Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lagu tunggal, Sila-sila ke Melaka (SkM) nyanyian Siti Halijah, anak kelahiran Melaka dicipta sepenuhnya oleh Anwar Jaapar a.k.a. Cik Mai, komposer yang juga berasal dari negeri Hang Tuah itu.
Siti Halijah merupakan mantan ahli kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang pernah menyertai Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya se-Malaysia (PIBABM) pada tahun 2011 di Melaka.
Siti pernah merakamkan lagu bersama-sama ratu irama tradisional negara, Noraniza Idris berjudul Cinta Lebaran selepas menyertai rancangan nyanyian berkumpulan, iaitu Gangstarz musim kedua, anjuran TV3, yang melibatkan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia pada tahun 2008 (dengan kumpulan Akasia, One Nation Emcee dan South Trio, mewakili Malaysia).
Siti bersama-sama dengan Cik Mai bersetuju merakamkan SkM yang pernah dipersembahkan oleh Siti dalam PIBABM, serta muncul sebagai juara, dan memenangi Anugerah Lagu Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan Se-Malaysia.
Persembahan Siti atau nama sebenarnya, Siti Halijah Dolah @ Ali dalam pertandingan itu telah mencetuskan idea untuk merakamkan dan menerbitkan SkM dalam pasaran digital.
Siti menganggap SkM merupakan sebuah lagu yang unik, bertemakan semangat pelancongan bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia yang bakal dilancarkan pada September 2025 di Melaka.
“Saya merasakan sekarang masa yang sesuai untuk menerbitkan lagu ini secara rasmi di media masa kini. Bagaikan sebuah langkah baharu buat saya,” jelas Siti yang mula menceburi bidang nyanyian dengan mengasah bakatnya sejak berusia sembilan tahun di sekolah menerusi persembahan yang dianjurkan.
SkM, tambahnya yang juga lebih mesra dengan panggilan Iety, dirakamkan dengan susunan muzik yang lebih segar, dan kontemporari oleh Amy Bong, disertai penggubahan lirik berdasarkan tema Melaka, “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”.
“Lagu ini ada mesej tentang Bandaraya Melaka yang mempunyai warisan sejarah Melaka, serta sebuah bandar raya bersejarah yang diiktiraf oleh UNESCO, sebagai Tapak Warisan Dunia,” kata Siti lagi yang sering menjuarai pelbagai pertandingan nyanyian di Melaka.
Penerbitan SkM ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Melaka semasa bercuti, mahupun hari biasa dan turut membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan.
Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) bertindak sebagai penerbit menjaga hak cipta lagu, dan lirik SkM serta pengedar digital.
Klip video SkM telah dilancarkan di YouTube Luncai Emas, manakala audio rasmi boleh distrim di semua saluran digital.
Siti mula berkecimpung dalam bidang nyanyian secara profesional pada tahun 1999, dan menjadi penyanyi “Briged Seni”, di bawah Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka.
Setahun kemudian, beliau ditawarkan menjadi Artis Residen di bawah MBMB sebagai penyanyi hingga tahun 2012. Tugasnya bukan sahaja menyanyi di Melaka, malah di seluruh negara sebagai memenuhi jemputan acara pelancongan.
Dalam meneruskan bidang kerjaya nyanyiannya, Siti turut menyertai Pertandingan Lagu Irama Asli. Beliau mewakili Melaka dalam Pertandingan Lagu Asli Remaja Peringkat Kebangsaan Tahun 2006, anjuran TV1, dan meraih gelaran Naib Juara bagi kategori Wanita.
“Saya merakamkan lagu tunggal pertama berjudul Emak Pulang yang didedikasikan khas untuk arwah ibu,” jelas Siti yang turut merakamkan lagu Raya Dulu-dulu, melodi ciptaan Tok Lal Melaka, dan lirik oleh Siso Kopratasa.
Walaupun bersuara merdu dan berpotensi, tetapi Siti masih lagi bekerja di MBMB sebagai pelukis pelan yang berjawatan tetap.