Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan Sambutan Hari Guru pada 16 Mei 2025, sebanyak 40 orang murid dan guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Kajang telah berpeluang menonton teater Suluh Peraba yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.
Rombongan tersebut terdiri daripada murid tingkatan empat yang diketuai oleh guru Bahasa Melayu, iaitu Puan Azrina Hashim sebagai guru pengiring.
Teater yang diadaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari yang diterbitkan pada tahun 1993 ini dipentaskan selama dua hari, iaitu pada 16 Mei 2025 dan 17 Mei 2025.
Skrip teater Suluh Peraba ditulis oleh Allahyarham Zakaria Ariffin dan diarahkan oleh Sobroto Haji Katimin.

Persoalan tentang nilai kehidupan dan falsafah sastera Melayu yang diangkat dalam teater ini membolehkan murid SMK Bandar Seri Putra memahami tentang persembahan teater.
Teater yang bersifat santai dan menghiburkan ini menceritakan tentang realiti kehidupan masyarakat yang masih percaya terhadap amalan perbomohan, di samping menyelitkan unsur komedi yang membolehkan penonton, khususnya murid memahami dan menghayati keseluruhan jalan cerita teater tersebut dengan mudah.

Babak yang dipersembahkan dalam teater ini dapat membuka minda penonton tentang pengajaran yang ingin disampaikan, antaranya termasuklah peringatan agar masyarakat tidak terus terjebak dalam kepercayaan yang bertentangan dengan syariat Islam.
Hal ini secara keseluruhannya memberikan input dan hiburan yang bermanfaat kepada murid SMK Bandar Seri Putra.