Diterbitkan pada 5 November 2025, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Siri sebelum ini, Haswida Abu Bakar telah ke https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2025/07/14/12739/  dan https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2025/07/14/12739/. Kali ini, beliau akan ke Summer Palace. Apa yang ada di Summer Palace?

Summer Palace (Yiheyuan) sering muncul dalam pemikiran, apatah lagi penulis pernah menulis perihal dinasti China dalam sebuah jurnal. Penulisan tersebut memfokuskan tempat dalam Dinasti Qing. Akhirnya, pada tahun 2025, penulis berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah warisan yang sudah lama tenggelam ke dasar ingatan.

Hadza Min Fadli Rabbi.

Bersama-sama rombongan kecil yang dipandu oleh Jason (pemandu pelancong) kami dibawa ke Summer Palace yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai senarai Warisan Dunia pada tahun 1998. Tempat tersebut merupakan satu daripada destinasi pelancongan utama di Beijing, selain Forbidden City, Temple of Heaven dan The Great Wall of China. Terletak kira-kira 15 kilometer di barat laut Beijing, Summer Palace menjadi tempat rehat bagi keluarga Diraja Dinasti Qing.

Sejarah pembinaan Summer Palace bermula pada tahun 1750 semasa pemerintahan Maharaja keenam Dinasti Qing, iaitu Maharaja Qianlong. Menurut Jason konsep struktur reka bentuk Summer Palace merupakan ilham Maharaja Qianlong yang terpesona dengan keindahan West Lake di Hangzhou, Jiangnan. Proses pembinaan tasik tersebut mengambil masa selama lima belas tahun.

“Ketika itu istana ini dikenali sebagai Qingyi atau Garden of the Clear Ripples,” sambung Jason. Qingyi berfungsi sebagai istana rehat Diraja dan Kota Larangan adalah istana rasmi dan pusat pentadbiran.

Summer Palace dibina oleh Maharaja Qianlong sebagai hadiah kepada ibunda beliau, iaitu Maharani Dowager Chongqing. Maharani Dowager Chongqing, antara Maharani Dowager yang penting dalam sejarah Dinasti China. Beliau juga isteri kepada Maharaja Yongzheng dan ibu kepada Maharaja Qianlong pemerintah hebat yang membawa empayar Qing ke puncak kegemilangan.

Sungguhpun begitu, istana tersebut musnah dalam serangan tentera Bersekutu Anglo-Perancis ketika Perang Candu Kedua.  Kemudian dibina semula dan diperluaskan atas arahan Maharani Dowager Cixi.

Apabila nama Maharani Dowager Cixi disebut Jason. penulis lebih kenal Maharani Cixi berbanding Maharani Dowager Chongqing. Maharani Dowager Cixi merupakan figura pemerintah wanita paling berpengaruh dalam era sejarah Dinasti Qing. Beliau dipilih masuk ke dalam istana sebagai seorang gundik Maharaja Xianfeng.

Sungguhpun begitu, setelah melahirkan anak lelaki tunggal Maharaja itu, Putera Zaitian yang kemudian menjadi Maharaja Tongzhi – status kedudukan Maharani melonjak tinggi. Sebaik sahaja Maharaja Xianfeng mangkat, Zaitian yang masih kecil diangkat menjadi Maharaja Tongzhi. Cixi, bersama seorang lagi balu maharaja, iaitu Maharani Dowager Ci’an, yang dilantik sebagai pemangku raja.

Di sinilah bermula era Cixi, seorang wanita yang mengawal dinasti terakhir China selama hampir lima dekad. Beliau bukan sebagai Maharani memerintah secara rasmi tetapi sebagai “kuasa senyap” sebalik dinding atau tirai singgahsana Maharaja Tongzhi yang masih kecil. Maharani Dowager Cixi mempertahankan sistem feudal dan menolak pembaharuan Barat.

Summer Palace musnah teruk akibat pencerobohan tentera Bersekutu Anglo-Perancis dalam Perang Candu Kedua (1860). Kemudian dibina semula oleh Maharani Dowager Cixi pada tahun 1888. Menurut Jason, pembiayaan pembinaan semula tersebut menggunakan sebahagian dari peruntukkan dana tentera laut Qing.

Tindakan ini menimbulkan kontroversi besar dalam kalangan sejarawan hingga ke hari ini. Ada yang melihat tindakan itu sebagai bukti keutamaan Cixi terhadap kemewahan dan kemegahan diraja berbanding kekuatan ketenteraan negara.

Dalam masa yang sama ada yang mentafsirkan langkah itu sebagai tindakan usaha mempertahankan martabat budaya dan warisan identiti China. Bagi golongan kedua, tindakan Maharani tersebut merupakan sebahagian usaha mempertahankan identiti budaya China ketika empayar sedang bergelut dengan ancaman kuasa luar dan pergolakan dalam negeri.

