Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penantian para peminat Gantung The Series yang pernah ditayangkan di kaca televisyen Malaysia dan Indonesia sekitar tahun 2018, teruja apabila mendengar drama tersebut diangkat menjadi filem.
Seperti yang disebut oleh Nadia Khan selaku penulis novel, skrip dan pengarah semasa Majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Gantung: Musketeer Code di GSC Mid Valley Mall, filem siri berkenaan akan menjengah pawagam Jun 2025, kelak.
Menurut Nadia, beliau mengambil keputusan untuk menerbitkan Gantung: Musketeer Code ke layar perak atas sokongan peminat-peminat novel berkenaan.
“Filem Gantung: Musketeer Code direalisasikan atas sokongan peminat novel Gantung yang amat menginginkan kisah daripada novel pertama ditamatkan dengan sempurna”
“Kami di Neddo Works ketika itu sebenarnya sangat terharu kerana sebuah karya novel kontemporari seperti ini benar-benar mahu diangkat ke layar perak, seolah-olah mewakili suara anak muda,” jelas Nadia.
Untuk mengusahakan projek filem berkenaan, Nadia memberitahu mereka memulakan usaha mencari dana pada Januari 2020, dan mendapat sambutan yang memberangsangkan, di mana sejumlah RM200 000 berjaya dikumpulkan menerusi penjualan buku Musketeers, kemeja-T dan cenderamata.
Walau bagaimanapun, ujarnya, akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, pembikinan filem berkenaan terpaksa dihentikan.
“Pun begitu, kami tetap berusaha untuk meneruskannya kerana menganggap ini sebagai amanah peminat yang tetap setia menunggu walaupun tergendala untuk sekian lama. Akhirnya, setelah tujuh tahun menempuh pelbagai dugaan, filem Gantung: Musketeer Code berjaya menjalani penggambaran pada Disember 2023 sehingga Januari 2024,” jelas beliau lagi.
Bercerita lebih lanjut mengenai Gantung, Nadia menjelaskan bahawa filem ini masih boleh ditonton oleh mereka yang tidak mengikuti siri televisyen tujuh tahun lalu.
“Filem ini berdiri sendiri kerana hasil adaptasi daripada novel Gantung yang pertama. Tak dinafikan ada perkara yang berbeza daripada novel, tetapi oleh kerana saya sendiri penulis buku dan juga penulis skrip serta pengarah filem, semangat dan jiwa filem ini tak lari jauh daripada novel,” ujarnya.

“Mereka yang tak menonton siri TV, masih boleh menonton filem ini tanpa sebarang kekeliruan kerana filem ini dibuat untuk berdiri sendiri. Bagi yang tak membaca novel, juga boleh menonton filem ini dengan tenang,” tambah Nadia yang juga Penerbit Bersekutu, dengan Mamu Vies, Hanis Ali, dan Qawiem Hamizan.
Nadia juga bercerita tentang bagaimana tema persahabatan dalam filem ini boleh dihayati pelbagai lapisan penonton. Selain mengimbau kehidupan zaman sekolah, penonton juga akan mengenang usia muda, sewaktu kita mudah tersilap langkah.
Nadia berharap setelah pembikinan filem ini mendapat sokongan pembaca novel, penonton siri TV dan rakan-rakan industri, juga akan mendapat tempat di hati semua yang menontonnya di pawagam.
Terdahulu, drama yang diadaptasi daripada novel buku Fixi terlaris berjudul Gantung, mengangkat kisah empat sahabat, iaitu Gibran/Gibbs, Khalil/Raymond, Jailani/Troll dan Kevin Jeremy/KJ yang melalui tahun akhir di salah sebuah sekolah elit.
Mereka dituduh menjadi punca kematian seorang pelajar perempuan yang telah menggantung diri di auditorium sekolah.
Filem ini melibatkan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Bront dan Sofia, serta dihiasi penampilan istimewa pelakon tempatan yang berkaliber.

Gantung:Musketeer Code bakal berada di pawagam mulai 5 Jun 2025.