Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Dalam usaha memperkasakan seni, budaya dan kesusasteraan Melayu, Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KEKREK) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan telah menganjurkan program Malam Sanggar Puisi Aidilfitri Madani yang berlangsung meriah di Dewan Atabara, Kuantan, malam tadi.
Majlis penuh warna-warni itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bandar Pintar dan Selamat, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YBhg. Dato’ Suhaimi Sulong yang menyatakan penghargaan kepada warga pendidikan daerah Kuantan atas inisiatif memartabatkan semula seni puisi, syair dan lagu tradisional Melayu.
Menurut Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Haji Shaiful Azizi Shukri Mohd Kassim, penganjuran malam apresiasi seni ini bertujuan untuk menyemai semangat kecintaan terhadap warisan budaya bangsa dalam kalangan warga pendidik, pelajar serta komuniti setempat.

“Puisi dan syair merupakan cerminan jiwa bangsa. Melalui bahasa, kita menyulam makna dan menyatukan masyarakat dalam semangat Madani yang luhur,” katanya.
Malam Sanggar Puisi itu diserikan dengan pelbagai persembahan istimewa, dimulai dengan deklamasi sajak oleh Tuan Haji Shaiful Azizi Shukri Mohd Kassim.
Antara persembahan lain termasuklah deklamasi sajak oleh adik Aidil Firdaus (Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib), Puan Hayati Kamaruzaman (pegawai PPD Kuantan), Tuan Rahmin Mahasan (Jabatan Pendidikan Negeri Pahang), dan HM Nordin, wakil Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), yang turut diiringi persembahan silat oleh pasukan Pesilat Licik.
Segmen syair pula memikat hati hadirin dengan persembahan mengasyikkan daripada Puan Mastura Ismail (Syair Irama Perantau), adik Amin Hadhif dari Sekolah Kebangsaan Sungai Isap (Syair Irama Batu Belah), serta Aristom Dorom (Syair Irama Narasi), yang memperlihatkan keindahan gaya pengucapan Melayu lama yang sarat dengan nilai.
Turut memeriahkan suasana ialah persembahan nyanyian lagu tradisional oleh Ezy Band, manakala kemuncak hiburan diserikan dengan nyanyian loghat Pahang oleh Chik Asan, penyanyi lagu loghat yang menyampaikan dua buah lagu berjudul Kata Dulu Kala dan Mainan Jaman Tory, menyuntik rasa nostalgia dan bangga terhadap keunikan dialek tempatan.
Menurut Pengerusi KEKREK, Encik Zarapi Mat Yacob, ilham program ini merupakan hasil kerjasama erat bersama-sama Ketua PPD Kuantan, dengan hasrat utama untuk mengangkat semula seni dan budaya Melayu ke arus perdana pendidikan serta kehidupan masyarakat moden.
“Syair, gurindam dan lagu loghat Pahang ialah khazanah yang perlu dihidupkan semula agar tidak tenggelam ditelan zaman.
“Inisiatif seperti ini membuka ruang kepada generasi muda untuk menghargai akar budaya mereka sendiri,” katanya.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Encik Yusof Kasim; Pengerusi NUTP Negeri Pahang, Encik Mohd Fadzil Mat Taha; Pengetua dan Guru Besar Sekolah daerah Kuantan dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan.