Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun yang bermula dari 4 Mac 2025 hingga 1 September 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara membolehkan masyarakat menelusuri legasi seni beliau. Tokoh seni ini dilahirkan di Melaka pada tahun 1935 dan merupakan lulusan Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura.
Pameran yang bertujuan untuk memperkenalkan serta menghidupkan semula legasi Chung Chen Sun sebagai pelukis dakwat Cina dan pendidik seni yang berpengaruh di Malaysia, merupakan salah satu daripada usaha Balai Seni Negara untuk memelihara, mendokumentasi dan mempersembahkan warisan seni negara.
Pameran ini merupakan siri ke-3 dalam Projek Arkib Balai Seni Negara dalam menampilkan pelbagai bahan arkib seperti foto, lakaran, katalog dan wawancara yang memberikan gambaran mendalam tentang proses kreatif beliau.

Selain karya dakwat Cina yang menjadi identiti Chung Chen Sun, pameran ini turut mengetengahkan lukisan minyak dan pastel yang jarang dipamerkan, serta memperlihatkan evolusi gaya seni sepanjang karier beliau.
Sebagai pengasas Malaysian Institute of Art (MIA), Chung Chen Sun bukan sahaja memberikan sumbangan besar dalam dunia seni lukis, malah dalam pendidikan seni di negara ini.
Menerusi koleksi arkib yang kaya, pameran ini bukan sekadar menjadi sumber rujukan sejarah, tetapi turut memperkaya pemahaman tentang sumbangan Chung Chen Sun terhadap seni tempatan dalam konteks sejarah dan budaya di Malaysia.
Pameran yang disusun berdasarkan falsafah Konfusianisme sebagai kerangka utama, dibahagikan kepada enam segmen. Segmen utama dalam pameran tersebut merangkumi Nasional ke Antarabangsa, Pertukaran Budaya dan Seni antara Malaysia dan China, Modernisasi Lukisan Dakwat: Gabungan Seni Timur dan Barat, Pendidikan Seni, Peribadi dan Keluarga, dan Penderma Karya Seni.
Karya-karya yang dipamerkan mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjiao (Tiga Ajaran) yang menggabungkan elemen Daoisme, Konfusianisme dan agama Buddha dalam karya serta pemikiran Chung Chen Sun.

Pembahagian segmen ini turut memudahkan pelawat untuk memahami keseluruhan konsep pameran. Pameran dalam Projek Arkib: Chung Chen Sun bukan sekadar menelusuri perjalanan seni seorang tokoh, tetapi turut menghubungkan seni, pendidikan dan budaya dalam ruang yang penuh bermakna.
Para pengunjung berpeluang menyelami warisan seni serta keintelektualan beliau melalui artifak, karya naratif dan hasil pengalaman yang dipamerkan.
Balai Seni Negara menjemput orang ramai untuk melawat dan menghayati warisan seni karya keintelektualan Chung Chen Sun yang amat menginspirasikan ini.