Diterbitkan pada 15 Mac 2025, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tourism Malaysia melancarkan 36 pakej pelancongan wellness yang menggabungkan elemen kesihatan, budaya dan alam semula jadi semalam.

Menurut Tourism Malaysia, inisiatif ini merupakan pakej-pakej pelancongan yang boleh ditawarkan kepada pelancong terutamanya bagi mereka yang ingin merehatkan diri dan mempunyai minat dalam mencuba pelbagai rawatan diri yang ditawarkan.

Pakej-pakej ini dilancarkan dengan kerjasama 12 pemain industri yang terdiri daripada agensi pelancongan, hotel dan pusat kesihatan merangkumi pelbagai program kesejahteraan holistik, seperti rawatan spa dan terapi tradisional.

Penawaran pakej bermula dari RM 248 merangkumi pelbagai pengalaman kesejahteraan seperti terapi urutan tradisional Melayu, aktiviti pernafasan taici, forest bathing sambil menikmati suasana alam sekitar, mandian air panas yang menyegarkan dan pelbagai lagi.

Tempoh sah pakej-pakej ini sehingga 31 Disember 2026 tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain daripada menawarkan pakej wellness, cadangan program juga melibatkan lawatan ke tempat-tempat menarik yang terdapat berdekatan seperti lawatan ke perkampungan budaya dan sebagainya.

“Pakej ini juga menawarkan lawatan ke tempat-tempat yang telah dikenalpasti bagi membuat aktiviti riadah dan rekreasi yang boleh dilawati oleh para pengunjung,” katanya.

Tourism Malaysia berkata, terdapat 365 spa berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)  yang menyediakan pelbagai rawatan seperti urutan batu panas, rawatan lulur tradisional, aromaterapi, rawatan ibu bersalin, terapi hidro (hydrotherapy), mandian herba terapi Ayurveda serta urutan Malaysia yang memberi tumpuan kepada pelbagai teknik penyembuhan tradisional daripada pelbagai budaya yang ada di Malaysia.

Antara rawatan yang popular termasuk rendaman kaki herba Malaysia, Teknik pernafasan Qi Gong oleh masyarakat Cina, urutan kepala oleh masyarakat India dan rawatan refleksologi yang bukan sahaja mengurangkan ketegangan fizikal, malah turut mengimbangi kesihatan badan, minda dan rohani.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR yang disediakan ataupun menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi