Diterbitkan pada 3 Mei 2025, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ampang – Rungutan dan rasa tidak puas hati terhadap pembayaran atau upah kerja untuk artis veteran tanah air terus kedengaran dalam Program Bicara Santai @ PEMEKAR Hub: Solidariti Artis Veteran (SAVE) 60-an di Warisan Bonda, Hotel Grand Barakah (GBH), baru-baru ini.

Walaupun sudah berkali-kali, pelakon AR Badul, A. Jalil Hamid dan YBhg. Datuk Fauziah Nawi menyebutkannya lagi semasa menjadi ahli panel program anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan GBH itu.

Menurut AR Badul, meski ramai yang menyalahkan pengurus produksi (PM) syarikat penerbitan atas masalah yang berlaku, namun dalam hal ini beliau menjelaskan bahawa ketika berlakon dahulu semasa zaman Allahyarham Datuk Aziz Sattar mengarahkan filem-filem “pecah panggung”, bukan PM yang berurusan dengan artis.

“Penerbit sendiri yang menghubungi artis. Mereka pandai berurusan kerana tahu nilai seseorang artis yang diingini. Tidak seperti sekarang PM mentah, cetek pengetahuan dan pengalaman yang membuat perjanjian dengan artis. Akhirnya, timbul masalah saling mengata, dan menyalahkan,” jelas AR Badul dalam program tersebut.

Beliau menambah bahawa artis veteran ada tiga kategori dan berbeza kadar bayaran berbeza kerana berlainan taraf.

“Perkara ini tidak diketahui oleh PM sekarang. Kalau watak ibu, misalnya, boleh ditawarkan kepada pelakon veteran popular untuk “menumpang” nama, atau cameo”

“Pada masa sekarang, saya pernah mendapat tawaran bayaran besar untuk “kerja” tiga hari. Tetapi, saya tidak terkilan atau marah kerana PM menghubungi semula esoknya untuk membuat perjanjian lain,” ujar Badul yang berpesan artis perlu menjaga imej masing-masing dengan berbincang secara murni, bukan berselisih.

Sementara itu, Jalil yang pernah berlakon sebagai anak angkat kepada watak lakonan Allahyarham Dato’ Mahmud June dalam Harimau Harimau, arahan Adman Salleh di TV3, menganggap legenda tersebut sebagai bapa angkatnya.

“Daripada beliaulah saya mengetahui masalah bayaran tidak setimpal untuk artis veteran. Selama tiga bulan setengah tinggal bersama untuk penggambaran telefilem tersebut, hampir setiap hari Allahyarham menceritakan masalah yang dialaminya,” ujar Jalil yang menyatakan ucapan “Hilangnya sebutir bintang seni negara” apabila seseorang artis veteran meninggal dunia hanya retorik, kerana semasa hayatnya diabaikan.

Selain mengalami sendiri, misalnya pernah ditawarkan hanya RM3000 untuk telefilem 30 episod, beliau mengakui rasa putus asa melihat nasib yang menimpa artis veteran tanah air.

“Disebabkan kadar bayaran yang amat tidak setimpal, saya baru menolak tiga tawaran berlakon,” jelas Jalil yang menggesa persatuan penerbit meletakkan kadar bayaran yang berpatutan kepada artis veteran.

Dalam nada serius bercampur lucu, Datuk Fauziah pula menyatakan memang wajar menghadapi kepayahan sekarang kerana dahulu melawan nasihat ayah beliau agar tidak menjadi orang seni.

“Sekarang hadapilah sendiri segala kesusahan yang melanda. Dahulu tidak hiraukan pesanan ayah agar belajar tinggi-tinggi hingga dapat kerja bergaji besar,” ujarnya yang berpesan kepada anak dan cucu supaya belajar setinggi yang mampu dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang seni.

Bagi Fauziah, beliau tidak mahu nasibnya diwarisi anak cucu meskipun kini pasrah menerima takdir. Sambil menegaskan tidak mahu meminta-minta, beliau tetap akan meneruskan kesenian biarpun memperoleh ganjaran kecil.

“Pada awal dahulu memang sangat gembira walaupun hanya menerima bayaran kecil. Walau bagaimanapun, saya pernah bekerja dengan kerajaan, iaitu sebagai penyiar di Radio Televisyen Malaysia,” katanya yang tidak menyesal, tetapi geram.

Terdahulu program ini telah dimudahcarakan oleh penerbit dan pengarah filem, drama televisyen YBhg. Dato’ Jurey Latif, dan bertambah hangat apabila Sheila Mambo, Chef Yang Jamil, dan Kamarul AR turut tampil bersuara semasa sesi soal jawab.

Semasa sesi soal jawab juga Sheila menyatakan perkara serupa, iaitu meminta penerbit menyelaraskan kadar bayaran untuk artis kerana selama ini berbeza-beza tidak seragam. Itu menunjukkan ketidakadilan, katanya.

Perasmian programtelah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Gerald Hans Isaac, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama-sama YBrs. Encik Mohd. Amran Mohd. Haris, Ketua Pengarah JKKN; dan YBrs. Encik Amran Nasrudin, Pengerusi PEMEKAR.

Dalam ucapan perasmian Dato’ Hans menyatakan bahawa Yang Berhormat (YB) Datuk Fahmi Fadzil sedang meneliti dan akan membawa isu tersebut ke Parlimen untuk dibahaskan, kemudian diluluskan menjadi akta.

Beliau berharap usaha ini akan membuahkan hasil yang amat positif demi manfaat bersama dalam membela nasib artis veteran tanah air.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pelakon filem dan drama televisyen Rahim Jailani juga bertindak sebagai pengerusi SAVE.

Selain itu, YBrs. Puan Sandakiah Datuk Aziz Sattar, Pemangku Presiden PKAVM, dan YBrs. Encik Mohamad Haron Othman, Ketua Bahagian Insurans Individu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Artis veteran lain yang turut hadir termasuklah Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Rahhim Omar, S. Mariam, Fathil Dani, Sabree Fadzil, Anwar Idris, Zaidi Omar, Manan Sulaiman, Dewa Sapri, Kuna, Rashidah Jaafar, Ustaz Dini Juri, dan Zaini Hassan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi