Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Encik Sakrani Shamsuddin kekal sebagai Presiden Persatuan Teater Malaysia (PTM) selepas menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan Ketujuh bagi tahun 2025 – 2026 di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4 Mei 2025.

Dengan kemenangan itu, bererti Sakrani mengekalkan jawatannya bagi kali kelima berturut-turut tanpa dicabar sejak tahun 2017 – 2018.

Turut kekal berada dalam senarai Ahli Jawatankuasa PTM dan memegang jawatan yang sama termasuklah YBrs. Dr. Mardiana Ismail sebagai Setiausaha Agung, Cik Nur Alyssa Dania Kamarul Bahrin sebagai Penolong Setiausaha Agung; dan Puan Kencana Wati Md. Yusoff sebagai Bendahari Agung.

Encik Sakrani Shamsuddin (lima dari kanan) berucap ringkas sebelum mempengusi Mesyuarat Agung Dwitahunan Ketujuh di Wisma DBP.

Cik Puan Haslinaz Hanapi atau nama pentasnya, Lin Haslinaz, Encik Helmi Hashim, Encik Saifuddin Saiful Bahri dan Cik Sindu a/p Ramasundran juga kekal berada dalam senarai Ahli Jawatankuasa (AJK)

Sementara itu, beberapa muka baharu turut terpilih berada dalam senarai AJK, seperti Cik Sindu a/p Ramasundran, Encik Rudy Irwan Shukaime, Encik Marzelan Md. Jusoh dan Encik Zaifri Husin.

Mesyuarat Agung Dwitahunan Ketujuh PTM berlangsung dalam suasana mesra dan santai.

Encik Ahmad Salman Zamri yang lebih terkenal dengan nama Salman Al-Farisi, Encik Aris Othman dan Encik Goh You Ping dilantik menganggotai AJK PTM 2025 – 2026 oleh Presiden PTM. Goh sebelum ini ialah AJK dipilih.

Encik Ahmad Nadzlee Fitri Mohammad dan Cik Maslinah Yusof pula terpilih sebagai muka baharu untuk jawatan Juruaudit.

Antara yang tewas, gugur atau menarik diri daripada jawatan masing-masing, termasuklah Cik Siti Rohayah Attan (Timbalan Presiden), Encik Rasdi Daud, Cik Ros Shila Mat Isa, Encik Amin Syakhimi Awang Soh @Yusoff, dan Encik Makmor Zakaria (AJK), serta Encik Mohd. Ismail Shamsuddin dan Cik Amirah Aqilah Megat Adam Malek (Juruaudit).

Walau bagaimanapun, Siti Rohayah yang tewas kepada Encik Mohamad Letfee Ahmad dilantik oleh Presiden PTM sebagai Naib Presiden 1.

Penyanyi, pengacara dan penulis Tuan Dr. Ferri Anugerah Makmur, juga dilantik oleh Presiden PTM sebagai Naib Presiden 2.

Kemenangan Mohamad Letfee yang juga antara tokoh media dan penyiar tanah air, membawa beliau memegang jawatan Timbalan Presiden PTM buat kali kedua. Sebelum ini, beliau ialah Naib Presiden yang dilantik oleh Presiden PTM.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Ketujuh PTM itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa orang ahli PTM.

Turut hadir ialah Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan; penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2020, Puan Aminah Mokhtar; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi; serta pengarah dan pelakon filem, drama dan teater.

Yang berikut ialah senarai penuh Ahli Jawatankuasa Persatuan Teater Malaysia bagi sesi 2025 – 2026:

Presiden: Sakrani Shamsuddin

Timbalan Presiden: Mohamad Letfee Ahmad

Naib Presiden 1: Siti Rohayah Atan

Naib Presiden 2: Dr. Ferri Anugerah Makmur

Setiausaha Agung: Dr. Mardiana Ismail

Penolong Setiausaha Agung: Nur Alyssa Dania Kamarul Bahrin

Bendahari Agung: Kencana Wati Md. Yusoff

Ahli Jawatankuasa:

Haslinaz Hanapi, Helmi Hashim, Saifuddin Saiful Bahri, Sindu a/p Ramasundran, Rudy Irwan Shukaime, Marzelan Md. Jusoh, Zaifri Husin, Ahmad Salman Zamri, Aris Othman dan Goh You Ping.

Juru Audit

Ahmad Nadzlee Fitri Mohammad dan Maslinah Yusof.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi