Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Udang – Dalam usaha untuk memperkukuh kedudukan Melaka sebagai pusat warisan dan seni budaya dunia, kerajaan negeri Melaka mengumumkan penubuhan Unit Seni dan Budaya Negeri Melaka yang bakal menjadi tonggak utama untuk mempromosikan keindahan dan keunikan warisan negeri ini ke seluruh dunia.

Ketua Menteri, YBhg. Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelancaran unit ini yang dijadualkan bermula pada bulan Julai adalah sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan inisiatif baharu yang akan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, hal ini juga bertepatan dengan sambutan Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, yang akan berlangsung di Melaka dan menjadi platform utama menonjolkan kekayaan budaya dan warisan negeri ini kepada dunia.

YBhg. Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan penubuhan Unit Seni dan Budaya Negeri Melaka pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka bersempena dengan Program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR), DUN Sungai Udang.

“Penggabungan dua entiti utama, iaitu Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Briged Seni Negeri Melaka akan memberikan impak besar dalam usaha memperkasakan seni dan budaya Melaka, tanpa persaingan, tetapi dengan fokus yang sama, iaitu memartabatkan warisan negeri yang kaya ini.

“Melaka mempunyai cerita dan seni yang sangat indah. Kita mahu orang luar melihat dan merasai keunikan budaya Melaka, dan yang lebih penting, kita mahu seni dan budaya ini hidup dan berkembang di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka bersempena dengan Program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang, di sini, semalam.

YBhg. Datuk Seri Utama Ab Rauf berkata, langkah itu juga sebahagian daripada usaha Melaka untuk mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, selain pengiktirafan UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia.

YBhg. Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka.

“Dengan penggabungan ini, kerajaan negeri yakin warisan seni dan budaya Melaka akan lebih terserlah dan mendapat pengiktirafan global.”

“Sokongan kerajaan negeri terhadap penggiat seni tidak akan berbelah bahagi. Seni dan budaya Melaka menjadi nadi negeri ini. Kita mahu melangkah lebih jauh dan membawa keindahan warisan ini ke pentas antarabangsa, supaya seni dan budaya Melaka diiktiraf sebagai simbol keunikan dan kekuatan negeri,” katanya.

Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka bersempena dengan Program WRUR DUN Sungai Udang telah disertai oleh 17 orang peserta membabitkan usia sembilan tahun hingga 70 tahun, dan mempertandingkan dalam dua kategori, iaitu nyanyian dan tarian dondang sayang.

Tetamu jemputan yang menghadiri majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka bersempena dengan Program WRUR, DUN Sungai Udang.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, YBhg. Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, YBhg. Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; dan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Puan Tuminah Kadi@Mohd Hashim.

Turut hadir, YBhg. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), YBhg. Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), YBrs. Drs. Mohd Nasruddin Rahman serta lain-lain kenamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi