Diterbitkan pada 6 Mac 2025, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri Malaysia, YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Creative Exploration, iaitu program jenama Converse MY (Malaysia) di bawah Kempen LOVE CHUCK Sedunia, di Balai Seni Negara baru-baru ini.
Program Creative Exploration ini melibatkan kerjasama Converse MY (pengurusan jenama Converse untuk pasaran Malaysia), Balai Seni Negara (peneraju bidang seni visual negara dan wakil komuniti seni visual tempatan), UiTM dan MIA (wakil fakulti seni kreatif dari institusi pengajian tinggi negara).
YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin menyampaikan ucapan pelancaran Creative Exploration di Art Depot, Balai Seni Negara pada 28 Februari lalu.
Melalui Kempen LOVE CHUCK Sedunia sepanjang tahun 2025 ini, kolaborasi Converse MY, Balai Seni Negara, UiTM dan MIA yang menggembleng tenaga dalam membina sebuah platform mampan, mampu meraikan semangat kemandirian dalam membangunkan budaya seni akar umbi untuk seni kreatif tempatan.
Dalam program ini, pelajar-pelajar terpilih dari UiTM dan MIA akan menghasilkan karya-karya seni menggunakan kasut Chuck Taylor sebagai bahan utama. Kesemua karya tersebut akan dipamerkan di Balai Seni Negara dari 28 Februari 2025 hingga 12 April 2025. Karya-karya terpilih kemudiannya akan diperagakan di cawangan-cawangan utama Converse MY di sekitar Lembah Kelang.
YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin (tiga dari kanan), YBrs. Puan Dr. Shaliza Mohd. Shariff (dua dari kiri) bersama-sama seniman muda dan tetamu yang menghadiri Majlis Pelancaran Creative Exploration pada 28 Februari 2025 di Balai Seni Negara.
Program Creative Exploration membantu memberikan pendedahan awal tentang pengamalan dan aplikasi seni dalam ruang fesyen komersil untuk pelajar-pelajar yang terlibat. Program ini turut membantu mereka bersuai-kenal dengan Balai Seni Negara dan komuniti pengamal seni tempatan secara amnya.
Secara tidak langsung, program ini turut menempatkan Balai Seni Negara sebagai sebuah lokasi acara dan kegiatan seni yang baik, sekali gus meningkatkan lagi reputasinya sebagai rakan kerjasama yang strategik dalam seni kontemporari Malaysia.
Program Creative Exploration ini turut memasarkan UiTM dan MIA, iaitu institusi pengajian tinggi yang prolifik dan berdaya saing dalam melahirkan bakat-bakat baharu dalam industri seni kreatif tempatan. Pelibatan tersebut membuktikan institusi ini komited dalam menjalinkan kerjasama yang mampan dan berterusan dengan pelbagai pihak.
Menurut YBrs. Dr. Shaliza Mohd. Shariff, Ketua Pengajian Seni Reka dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM, Program Creative Exploration merupakan contoh kegiatan yang diraikan. “Program ini memberikan peluang yang unik dan menarik kepada pelajar-pelajar kami untuk mengembangkan sayap dan bakat mereka. Ada banyak lagi yang boleh diterokai dan kami berharap kerjasama ini tidak berakhir di sini,” ujar Dr. Shaliza mewakili UiTM.
Dr. Shaliza berharap program seperti Creative Exploration bersama-sama dengan Converse MY dan Balai Seni Negara mampu menarik pelibatan lebih banyak pihak untuk berkongsi hala tuju dan matlamat yang serupa dalam usaha membina generasi seni kreatif tempatan yang lebih berdaya saing.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi