Diterbitkan pada 5 Mei 2025, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun lebih banyak mengarahkan filem bercorak seram seperti Dukun (2018), Harum Malam (2023), dan yang terbaharu, Kulit Wayang (2025), Dain Said menolak anggapan beliau menggemari genre tersebut.

“Saya tidak meletakkan atau menetapkan corak seram sahaja, sebaliknya berkarya mengikut idea atau ilham yang datang. Kalau genre drama, maka dramalah jadinya. Jika seram, seramlah yang dihasilkan,” ujar Dain.

Beliau menegaskan sedemikian sewaktu tampil sebagai ahli panel pertama Bicara Santai Seni Budaya berjudul “Filem Kulit Wayang– Layar Kain ke Layar Perak” di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Perkhidmatan Kebudayaan dan Kesenian (PPKK), UM bersama-sama GSC Movies, dan Mico Studio (M) Sdn. Bhd. (Mico Studios) itu bertujuan mempromosi tayangan umum Kulit Wayang (KW) di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei 2025.

Menurut Dain, beliau memang meminati wayang kulit sejak dari kecil sewaktu tinggal di Tumpat, Kelantan. Beliau mendapati permainan tradisional tersebut amat berkaitan dengan kehidupan manusia, lantas bercita-cita untuk menghasilkan filem yang membabitkannya.

Duduk dari kiri; Nevin Hiong, Dain Said, Ramzi Ramli; Pekin Ibrahim dan Asrulfaizal Kamaruzaman (berdiri empat dan lima dari kiri), kakitangan GSC Movies bersama-sama peserta Bicara Santai Seni Budaya berjudul “Filem Kulit Wayang – Layar Kain ke Layar Perak” di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya .

Mengenai pemilihan Fattah Amin sebagai pelakon utama, Dain gembira akhirnya dapat memenuhi impian kerana beliau tahu Fattah boleh berlakon dengan baik.

“Saya dapat melihat Fattah tahu membawa watak yang dipegangnya selepas membaca skrip. Meskipun kami tidak saling mengenali, tetapi boleh bekerjasama selepas saya turut “membuka pagar” yang menghalang,” jelas Dain.

Menjawab persoalan apakah corak seram KW akan membantutkan minat penonton, terutama generasi muda mendekati wayang kulit, Dain mengatakan bukan masalah besar kerana warisan tradisi bangsa boleh diangkat dalam filem selagi persembahannya wajar dan menarik.

Selain Fattah, filem terbitan Mico Studios ini turut dibintangi Pekin Ibrahim, Amanda Ng, serta pelakon dari Indonesia, iaitu Jenna Kawaratih dan Reynavenzka Deyandra.

Sebagai panel kedua, Pekin menyatakan beliau telah lama tidak bertemu dengan Dain, sewaktu ditawarkan membintangi KW, selepas Bunohan (2011).

Oleh itu,  Pekin menegaskan beliau tidak menarik diri kerana tahu filem arahan pengarah Bunohan itu pasti bagus. Sememangnya tiada mana-mana pelakon yang akan melepaskan peluang bekerja dengan Dain.

Mengenai Fattah, Pekin menyatakan persahabatan yang terjalin memudahkan kerjasama mereka.

“Saya merupakan rakan sekuliah Fattah semasa di universiti dahulu. Takdirnya, saya menjadi ketua kelas yang perlu mengawasi pelajar di bawah termasuk Fattah. Oleh itu, saya tahu Fattah “mampu” berlakon kerana beliau juga seorang yang baik, dan mendengar kata,” ujar Pekin.

Menjawab soalan Asrulfaizal mengenai tata kelola kerja Dain, Pekin memberitahu pengarah filem sensasi Dukun itu memang sangat teliti ketika mengarahkan Bunohan, sehingga peluh pada wajahnya pun diambil kira, dan perlu mengulang penggambaran aksi berkaitan.

KW yang berdurasi 100 minit dan klasifikasi P13, mengisahkan kehidupan seorang dalang terkenal, Pok Lee (lakonan Fattah) yang musnah apabila Ayu, anak perempuannya mati dibunuh dengan kejam.

Sementara penduduk kampung menyalahkan buaya liar di paya, Pok Lee tidak berputus asa selagi belum menemui pembunuh Ayu yang sebenar.

Untuk pengetahuan bersama-sama, sebenarnya KW adalah filem yang patut terbit lebih awal kerana telah dirancang sebelum wabak COVID-19 melanda dunia. Walau bagaimanapun, penggambarannya terpaksa ditunda lantaran perintah kawalan pergerakan atau PKP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi