Diterbitkan pada 14 Mei 2025, 19:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Kumpulan muzik tersohor tanah air, KRU bersama-sama dengan penganjur Icon Entertainment (M) Sdn. Bhd. (ICON), mencipta sejarah tersendiri apabila Konsert GenKRU 2025 menerima dua pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Books of Records (MBR).

Konsert yang berlangsung selama empat malam di Axiata Arena dekat sini, iaitu pada 3 – 4 Mei 2025 dan 10 – 11 Mei 2025 telah dianugerahkan rekod “Jumlah Persembahan Tertinggi dalam Satu Siri Konsert”, dan “Penjualan Tiket Terpantas dalam Tempoh Satu Jam”.

“Jumlah Persembahan Tertinggi dalam Satu Siri Konsert” diberikan oleh MBR kepada kumpulan KRU yang terdiri daripada tiga beradik, iaitu Dato’ Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim atas kejayaan mereka mempersembahkan konsert berskala besar selama empat malam yang beroleh sambutan luar biasa.

Mengulas kejayaan berkenaan, Norman, 53 sebagai wakil KRU menyatakan kejayaan tersebut hasil sokongan padu para peminat.

Pencapaian berkenaan, tambahnya, bukan semata-mata untuk KRU, tetapi bagi semua peminat yang telah menyokong KRU selama lebih tiga dekad.

“Tanpa peminat, Konsert GenKRU 2025 tidak akan mampu mencapai skala ini, dan mencipta sejarah tersendiri,” ujarnya.

Tentang pengiktirafan “Penjualan Tiket Terpantas dalam Tempoh Satu Jam”, ICON memberitahu bahawa sebanyak 8000 tiket konsert terjual habis dalam masa hanya 60 minit, sekali gus membuktikan kekuatan jenama KRU dan keupayaan penganjur.

Pengasas ICON, Iman Tang pula menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti ampuh bahawa produk hiburan tempatan masih mendapat tempat yang kukuh di hati rakyat Malaysia.

“Ini bukan sekadar pencapaian syarikat, tetapi isyarat jelas bahawa peminat muzik tanah air masih dahagakan persembahan artis tempatan berkualiti tinggi.

“Anugerah ini juga menyemarakkan semangat kami untuk terus menjana lebih banyak konsert tempatan yang berimpak tinggi,” tegas Iman.

Beliau, mewakili ICON dan KRU turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Komunikasi atas sokongan berterusan terhadap pembangunan seni, dan industri kreatif negara.

Lebih 30 000 orang penonton telah menghadiri empat malam Konsert GenKRU, yang turut dihebatkan dengan penampilan istimewa artis jemputan seperti kumpulan Feminin dan Elite, serta penyanyi solo Adam AF, sekali gus memperkukuh status konsert tersebut sebagai antara persembahan paling bersejarah dalam industri muzik Malaysia.

Menurut Iman Tang lagi, Konsert GenKRU 2025 merupakan satu penghormatan kerana kredibiliti, dan catatan demi catatan sejarah yang telah dicipta oleh mereka sejak tahun 1990-an, sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi hingga kini.

Konsert GenKRU 2025, tambahnya, bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi menjadi sebuah sejarah perjalanan lebih 30 tahun KRU dalam merevolusikan muzik tempatan, setaraf dengan muzik Nusantara dan antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi