Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kubu Bharu – Majlis Tamat Latihan Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan Siri 1 Tahun 2024 dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan Siri 2 Tahun 2024 yang berlangsung di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 30 Mei 2025 telah dimeriahkan dengan persembahan pantomim naratif daripada pegawai latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat.
Persembahan tersebut digarap sebagai tanda penghargaan pegawai latihan JBPM kepada jurulatih yang telah melatih dan membimbing mereka sepanjang menjalani latihan selama sembilan bulan di akademi tersebut.
Dalam persembahan tersebut, Penguasa Bomba (PgB) Jidan anak Jait dan Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nurul Nazirah binti Hassan telah mendeklamasikan sajak berjudul “Di Sini Memori Tercipta” nukilan PgB Mohd Nazrullah bin Abdul Aziz.
Persembahan selama enam minit tersebut turut memaparkan perjalanan pegawai latihan JBPM melalui latihan bermula dari hari melaporkan diri sehinggalah sewaktu bertugas sebagai seorang anggota JBPM. Pantomim yang dilakonkan turut memaparkan kesungguhan dan kesetiaan setiap pegawai latihan JBPM untuk menggalas amanah sebagai salah seorang petugas barisan hadapan yang berkhidmat demi kepentingan masyarakat dan negara.
Selain itu, usaha para jurulatih yang komited dalam membentuk anggota JPBM yang kompeten dan bakal meneruskan perjuangan dapat dihayati melalui bait-bait puisi yang dideklamasikan semasa persembahan tersebut. Petikan puisi tersebut adalah seperti yang berikut:
Suara yang mengajar dan mendidik
di padang kawad ini
latihan bukan sekadar sebuah gerakan
dari hayun langkah kaki dan tangan
terbentuk disiplin
dari disiplin lahirlah wira merah yang sejati.
Majlis Tamat Latihan tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPBM, Yang Amat Setia (YAS) Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohamad.
Dalam ucapannya perasmiannya, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham menyatakan bahawa,
Kejayaan Majlis Tamat Latihan ini merupakan satu penanda bahawa JBPM terus komited dalam menyediakan tenaga kerja yang terlatih dan profesional bagi memastikan keselamatan rakyat serta aset negara sentiasa terpelihara.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, ketua pegawai latihan, pegawai-pegawai latihan dan para jurulatih yang melatih dan mendidik semua pelatih selama sembilan bulan.
Sokongan berterusan JBPM sebagai sebuah organisasi berkaitan keselamatan yang memikul amanah untuk membantu masyarakat dan negara dengan menyelitkan persembahan deklamasi puisi dan pantomim dalam majlis utama JBPM dilihat sebagai usaha murni bagi memartabatkan bahasa dan sastera negara dan usaha ini wajar diteladani oleh semua agensi dan organisasi lain di seluruh Malaysia.


