Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Terilham daripada pengalaman sebenar beberapa orang individu yang terdorong memusnahkan keimanan mereka kerana tunduk pada hasutan iblis, filem seram psikologi, Laknat: Taat dalam Derhaka (Laknat) bakal menghantui pawagam di seluruh negara bermula 5 Jun 2025.
Filem arahan dan terbitan Saw Teong Hin ini mengupas realiti manusia yang sanggup menyekutukan Allah SWT demi memenuhi hasrat duniawi.
Laknat membuka ruang refleksi kepada penonton bahawa kehidupan di dunia hanyalah persinggahan untuk mengumpul bekalan ke akhirat, dan sebarang bentuk amalan khurafat, serta syirik kepada Allah merupakan dosa besar yang membawa laknat jika tidak disedari, dan ditinggalkan.
Saw Teong Hin berpengalaman hampir 40 tahun dalam industri kreatif sebagai penulis, penerbit dan pengarah untuk filem, televisyen dan teater.
Dikenali dengan sentuhan artistik dan naratif mendalam, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah atas karyanya yang berkualiti tinggi.
Beliau menyifatkan Laknat sebagai “ujian visual dan emosi terhadap kepercayaan manusia”, dan kempen promosi ini bertujuan menjadikan penonton turut mengalami gangguan itu sebelum filem memasuki pawagam.
“Melalui promosi unik ini, kami mahu penonton merasai bayangan gangguan itu lebih awal sebelum masuk ke pawagam. Tidak lupa juga pada rakan pengedaran dan pemasaran kami, D’Ayu Pictures, yang menjayakan kempen ini dari jalanan ke layar lebar,” ujar Teong Hin, yang menggambarkan Laknat sebagai karya sinematik dipenuhi lapisan simbolik, serta kejutan psikologi yang mampu mengganggu emosi penonton.
Laknat turut mengetengahkan mesej mendalam, iaitu “Kehidupan dunia hanyalah ujian. Segala bentuk khurafat dan syirik membawa kepada kebinasaan jika tidak disedari, dan ditinggalkan. Hanya dengan kembali kepada Allah, manusia mampu menyelamatkan jiwanya”.
Laknat turut digerakkan oleh kempen promosi unik yang menjangkau masyarakat secara langsung, termasuk konvoi e-hailing berpelekat khas, edaran eksklusif 5000 sampul raya dengan imbasan QR, serta jelajah bertemu penonton di pelbagai lokasi sebelum tarikh tayangan rasmi.
Laknat membawa kisah Luth (lakonan Aeril) yang mengorbankan jiwanya semasa perjanjian dengan syaitan termeterai. Kehilangan adiknya, Laila (Balqis), telah membuka dimensi gelap yang membawa Luth kepada Laqqus, iblis yang jahat (Datin Umie). Dalam ilusi penipuan Laqqus ini, sisi gelap sahabat kepercayaannya terungkai.

Segala kudrat dan usaha Luth mencari punca kematian Laila bertemu jalan buntu. Semangatnya yang sangat lemah telah membuka ruang kepada iblis menjelma sebagai ahli keluarga Luth, menerusi ayahnya, dan menghulurkan bantuan yang tidak mungkin Luth dapat menolak.
Khayalan menghidupkan Laila untuk mencari punca kematiannya yang mengerikan adalah kemungkaran besar. Kisah filem ini membawa penonton menelusuri tragedi kehilangan Laila, yang membawa kemunculan Laqqus sebagai “penolong”.
Didorongi rasa bersalah dan kesedihan, Luth menerima tawaran ayahnya, Jalis (Jalil) yang disamari Laqqus, mengaburkan sempadan realiti dan tipu daya, sehingga menjerat dirinya dalam kematian dan penderitaan orang di sekelilingnya – Taza (Amerul), Nafis (Naque), Wani (Noorkhiriah), dan Murni (Mila), serta Imam (Ismail) – semuanya permainan syaitan.

Apakah gangguan yang dialami Luth benar-benar datang dari alam lain, atau sekadar manifestasi dari jiwa yang semakin rapuh, dapatkan jawapannya dengan menonton sendiri di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025.