Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) yang merupakan program pendidikan muzium berstruktur.
Menurut KPN, IPIM dirangka dengan menggabungkan pendidikan formal (institusi pendidikan) dan tidak formal (pendidikan muzium) dengan menggunakan pendekatan hands on terhadap koleksi muzium sebagai sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pedagogi.
“Program ini menggunakan Rancangan Pendidikan Muzium berdasarkan koleksi (artifak) yang dirangka khusus mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah serta Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mata pelajaran Sejarah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaaron Ago Dagang dalam kenyataan yang sama berkata bahawa program ini dapat memupuk kefahaman dan kesedaran golongan muda, terutamanya pelajar sekolah terhadap warisan sejarah dan kepelbagaian budaya yang perlu dihargai dan dipertahankan sebagai identiti nasional.
Tambah beliau, program pembelajaran menerusi koleksi ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menggunakan organ deria bagi merangsang dan memaksimumkan tumpuan mereka sekali gus melatih pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sepertimana yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
KPN memaklumkan bahawa sebanyak 41 buah Muzium Persekutuan dan muzium negeri di seluruh negara akan melaksanakan program IPIM ini yang selari dengan pendekatan nilai Malaysia MADANI, iaitu hormat dan keyakinan.
Tambahnya, permohonan program IPIM telah dibuka bermula pada 16 April 2025.
Katanya, pihak sekolah atau guru yang berminat untuk menyertai program ini boleh mengemukakan permohonan melalui pautan https://ipim.jmm.gov.my/.
Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia Unit Pendidikan Muzium di talian 03-2267 1000 samb. 111/166.