Maharani Dowager Cixi mangkat pada tahun 1908 dan tidak lama kemudian Dinasti Qing jatuh dan digantikan oleh pembentukan Republik China.

Pandangan melata dan menyapa segenap ruang legasi Maharani. Tasik yang melaut luas di depan mata memantulkan langit biru Beijing. Dalam samar bayangan Maharani Dowager Cixi muncul di permukaan itu. Penulis yang berdiri di tepi Tasik Kunming dalam rasa pesona, tersenyum sendirian. Kemudian dengan perlahan meraut pula setiap lekuk landskap dalam pesona yang kian mendalam.

Hanya ketika itulah penulis merasai sisi lain tentang Maharani yang sering digambarkan sebagai susuk figura wanita kontroversi dalam era dinasti Qing.

Landskap Qingyi dalam Dinasti Qing

Qingyi merangkumi tiga buah bukit dan lima buah taman. Dengan keluasan 2.9 kilometer persegi kawasan tersebut menempatkan Longevity Hill, Tasik Kunming dan Jambatan Tujuh Belas Gerbang (The Seventeen Arch Bridge). Uniknya, hampir tiga perempat dari kawasan tersebut adalah tasik. Melangkah ke dalam ruang Summer Palace, mata terus menangkap damai dan tenang Tasik Kunming.

Tasik Kunming terbentang luas di tengah istana, memantulkan bayangan langit Beijing dalam tenang. Kata Jason, tasik tersebut hasil buatan manusia. Penulis terkejut! Pandangan melata semula pada ruang tasik seluas mata memandang. Sukar membayangkan keluasan tasik di depan mata ini bukan tasik semula jadi. Kemudian pandangan itu meraut pada beberapa buah bot pelancong bergerak perlahan di permukaan tasik yang tenang.

“Tanah dari tasik inilah yang digunakan untuk membina Longevity Hill” ujar Jason apabila ditanya tentang ke mana pergi tanah yang digali. Dari kejauhan, sebuah pagoda Buddha berdiri megah di puncak bukit.

Langkah kami kemudian beralih ke Jambatan Tujuh Belas Gerbang, jambatan batu putih yang membelah Tasik Kunming sepanjang 150 meter. Di bawah panas matahari musim panas Beijing tidak terasa berat apabila mata dan hati larut dalam pesona landskap sekeliling.

Setiap tapak di atas batu jambatan menuju ke Pulau Nanhu di hujung sana, diiringi bisikan halus angin lembut tasik ke wajah. Barisan gerbang batu yang melengkung di bawah jambatan ini menjadikan struktur itu kelihatan seolah-olah terapung.

Di kiri dan kanan, deretan ukiran singa batu kecil berdiri megah sebagai penjaga setia sejak zaman silam. Di penghujung jambatan, tenggara Tasik Kunming dan bertentangan Longevity Hill,  langkah membentuk jejak di Pulau Nanhu. Pulau kecil buatan manusia ini umpama permata kecil di tengah Tasik Kunming. Pulau ini tidak luas.

Pada abad ke-18, ketika Maharaja Qianlong mengimpikan landskap yang menyerupai keindahan West Lake di Hangzhou, beliau mengarahkan agar kawasan Tasik Kunming ini diperluas. Sungguhpun begitu, bangunan dan kuil yang sedia ada tidak dimusnahkan. Sebaliknya tanah di sekelilingnya digali hingga bangunan itu terpisah dari daratan. Maka lahirlah Pulau Nanhu dengan keluasan kira-kira satu hektar.

Secara tradisional Tasik Kunming dibahagikan kepada Tasik Selatan dan Tasik Barat kerana letak duduk pulau ini di selatan, maka dengan itu pulau tersebut dinamakan sebagai Pulau Tasik Selatan dan juga dikenali sebagai Pulau Nanhu. Di atas pulau ini terdapat beberapa struktur penting seperti Dewan Hanxu, Astaka Wangyan dan Kuil Raja Naga di mana tempat golongan istana dan rakyat memohon hujan dan keberkatan dari langit.

Destinasi utama di pulau ini adalah sebuah astaka yang menghadap tasik. Astaka Wangyan. Terasa sungguh bagai berada di dalam cerita drama bersiri kisah dewa dan dewi China. Apatah lagi apabila mata menangkap beberapa susuk wanita berpakaian kostum era silam yang disewa. Mereka berlalu lalang di depan mata.

Kemudian pandangan penulis jatuh pula ke arah Longevity Hill di kejauhan sana. Refleksi jambatan batu putih dan langit biru Beijing yang cerah menari perlahan di permukaan tasik. Semuanya bersatu dalam bingkai sempurna seperti lukisan shanshui yang menjadi nyata.

Perjalanan penulis akan diteruskan lagi.

___________________________________

Haswida Abu Bakar ialah Dr. Ayu Haswida Abu Bakar, Pensyarah Kanan Program Filem, Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi