Diterbitkan pada 24 April 2025, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 bertemakan “Nikmat Saat Ini” yang diadakan di Pentas Ruknu Arabi Perpustakaan USIM, semalam.

Program yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Perpustakaan USIM menyahut baik program dari Perpustakaan Negara Malaysia dengan mengadakan program Jom baca 10 Minit.

Program ini diadakan bersempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun.

“Pada tahun ini, Perpustakaan USIM menganjurkan ceramah Bacaan Pantas bagi meningkatkan lagi budaya membaca dengan menggunakan teknik yang betul dan tepat”

“Sesi ini dikendalikan oleh satu daripada fasilitator dari Kumpulan Bacaan Pantas Perpustakaan sebagai memberi pendedahan awal kepada warga pengguna Perpustakaan dan masyarakat setempat”  jelas Dr. Mohd Helmi Masor @ Mansor selaku Ketua Jabatan Perpustakaan, USIM.

Antara kaedah yang diberikan termasuklah melihat dua atau tiga perkataan, sekali gus bukan sahaja membuatkan seseorang itu lebih banyak membaca tetapi juga dapat menguatkan fokus mata apabila membaca.

Dalam penyampaian yang disampaikan oleh Puan Rohana, beliau menyatakan membaca sebenarnya mudah tetapi perlu banyak latihan, dengan kaedah yang diberikan boleh menarik minat membaca dengan lebih cepat dan tepat.

“Setiap  teknik perlu dibuat berulang kali supaya bacaan lebih pantas dan sebaiknya untuk permulaan pembacaan secara pantas sebaiknya melalui buku fizikal bukan daripada gadget” ujarnya.

Beliau juga berkongsi manfaat bacaan pantas, iaitu memberikan kelebihan  untuk memahami bacaan dengan cepat, menyegarkan minda melalui kemampuan visual dan kognitif yang digembeleng otak yang sihat.

Selain itu, pembaca pantas juga berupaya untuk menulis dan berucap serta menghasilkan idea yang bernas.

Penceramah Puan Rozana menyampaian ceramah 1 jam sebelum Jom Baca Bersama 10 Minit.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi