Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Malaysia Photo Hunt 2025 yang dilancarkan semalam oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.
Tourism Malaysia berkata, Malaysia Photo Hunt 2025 merupakan sebuah pertandingan foto dan video bertemakan pelancongan sebagai inisiatif untuk mempergiat promosi destinasi Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Pertandingan ini akan berlangsung dari 1 Jun 2025 hingga 31 Ogos 2025, dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, pemastautin asing dan pelawat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tourism Malaysia, para peserta perlu merakamkan keindahan destinasi pelancongan di Malaysia dengan menggunakan kamera dan telefon pintar.
Tambahnya, pertandingan ini terbuka kepada semua jenama kamera dan telefon pintar, dan setiap peserta perlu menghantar foto atau video bersama-sama dengan salinan resit sebagai bukti melakukan aktiviti melancong seperti penginapan di premis berdaftar dan berlesen, pembelian tiket ke tempat pelancongan atau tempahan tiket pengangkutan domestik yang bertarikh dari 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos 2025.
Katanya, sebanyak lima jenama terkenal, iaitu Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei tampil sebagai rakan strategik pertandingan ini.
Sementara itu, Perodua turut menyemarakkan pertandingan dengan penajaan 10 buah kereta bagi program Fam Trip untuk pempengaruh yang akan diadakan pada 13 Jun 2025 hingga 15 Jun 2025.
Tourism Malaysia berkata, pengguna kamera dan telefon pintar bagi jenama Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei boleh menghantar penyertaan foto dan video mereka mengikut jenama yang digunakan, dan bagi pengguna selain daripada jenama itu boleh menghantar penyertaan foto dan video mereka untuk kategori Tourism Malaysia.
Menurut Tourism Malaysia, setiap kategori yang disertai menawarkan hadiah tempat pertama hingga tempat ketiga dan 20 hadiah saguhati, serta menawarkan empat hadiah utama bernilai RM100,000.
Daripada jumlah ini, katanya, hadiah bernilai RM15,000 ditawarkan untuk pengguna telefon bagi kategori foto dan RM 25,000 bagi kategori video, serta hadiah bernilai RM25,000 ditawarkan untuk pengguna kamera bagi kategori foto dan RM35,000 bagi kategori video.
Tambahnya, jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini mencecah RM400,000 sekali gus menjadikannya antara pertandingan foto dan video terbesar di negara ini.
“Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri seperti Langkawi Development Authority (LADA), Penang Global Tourism, Sarawak Tourism Board dan Sabah Tourism Board serta persatuan industri pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan dalam kenyataan yang sama berkata, Malaysia Photo Hunt 2025 merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi untuk mempergiat usaha promosi pelancongan negara secara kreatif.
Tambah beliau, pertandingan ini merupakan salah satu program promosi untuk menggalakkan para pelawat domestik dan antarabangsa mempromosikan keindahan Malaysia melalui foto dan video di saluran media sosial mereka dengan slogan “Malaysia Welcomes the World”.
Maklumat lanjut serta borang penyertaan boleh didapati di laman rasmi Tourism Malaysia melalui pautan www.mphunt.tourism.gov.my.
Penyertaan hendaklah dihantar secara dalam talian bermula 1 Jun 2025 hingga 31 Ogos 2025.
Sebagai galakan, dua ribu penyertaan terawal akan menerima hadiah misteri eksklusif daripada Tourism Malaysia.
Keputusan rasmi pertandingan dijangka akan diumumkan pada Oktober 2025, dan akan disusuli dengan suatu pameran khas untuk mempamerkan hasil karya foto dan video yang terpilih sebagai sebahagian daripada kempen promosi menuju TMM2026.