Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Kerajaan MADANI telah mengumumkan dua inisiatif baharu bagi menyokong industri hiburan tempatan melalui Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) dan Garis Panduan PUSPAL (GPP) 6.0.
Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah ini bertujuan untuk merangsang ekonomi, meningkatkan daya tarikan global serta memastikan industri kreatif tempatan lebih mampan dan berdaya saing.
Ujar beliau,
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya pascapandemik COVID-19, sambutan terhadap acara hiburan langsung menunjukkan peningkatan luar biasa. Penganjuran konsert dan acara hiburan bukan lagi sekadar bentuk hiburan semata-mata, tetapi kini berperanan sebagai satu rantaian ekonomi yang memberikan manfaat besar kepada negara melibatkan vendor kecil, kru teknikal, hotel hingga kepada penerbangan dan pengangkutan awam.
“Kerajaan MADANI menyedari potensi besar penganjuran konsert dan acara berskala besar ini dengan mengambil maklum bahawa penganjuran acara sebegini bukanlah sesuatu yang mudah kerana melibatkan kos operasi yang tinggi, cabaran logistik dan keperluan pematuhan pelbagai agensi yang sering kali menjadi kekangan utama kepada ramai penganjur,” kata beliau sewaktu berucap di Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE).
CEMI yang dikendalikan oleh MyCreative Ventures (MyCV) dengan sokongan Kementerian Komunikasi menawarkan rebat kewangan kepada penganjur acara tempatan dan antarabangsa. Program yang bakal dilancarkan pada 15 Mei tahun ini, menyasarkan acara berkapasiti melebihi 15,000 penonton dengan pelibatan artis tempatan atau antarabangsa.
Bagi artis antarabangsa, penganjur perlu membelanjakan minimum 20 peratus daripada Qualifying Malaysian Concert and Event Spend (QMCES) di Malaysia dengan pelibatan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga kerja tempatan.
Mereka layak menerima rebat 30 peratus dengan maksimum RM1.5 juta serta bonus RM100,000 jika menggabungkan persembahan artis tempatan dan menjual 60 peratus tiket dalam tempoh 30 hari sebelum acara.
Untuk artis tempatan, penganjur perlu membelanjakan 70 peratus QMCES di Malaysia bagi melayakkan mereka menerima rebat 30 peratus dengan maksimum RM1 juta. Bonus RM100,000 turut ditawarkan jika mencapai jualan tiket 60 peratus dengan 20 peratus daripadanya dari pasaran antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, Garis Panduan Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) versi terkini (GPP 6.0) diperkenalkan bagi memudahkan penganjuran acara.
Antara penambahbaikan utama termasuklah pemendekan tempoh permohonan kepada tujuh hari untuk acara berskala kecil dan sederhana.
Prapermohonan kini diwajibkan bagi pengiklanan dan jualan tiket artis luar negara (ALN). GPP 6.0 juga memperhalusi mekanisme pengurusan insiden termasuk prosedur suis pemati (killswitch) dan kecemasan.
Dokumen garis panduan yang bakal dilancarkan pada 1 Mei tahun ini diterbitkan dalam dwibahasa, iaitu dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi memudahkan rujukan semua pihak dalam industri.
Kerajaan menyeru semua penggiat industri untuk memanfaatkan insentif ini bagi menjayakan acara berkualiti tinggi serta memperkukuh jenama Malaysia di peringkat global. Maklumat lanjut berhubung perkara ini boleh didapati di laman rasmi Kementerian Komunikasi atau MyCreative Ventures.