Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Komunikasi Korporat telah menganjurkan Malam Sekalung Seni dan Anugerah Bintang Popular Karyawan DBP (ABPDBP) 2025 bagi mengiktiraf dan menghargai karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam pelbagai kategori serta bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam lapangan seni dan budaya.
Malam Sekalung Seni dan Anugerah Bintang Popular 2025 yang berlangsung serentak dalam suasana penuh debaran di Balai Budaya Tun Syed Nasir, semalam meriah dengan kehadiran penonton yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepada calon akhir ABPDBP bagi setiap kategori serta peserta Sekalung Seni yang bertanding.
ABPDBP 2025 diperkenalkan buat julung kalinya oleh DBP sebagai inisiatif baharu untuk mengiktiraf karyawan DBP dalam pelbagai kategori yang dicalonkan, manakala Sekalung Seni yang merupakan acara tradisi DBP menjelang ulang tahun DBP pada setiap tahun pula bermatlamat untuk menggilap bakat terpendam tertutamanya dalam kalangan karyawan DBP, di samping mengeratkan silaturrahim sesama karyawan yang telah lama berkhidmat dengan karyawan baharu.
Tema Sekalung Seni pada tahun ini mengetengahkan konsep Deklamasi Lakonan (DEKON) dengan menampilkan tema “Kemanusiaan”, iaitu sebuah tema yang memerlukan peserta menampilkan nilai kasih sayang, perjuangan dan keinsanan sejagat yang disampaikan dalam bentuk persembahan teater.
Pada masa yang sama, pengumuman senarai penerima ABPDBP diumumkan secara berselang seli dengan pertandingan DEKON Sekalung Seni 2025. Pengumuman Bintang Paling Popular yang paling ditunggu-tunggu pula diumumkan pada kemuncak acara, serentak dengan keputusan pertandingan DEKON Sekalung Seni.
Bagi kategori Anugerah Bintang Paling Popular dan Anugerah Abdullah Munsyi dimenangi oleh Encik Azhar Mohamad Dora, Mantan Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang diwakili oleh anaknya, Izhan Syafiq Azhar. Anugerah Bintang Paling Popular dinilai berdasarkan undian tertinggi yang diterima oleh calon dalam kategori yang dicalonkan.
Anugerah Permata (karyawan dengan perkhidmatan 10 tahun) jatuh kepada Encik Haziq Zakaria dari Bahagian Komunikasi Korporat. Kategori Anugerah Hang Nadim pula berpihak kepada Encik Mohamad Firdauz Abdul Razak dari Bahagian Multimedia, manakala Kategori Anugerah Teja dimenangi oleh Encik Lahami Ahmad dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
Selain itu, kategori Hassan Ahmad dimenangi oleh Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Encik Abdul Ghani Abu; manakala bagi kategori Bitara pula dimenangi oleh Bahagian Multimedia dan diterima oleh Ketua Editor Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof.
Sementara itu, bagi Anugerah Seri Pinang, program Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diiktiraf sebagai pemenangnya dan diterima oleh Bahagian Pemasaran dan Pengedaran yang diwakili oleh Encik Abdullah Illah Aminuddin; manakala Kategori Anugerah Ungku Aziz dan Bayan Budiman dimenangi oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Encik Saifulizan Yahaya yang diwakili oleh Encik Nor Mohamad.

Bagi pemenang hadiah sagu hati, Kumpulan Sanubari Timur dari DBP Wilayah Timur menerima sagu hati tempat ketujuh dengan tema persembahan Racun Dizahir, Penawar Dibatin, diikuti oleh saguhati tempat keenam yang jatuh kepada Kumpulan Jiwa Kata dari Jabatan Penyelidikan Bahasa dan Sastera dengan persembahan bertajuk Wangian Syuhada.
Kumpulan Shamura Nabalu dari DBP Cawangan Sabah menerima sagu hati tempat kelima dengan tema persembahan Ketika Terkeluak Pintu Halangan, manakala saguhati tempat keempat diterima oleh Kumpulan Niskala dari Jabatan Dasar dan Penyelidikan dengan persembahan bertajuk Pesan Ibu Beribu-ribu.
Kumpulan Sarimanok dari Jabatan Penerbitan menerima sagu hati tempat ketiga dengan peersembahan bertajuk Salam Benua. Kumpulan Surrrr dari DBP Wilayah Utara pula menerima saguhati tempat kedua dengan tajuk lakonan mereka, iaitu Di Bawah Langit yang Sama, manakala sagu hati tempat pertama jatuh kepada Kumpulan Zas dari Pejabat Ketua Pengarah dengan persembahan bertajuk Di Bawah Bumbung DBP Musafir.
Pertandingan DEKON Sekalung Seni 2025 menyaksikan Kumpulan Sri Nopeng dari DBP Cawangan Sarawak dengan persembahan mereka yang bertajuk Salam Damai yang Hilang muncul sebagai juara menerusi persembahan bertenaga dan dianggap oleh juri sebagai menepati tema kemanusiaan. Naib juara pula disandang oleh Kumpulan Pancaraksara dari Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, manakala tempat ketiga pula berpihak kepada Kumpulan Teja Kasturi dari Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).



Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Bahagian Pentadbiran Am, YBrs. Encik Hasmadi Mohd Ali, Ketua-ketua bahagian dan karyawan DBP.