Diterbitkan pada 11 April 2025, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur –  804 orang pelajar politeknik kolej komuniti, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), pelajar sekolah menengah, dan pelajar sekolah rendah menyertai Travel Storytelling Competition: Promoting Malaysia Diversity anjuran Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Tourism Productivity Nexus (TPN), Tourism Malaysia (TM), dan Tourism Selangor (TS).
Terbahagi kepada lapan kategori, iaitu Gambar Sekolah Rendah, Gambar Sekolah Menengah, Gambar IPTA/IPTS, Gambar Polycc, Video Sekolah Rendah, Video Sekolah Menengah, Video IPTA/IPTS, dan Video Polycc, pertandingan ini bertujuan memupuk kreativiti dalam mempromosikan pelancongan Malaysia, melalui penceritaan digital.
Setiap peserta dikehendaki memuat naik video dan gambar mereka di media sosial sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan Malaysia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Sepuluh peserta akhir diundang ke MaTiC untuk sesi pembentangan bagi berkongsi kisah di sebalik karya mereka kepada panel juri (12 orang secara bersemuka, dan 58 orang dalam talian).
Para tetamu jemputan, para peserta Travel Storytelling Competition: Promoting Malaysia Diversity, dan YBrs. Puan Haslinda Abd. Hamid (lapan dari kiri) bergambar kenang-kenangan selepas perasmian penutupan oleh YBrs. Encik Rohizam Md. Yusoff (sembilan dari kiri).
Selain itu, pertandingan sampingan – Video Race turut dianjurkan dengan penyertaan sebanyak 48 orang pelajar dari 16 buah kumpulan pelajar sekolah, di mana mereka diberikan masa tiga jam untuk menghasilkan video promosi mengenai MaTiC, dan pelancongan Malaysia.
Tiga puluh orang pelajar PSIS turut menyertai cabaran khas dalam penghasilan kandungan digital yang lebih kreatif dan inovatif.
Acara utama majlis menyaksikan penyerahan Fingerprint Digital Content, sebagai simbol sumbangan kreatif peserta kepada kempen TMM 2026.
Travel Storytelling Competition: Promoting Malaysia Diversity memberi impak yang besar dalam memperkasakan generasi muda dengan kemahiran digital dan komunikasi, menyumbang kandungan segar kepada industri pelancongan, serta memperkukuh Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Dengan sokongan 18 buah syarikat penaja, pertandingan ini berjaya menjadi platform yang berimpak tinggi dalam merancakkan industri pelancongan negara, dan memperkasa pembangunan bakat dalam bidang pemasaran digital, serta pengurusan acara.
Kemuncak pertandingan tersebut berlangsung di MaTiC pada 10 April 2025 bermula dari pukul 8 pagi. Majlis perasmian penutupannya telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Rohizam Md. Yusoff, Peneraju TPN, merangkap Presiden Digital Travel Technology Association of Malaysia pada pukul 3 petang, yang diikuti sesi pengumuman para pemenang, dan penyampaian hadiah.
Turut hadir YBrs. Puan Haslinda Abd. Hamid, Pengarah PSIS; YBrs. Dr. Syafizwan Nizam Mohd. Faroque, Timbalan Pengarah Unit Pengantarabangsaan Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK); YBrs. Puan Siti Nur Baizura Mokhtar, Timbalan Pengarah 2, MaTIC; YBrs. Encik Hasrizal Muhamad Shawal Tukijan, Pegawai Pelancongan Kanan, Tourism Malaysia Wilayah Tengah; YBrs. Encik Mohd Haffez Hanip, Pemangku Pengurus Pembangunan Industri, Pemegang Taruh dan Hal Ehwal Kerajaan Tourism Selangor; wakil-wakil Pengarah POLYCC Zon Selangor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, para juri, dan para penaja.
Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Haslinda, dan Rohizam serta Dr. Syafizwan Nizam, Puan Siti Nur Baizura, Encik Hasrizal, dan Encik Mohd Haffez.
Dalam ucapannya, Encik Rohizam menyatakan rasa berbesar hati dapat menghadiri majlis penuh bermakna yang meraikan bakat muda, dalam bidang pelancongan digital menerusi penceritaan yang menarik.
Ucapan Perasmian Penutupan Travel Storytelling Competition: Promoting Malaysia Diversity oleh YBrs. Encik Rohizam Md. Yusoff.
“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk membangunkan generasi baharu yang bakal menerajui industri pelancongan Malaysia dengan pendekatan digital, kreatif, dan inovatif,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, PSIS yang gigih sebagai penganjur.
Sebagai Peneraju TPN, tambah Rohizam, pihaknya sentiasa komited dalam meningkatkan produktiviti sektor pelancongan melalui inovasi, latihan, serta kerjasama erat antara pemain industri dan institusi akademik.
“Inisiatif seperti ini sejajar dengan matlamat kami melahirkan bakat yang bersedia dengan kemahiran digital, dan keupayaan bercerita yang semakin diperlukan dalam sektor pelancongan,” jelas beliau lagi.
Malaysia amat berpotensi menjadi pusat pelancongan digital di Asia Tenggara. Dengan sokongan kerajaan, industri dan institusi akademik, tambah Rohizam, kita boleh memperkasakan modal insan, dan mempercepatkan transformasi digital dalam sektor ini.
Industri pelancongan Malaysia terus menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada tahun 2023, sektor ini menyumbangkan RM275.8 bilion kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK), dengan lebih 25 juta pelancong antarabangsa direkodkan pada tahun 2024.
“Perbelanjaan pelancongan domestik yang meningkat kepada RM78.7 bilion membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin aktif menerokai destinasi tempatan. Saya percaya, perubahan landskap industri pelancongan hari ini semakin bergantung pada pengaruh digital, dan penceritaan kreatif,” jelas beliau lagi.
Pelancong kini merancang perjalanan mereka berdasarkan kandungan digital seperti video, blog, dan media sosial. Justeru, pertandingan ini menjadi platform penting dalam memperkasakan pelajar sebagai pencipta kandungan pelancongan yang inovatif.
“Saya ingin menekankan bahawa generasi muda, khususnya para pelajar turut memainkan peranan besar dalam memacu industri pelancongan ke hadapan. Anda bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga pemangkin perubahan yang dapat membawa pelancongan Malaysia ke peringkat global melalui kisah-kisah perjalanan yang kreatif dan autentik,” tegas Rohizam yang yakin kemahiran bercerita secara digital membuka peluang untuk berkongsi pengalaman, dan menjadi ejen promosi yang berkesan bagi destinasi tempatan.
Hal ini kerana, tambah beliau, penceritaan yang baik boleh menghidupkan semula destinasi pelancongan, memperkenalkan warisan tempatan, dan mencipta pengalaman yang memberi inspirasi kepada pelancong.
Rohizam berharap program ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk meneroka, berinovasi, dan mengembangkan bakat mereka, serta terus berkembang dan memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara.
Sebelum itu dalam ucapan alu-aluannya, Puan Haslinda berkata pertandingan ini menonjolkan kuasa kreativiti dan teknologi dalam merakam keindahan Malaysia melalui pelbagai perspektif seperti ekopelancongan, warisan budaya, pelancongan bandar dan gastronomi.
“PSIS komited memupuk bakat pelajar dalam bidang digital dan kreatif, sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran penceritaan, komunikasi, dan media digital yang relevan dengan industri moden,” tegas beliau.
Persembahan selingan majlis Perasmian Penutupan Travel Storytelling Competition: Promoting Malaysia Diversity di MaTiC pada 10 April lalu.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi