sultan Abdullah. Sebelum menjadi muzium, bangunan tersebut merupakan masjid yang dibina pada tahun 1930-an dan dibuka secara rasmi pada 8 Januari tahun 1932.
Keindahan Masjid Sultan Abdullah terserlah dengan seni bina Moor, variasi seni bina Islam yang berasal dari Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Tunisia dan Libya) dan Andalusia di Sepanyol. Kemudian diubahsuai sebagai sebuah muzium seni Islam yang dibuka pada bulan Oktober tahun 2016 dan dikenali sebagai Muzium Masjid Sultan Abdullah.
Terdapat tiga zon bertema dalam muzium berkenaan, iaitu Tamadun Islam, Islam di Pahang, dan Koleksi Diraja. Muzium ini berjubin putih, bertingkap kaca dan berdinding putih dengan gerbang yang menarik yang menghubungkan bilik, menjadikannya terang dan lapang.
Muzium ini mempamerkan artifak bersejarah seperti alat muzik, dan kaligrafi. Ia juga mempunyai penjelasan terperinci tentang pelbagai aspek kehidupan Islam dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Terletak di tengah-tengah antara kedua-dua muzium berkenaan ialah sebuah kafe unik yang dinamakan Kafe Bebilis. Uniknya mengenai kafe berkenaan merupakan sebuah kafe yang dibina dan diubahsuai daripada koc Kereta Api Tanah Melayu (KTM). Usaha ini dilihat wajar dalam usaha memelihara sejarah KTM sebagai salah satu alat pengangkutan yang terdapat di negeri Pahang. Penulis turut mengambil kesempatan menjamu selera di dalam gerabak kereta api sebenar.

Dari segi ekonomi, Pekan terkenal dengan sektor perikanan, pengeluaran getah dan kelapa sawit. Pekan juga lokasi terletaknya ibu pejabat HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd. yang merupakan sebahagian daripada syarikat DRB-HICOM Bhd. untuk pengeluaran dan pemasangan kereta.
Sebelum ini, syarikat tersebut memasang beberapa model Proton seperti Iswara, Satria, Putra, Tiara dan Juara sekitar 1990-an sebelum tahun 2005. Kini, HICOM Automotive memasang kenderaan Mercedes-Benz, Mitsubishi dan Volkswagen untuk pasaran di Malaysia.
Selain itu, kedudukannya yang strategik di tebing Sungai Pahang menjadikannya terkenal dengan aktiviti menyusuri sungai atau lebih dikenali sebagai River Cruise. Pengunjung berpeluang melihat penduduk tempatan memancing ikan, membela ikan patin di dalam sangkar, di samping aktiviti mengorek pasir.
Pekan turut terkenal dengan Tasik Chini yang merupakan tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia. Terdiri daripada 12 tasik dan hutan hujan. Tasik Chini memainkan peranan penting dari segi ekonomi, budaya dan ekologi bagi Orang Asli Jakun yang tinggal di sekitar tasik dan menangkap ikan di perairannya.

Kawasan pantai di Pekan terutamanya Pantai Air Leleh turut menjadi tumpuan pengunjung. Kedudukan Pekan yang kaya dengan biodiversiti menjadikannya destinasi popular untuk pencinta alam semula jadi.
Kesimpulannya, walaupun Pekan merupakan bandar yang kecil, namun penuh dengan kepentingan sejarah, budaya dan alam semula jadi. Pekan merupakan simbiosis daya tarikan sejarah dan budaya dengan pembangunan moden.
Bandarnya yang tenang dengan keindahan alam semula jadi menjadikan lokasi tepat untuk dikunjungi untuk peminat sejarah dan pencinta biodiversiti.
____________________
Penulis makalah ini, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.