Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Tahan – Kejayaan karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkul pelbagai anugerah menyebabkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Drama RTM sekali lagi memeterai kerjasama dengan DBP melalui projek Srikandi.
Kali ini, Syair Siti Zubaidah Perang China yang diterbitkan semula oleh DBP pada tahun 1991 bakal diangkat menjadi telefilem.
Syair Siti Zubaidah Perang China ini mengisahkan keberanian dan ketaatan seorang wanita, yakni Siti Zubaidah yang berjuang untuk membebaskan suaminya yang menjadi tawanan puteri negara China.
Mengambil inspirasi daripada syair ini, pengarah telefilem Srikandi, Wan Mohd Afzam Wan Daud mengolahnya menjadi suatu naskhah yang sesuai untuk dipaparkan sebagai bentuk filem dan difahami masyarakat umum.
Cereka khas Srikandi mengisahkan liku pengembaraan Siti Zubaidah dalam mencari suaminya yang ditawan lanun. Ketabahan seorang wanita terserlah ketika Siti Zubaidah melahirkan anaknya di dalam gua dalam misinya itu. Pengorbanan yang dilakukan Siti Zubaidah juga bukan semata-mata untuk suaminya malah untuk mempertahankan maruah tanah airnya.
Telefilem ini turut mendapat sentuhan penyelidik dari DBP yang bertanggungjawab memberi nasihat dan pandangan berkaitan aspek penceritaan berdasarkan kisah asal, walaupun cereka khas ini tidak mengambil sepenuhnya jalan cerita dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina.
Busana dan latar tempat yang digunakan sepanjang pengembaraan cereka khas ini juga disiapkan hasil rujukan daripada pakar sejarah agar sesuai dengan zaman tersebut.
Pengembaraan Srikandi kini sedang giat dijalankan dengan kebanyakan babak dirakamkan di negeri Pahang seperti di Gua Kota Gelanggi, Jerantut dan Sungai Tembeling. Satu set berlatarkan perkampungan zaman dahulu juga dibina khas di tebing sungai tersebut bagi tujuan pengembaraan cereka khas ini.