Diterbitkan pada 17 Mei 2025, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya — Program “Apresiasi A. Samad Said 2025”, anjuran bersama Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia (MMU) dan Pertubuhan Seni Nusantara (Nu.Art), meraikan karya Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Seri A. Samad Said dengan pendekatan yang moden, segar dan interaktif melalui sentuhan seni digital.  

Majlis yang berlangsung pada malam Khamis lalu telah dirasmikan oleh Presiden MMU, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud.

Beliau menyatakan bahawa usaha ini telah digerakkan sejak setahun lalu sebagai platform untuk merapatkan jurang antara generasi muda dengan dunia kesusasteraan negara.

Justeru, menurut beliau, pemilihan tema “Sastera dan Multimedia – Naratif Tanpa Sempadan” amat bersesuaian dengan aspirasi ini.

Presiden Universiti Multimedia (MMU), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud.

“Dengan penggunaan teknologi multimedia, puisi SN YBhg. Dato’ Seri A. Samad Said dapat dihayati dengan lebih mendalam oleh generasi kini,” ujar beliau dalam ucapan alu-aluannya.

Program Apresiasi A. Samad Said 2025 turut mempersembahkan pementasan teater puisi Rumah Kosong yang diadaptasi daripada puisi A. Samad Said yang disusun oleh Iryanda Mulya Ramly.

Persembahan ini membawakan naratif emosional tentang kasih seorang ibu, kerinduan seorang kekasih dan dilema seorang lelaki antara cinta dengan perjuangan.

Persembahan teater puisi Rumah Kosong.

Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah Pertandingan Dari Kata ke Kanvas yang dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Nusantara (Nu.Art) dengan kerjasama Fakulti Multimedia Kreatif, MMU.

Pertandingan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menghasilkan karya seni berdasarkan puisi daripada antologi “Rindu Ibu” karya A. Samad Said, sekali gus mengangkat puisi klasik ke dalam bentuk seni digital dan seni generatif yang lebih dekat dengan generasi kini.

Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu Seni Digital dan Seni Generatif, dengan hadiah wang tunai keseluruhannya mencecah RM11,400.

Johan kategori Seni Digital, Tharanni Rajendran.

Bagi kategori Seni Digital, tempat pertama dimenangi oleh Tharanni Rajendran yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Lim Yi An meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai bernilai RM700, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Elena Nazlynn Nazarim yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM500.

Lima peserta lain menerima hadiah saguhati bernilai RM200 setiap seorang. 

Johan kategori Seni Generatif, Muhammad Aizat Akmal Rosli dan Muhammad Danish Irfan Azhari.

Sementara itu, kategori Seni Generatif menyaksikan kemenangan kumpulan Muhammad Aizat Akmal Rosli dan Muhammad Danish Irfan Azhari yang berjaya meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Tempat kedua pula dimenangi oleh pasangan Yong Hui Li dan Danial Mustaqim dengan hadiah wang tunai bernilai RM1,500, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Yusril Ihza Sorahimi, Aiman Hakim Abdul Hasim dan Muhammad Adam Danish Faroak Faquruddin yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Lima kumpulan lain turut menerima saguhati bernilai RM500 setiap satu kumpulan.

Barisan juri dan mentor bagi pertandingan ini terdiri daripada tokoh seni dan akademik tersohor, antaranya termasuklah YBrs. Dr. Anis Haron, YBrs. Dr. Fauzan Mustaffa, YBrs. Dr. Elyna Amir Sharji, Puan Mastura Abdul Rahman,  Encik Rini Fauzan Mohamed Zuhair, Encik Khairy Ishar, Encik Khairul Azmir Shoib, Encik Syafiq Hariz, Puan Nurainun Baniyamin, Encik Badrolhisham Hashim,  Puan Ng Yi Kee dan Encik Hanafiah Waiman.

Majlis turut dihadiri oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dari Istana Negara yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah DBP, YBhg. Datuk Azuan Effendy Zairathnaini; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Roziah Md Yunos; Pengerusi Nu.Art, Puan Mariana Samsudin serta wakil rasmi Dato’ Seri (Dr) A. Samad Said, iaitu anakanda beliau, Encik Helmy Samad.

Sebagai rekod, Program “Apresiasi A. Samad Said 2025”  merupakan salah satu inisiatif di bawah Projek Pemerkasaan Karya Sasterawan Negara, yang bertujuan menghargai dan memperkenalkan semula karya sasterawan ulung negara kepada masyarakat, khususnya pelajar universiti.

Selepas kejayaan penganjuran pertamanya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai pada tahun 2023, program ini diteruskan dengan lebih segar di MMU pada tahun ini.

Antara pengisian utama yang mencuri perhatian pada kali ini termasuklah Galeri Dunia A. Samad Said, iaitu sebuah pameran digital dan interaktif yang menghidupkan warisan karya A. Samad Said menerusi teknologi terkini seperti realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR).

Pelawat dibawa menyelami dunia pemikiran Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Seri A. Samad Said melalui persembahan multimedia dinamik dan hasil seni pelajar yang diilhamkan daripada puisi beliau.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi