Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubang Jaya – Lebih 5000 pengunjung dijangka membanjiri Summit USJ pada 26 April ini bersempena dengan Konsert Eh Raya 2025, yang menjanjikan pelbagai aktiviti budaya, bengkel tradisional, pertandingan kreatif dan persembahan eksklusif daripada penyanyi terkenal, Noraniza Idris serta barisan artis jemputan.
Konsert ini akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 9 malam, menyajikan pengalaman sambutan Aidilfitri berkonsepkan rumah terbuka masyarakat Melayu yang disulami dengan sketsa, pertandingan serta nyanyian lagu-lagu raya klasik dan kontemporari.
Antara acara utama ialah Bengkel Santai Zapin dan Ronggeng Selangor, yang bakal menyaksikan penyertaan 300 peserta berusia enam tahun ke atas. Turut diadakan ialah pertandingan mewarna Eh, Warna-Warna Raya! melibatkan 300 kanak-kanak dengan hadiah wang tunai, trofi, medal dan buku cerita sebagai galakan kreativiti mereka.
Menurut Noraniza Idris, beliau terpanggil untuk memartabatkan semula tarian tradisional seperti Ronggeng yang pernah mewarnai budaya Selangor suatu ketika dahulu. “Saya ingin mempopularkan semula budaya ini dalam bentuk kreatif tanpa menjejaskan keasliannya,” ujar beliau.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut memberikan sumbangan bermakna kepada penganjuran Konsert Eh Raya 2025 menerusi Program Citra Warisan Perpaduan, yang bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dan penghayatan terhadap warisan seni budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, Ybrs. Puan Aninah Anak Janang berkata agensi tersebut telah menyalurkan sumbangan dalam beberapa bentuk, antaranya ialah Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak “Eh, Warna-Warna Raya!”, yang menyasarkan penyertaan kanak-kanak berumur empat hingga tujuh tahun bagi memupuk semangat kreativiti dan cinta terhadap seni sejak usia muda.
Selain itu, DBP juga menyumbang untuk segmen Pengucapan Awam, yang merangkumi penyampaian cerita, sketsa, dan nyanyian berunsurkan budaya dan warisan Melayu dalam bentuk pementasan yang menghiburkan dan mendidik. Segmen ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan nilai murni dan identiti bangsa secara santai dan mesra masyarakat.
Tambahan pula, DBP turut menaja buku-buku bacaan berunsurkan budaya dan nilai murni yang akan diedarkan kepada para peserta dan pengunjung konsert sebagai usaha menggalakkan minat membaca dan memperluas pengetahuan tentang budaya tempatan.
Secara keseluruhannya, sumbangan DBP melalui Program Citra Warisan Perpaduan sekali gus memperkukuh komitmen institusi ini dalam menjadikan bahasa, sastera dan budaya sebagai medium penyatuan dan pengukuhan jati diri rakyat Malaysia.