Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pementasan teater Magika 2: Antara Cinta dan Dendam yang berlangsung di Auditorium Tuanku Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) pada 19 April 2025 yang lalu sarat dengan mesej positif seperti larangan membalas dendam, kasih sayang dan semangat kekeluargaan, serta keindahan hidup bermasyarakat.
Selain itu, teater ini juga turut menyerlahkan mesej pembentukan sahsiah holistik mahasiswa melalui pelibatan aktif dalam aktiviti luar akademik.
Program anjuran Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) UNIPSAS dengan kerjasama Kelab Aspirasi Suara (VAC) UNIPSAS ini bertujuan memupuk kemahiran pementasan dalam kalangan mahasiswa, selain meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan keberanian di atas pentas.

Pementasan ini turut menjadi platform bagi mempromosikan UnIPSAS kepada pelajar sekolah menengah sekitar Kuantan, serta sebagai ruang terapi minda mahasiswa semasa musim peperiksaan.
Penyelaras Sayap Remaja DPMP UNIPSAS, Puan Nor Azah Abdul Jalil berkata, “Teater ini bukan sahaja mencungkil bakat mahasiswa dalam bidang lakonan dan pengarahan, malah memperlihatkan kebolehan mereka dalam mengurus acara besar yang dihadiri lebih 1000 penonton dari UNIPSAS dan institusi pengajian tinggi sekitar Kuantan.”
Timbalan Presiden Sayap Remaja DPMP UNIPSAS, Daniel Irfan pula berkata, “Magika 2 merupakan hasil kerjasama dan dedikasi mahasiswa yang sanggup berlatih berbulan-bulan demi melahirkan pementasan yang berkualiti.
“Kami berharap tradisi teater seperti ini dapat diteruskan setiap tahun,” katanya.

Berlatarbelakangkan alam magis, Magika 2 mengisahkan pengembaraan watak legenda, Badang yang mencari jalan pulang ke alam nyata sambil menjejaki Ayu, gadis yang pernah bersama-sama dengan adiknya, Malik masuk ke alam bunian sewaktu kecil.
Dalam pencarian penuh cabaran, Badang harus berdepan dengan Nenek Kebayan yang menyimpan dendam dan merancang kejahatan.
Sebagai penutup yang menyentuh hati, barisan pelakon tampil ke hadapan pentas sambil membacakan himpunan hadis yang berkaitan dengan tema utama pementasan, menjadikan keseluruhan teater bukan sekadar hiburan, malah suatu bentuk dakwah seni yang menyentuh jiwa.
Teater ini menjadi bukti bahawa mahasiswa UNIPSAS bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berpotensi besar dalam bidang seni, budaya dan kepimpinan.
Turut hadir ialah YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Effat Mokhtar, Timbalan Naib Canselor HEPA UNIPSAS; dan Ahmad Farihan Abdul Manan, Setiausaha DPMP Kawasan Kuantan.