Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Karya Melayu klasik berunsur Islam berkesan untuk menyampaikan pesanan moral kepada masyarakat, terutamanya generasi muda masa ini, dan pada masa yang sama berperanan sebagai medium penyebaran agama Islam kepada masyarakat.
Selain dapat menanamkan nilai moral dan keagamaan dalam masyarakat umum, dalam bidang sastera, karya ini bukan sahaja menambah khazanah sastera Melayu klasik, bahkan juga mengetengahkan tentang nilai sejarah dan budaya dan diadunkan dengan budaya Islam dan budaya masyarakat tempatan.
Demikian menurut Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad ketika membicarakan tentang buku Hikayat Para Nabi dan Tokoh-tokoh Islam dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional dalam program “Bual Bicara Warisan Sastera Klasik” bersempena dengan Pameran Samudera Berbicara Pembentukan Dunia Melayu Islam di Muzium Kesenian Islam, tengah hari tadi.
Program anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP dengan Muzium Kesenian Islam Islam ini bertujuan untuk memperkenalkan kajian sastera klasik tradisional berunsur Islam yang diterbitkan oleh DBP kepada masyarakat, khususnya kepada pengunjung.
Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Salmah Jan, keunikan buku Hikayat Para Nabi dan Tokoh-tokoh Islam dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional yang diterbitkan pada tahun 2002 ini adalah terdapat gabungan antara unsur keislaman dengan budaya Melayu tradisional.

Antara tema dan persoalan yang diketengahkan dalam buku ini termasuklah keberanian dan keimanan sebagai kunci kejayaan dalam peperangan yang boleh ditemukan dalam cerita Hikayat Raja Khandak yang mengisahkan tentang tentera Islam yang mempunyai semangat dan tekad kerana berjihad pada jalan Allah.
Begitu juga dengan kisah Lukmanulhakim yang membawa tema dan persoalan tentang pentingnya tauhid dan pengabdian ikhlas sebagai landasan kehidupan.
Kisah ini menceritakan tentang kebijaksanaan seorang ayah dan guru untuk mengajarkan iman dan tauhid kepada anaknya yang sentiasa memberikan peringatan kepada masyarakat.
Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Salmah Jan, masih banyak tema dan persoalan yang boleh dirungkaikan dalam buku ini, dan boleh dijadikan sebagai kajian.
Tambah beliau, melalui cerita dan hikayat, umat Islam dididik bahawa menunaikan rukun Islam bukan sekadar tanggungjawab individu, malah menjadi tanggungjawab semua.
“Banyak lagi kisah yang boleh kita teladani dalam buku ini yang menambah lagi cabang ilmu dalam kesusasteraan Melayu,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemaanusiaan, Universiti Kebansaan Malaysia (UKM), YBrs. Dr. Zubir Idris yang membicarakan tentang buku Puisi Melayu Lama Berunsur Islam pula berkata, puisi Melayu tradisional yang berbentuk keagamaan merupakan satu daripada cara yang digunakan oleh pengkarya untuk menyebarluaskan ajaran Islam.
“Salah satu cara berdakwah adalah melalui hiburan, dan perkara ini telah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pendakwah melalui karya kreatif,” katanya.
Menurut beliau, agama bersifat serius, tetapi kebijaksanaan pengarang yang telah menukar daripada bentuk yang serius kepada bentuk yang sederhana, susunan bahasa yang kreatif dan indah, boleh menyebabkan pendengar terpesona, lebih-lebih lagi dalam bentuk syair apabila dilagukan.

Beliau memfokuskan kepada salah satu syair dalam buku tersebut, iaitu Syair Kiamat yang menceritakan tentang hal yang berkaitan dengan hari kiamat seperti saat seseorang menghadapi sakaratulmaut, kemudian dibangkitkan di padang mahsyar, titian siratulmustaqim, serta balasan syurga dan neraka.
“Proses yang ditunjukkan oleh pengarang ini akan meninggalkan kesan kepada sesiapa sahaja yang membaca buku ini,” katanya.
Menurut beliau, keunikan genre yang terdapat dalam buku ini adalah bertujuan untuk menanamkan tauhid dan ketakwaan kepada Allah.
Antara teknik yang digunakan oleh pengarang dalam penghasilan syair tersebut termasuklah teknik dialog, teknik penggunaan nada, teknik membuat perbandingan dan teknik pengulangan.
Tambahnya, semua ini menunjukkan keintelektualan pengarang silam untuk menghasilkan syair yang bukan sahaja membawa mesej yang terdapat dalam al-Quran, tetapi menyusunnya dalam diksi yang menarik dan rima yang teratur.
“Yang pasti semua teknik yang digunakan oleh pengarang ini memberikan gambaran yang jelas, halus dan tepat, serta dapat menyampaikan perkara yang bersifat serius (keagamaan) dengan mudah tetapi penuh berhati-hati.
“Secara tidak langsung, pengarang telah berjaya menurunkan idea dan memberikan ingatan kepada umat Islam dalam bentuk penulisan kreatif,” katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilayatun Mustafa; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, YBrs. Encik Saifullizan Yahya; dan Ketua Bahagian Pendidikan, Muzium Kesenian Islam, YBrs. Puan Naila Ahmad Faiz.