Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selaras dengan peruntukan inisiatif yang disalurkan oleh kerajaan, projek Warisan Kuala Lumpur (KL) berpotensi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dengan anggaran sebanyak RM7.85 bilion menjelang tahun 2035 yang berfokuskan kepada pembangunan berasaskan warisan dan pelancongan budaya yang mampu menarik jutaan pelancong ke tengah kota.
Demikian ucapan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
Beliau menyatakan bahawa Kuala Lumpur merupakan tempat yang melahirkan seribu satu kisah perjuangan, harapan dan identiti rakyat Malaysia.
“Dalam mengejar pembangunan yang pesat, kita tidak boleh melupakan sejarah yang memberikan jiwa kepada kota metropolitan ini,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek Warisan KL diilhamkan sebagai sebuah rancangan tindakan yang bukan hanya berperanan untuk memulihara aset-aset sejarah, malah menghidupkannya semula sebagai pemacu ekonomi, ruang komuniti dan sumber kebanggaan negara.
Warisan KL ini juga merupakan hasil kerjasama antara Khazanah Nasional, Think City dan DBKL bagi membangunkan kuadran warisan di tengah-tengah ibu kota melalui pelaksanaan 10 projek andalan yang telah dirancang selaras dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.
“Kita mahukan pembangunan yang adil, inklusif dan berteraskan nilai, namun dalam masa yang sama tidak sesekali mengorbankan sejarah, identiti dan jati diri bangsa,” tegas beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Think City, YBhg. Dato’ Hamdan Abdul Majeed berkata projek Warisan KL merupakan inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan melalui kerjasama DBKL dan Think City dengan sokongan Kementerian Kewangan dan Jabatan Wilayah Persekutuan serta pelibatan pemegang taruh seperti Khazanah, PNB Merdeka Ventures, Railway Assets Corporation dan lain-lain.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan nafas baharu kepada kawasan bersejarah kota yang berpaksikan kreativiti, budaya, inovasi dan digital melalui pemacuan ekonomi negara,” ujar beliau sewaktu menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Beliau menyatakan bahawa Warisan KL mampu menyuntik semula roh bandar melalui pemuliharaan bangunan lama menjadi ruang awam yang kembali berseri.
“Warisan ini milik kita semua dan masa hadapan yang gemilang bermula dengan menghargai akar umbi kita,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut termasuklah Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr Dr. Maimunah Mohd Sharif serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.