Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorgetown – Penang Hidden Gems, sebuah kolektif seni dan budaya telah menganjurkan forum berkenaan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, iaitu “Deconstructing P. Ramlee: Talks and Scenes (Membongkar P. Ramlee: Bicara dan Babak)”, baru-baru ini.
Forum tersebut menampilkan tiga orang panel yang mewacanakan kembali Tan Sri P. Ramlee dari aspek pengkaryaan dan resepsi khalayak di COEX@Kilang Besi.
Panel pertama, iaitu Dr. Nazirul Hazim A. Khalim dari Universiti Monash Malaysia membentangkan tajuk “The Timelessness of P. Ramlee (P. Ramlee Abadi Sepanjang Zaman)”.
Dr. Nazirul Hazim membuka acara dengan renungan tentang keabadian karya Ramlee—bagaimana hasil seninya masih relevan, meskipun norma masyarakat telah berubah.
Seterusnya, Hassan Abdul Muthalib dengan tajuk “The Extrinsic and The Intrinsic: The Cinematic Storytelling of P. Ramlee (Yang Tersurat dan Yang Tersirat: Penceritaan Sinematik P. Ramlee)”

Dalam perkongsian yang disampaikan, beliau mengupas tentang teknik penceritaan ekstrinsik dan intrinsik dalam sinema P. Ramlee. Sebagai contoh, beliau mendedahkan pengaruh pengarah dunia seperti Akira Kurosawa, khususnya dalam bahasa visual filem Semerah Padi, serta penggunaan bunyi bukan diegetik yang inovatif dalam Ibu Mertuaku.
Beliau menyifatkan teknik-teknik ini sebagai “naratif senyap” menyerlahkan sentuhan P. Ramlee yang sering dipandang rendah sebagai seorang pembikin filem.
Panel ketiga dan terakhir, Raihani Mohd. Saaid pula membentangkan “P. Ramlee: Kritikan Pelbagai Cara”.
Dalam forum tersebut, penonton juga diakrabkan semula dengan legasi karya dan pemikiran P. Ramlee menerusi petikan babak dan lagu-lagu yang tidak pernah lagi ditayangkan kepada umum.
Malah, penonton turut berpeluang mendengar kupasan tentang bahasa wayang P. Ramlee serta pertembungan antara nilai tradisi dengan moden dalam karya-karya beliau melalui unsur satira.
Dalam memeriahkan suasana, penonton berpeluang melihat persembahan tarian dan lakonan semula babak-babak dari filem P. Ramlee oleh kumpulan SuperGirls serta para artis dari MyPENANG Creative.
Turut memeriahkan majlis ialah pasukan filem Mencari Ramlee yang terdiri daripada pengarah, pelakon dan anggota produksi serta Seniman Datuk Ahmad Fauzee yang terkenal sebagai pejuang legasi karya P. Ramlee sejak dekad 1980-an.

Selain forum, malam tayangan eksklusif filem Mencari Ramlee anjuran pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera turut diadakan di panggung GSC, Plaza Gurney.
Majlis tersebut turut menyaksikan kehadiran teraju utama filem Mencari Ramlee, iaitu Megat Sharizal dan para pelakon utama seperti Tony Eusoff, Sofea Jane dan Han Zalini.
Mencari Ramlee merupakan sebuah filem mengenai Zakaria, seorang penghibur pengajuk (impersonator) P. Ramlee yang berhutang dengan seorang lintah darat bernama Yusuf.
Untuk menyelesaikan hutangnya, Yusuf mahu Zakaria terus menyamar sebagai P. Ramlee demi kakaknya yang menyangka bahawa legenda itu masih hidup. Filem yang berlatarkan tahun 1973 ini mula ditayangkan di pawagam pada 19 Jun 2025.
Terdahulu, Minggu Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee anjuran Penang Hidden Gems diadakan sebagai tanda ingatan serta sanjungan kepada seniman agung tersebut di tanah kelahirannya sendiri.
Acara telah dibuka pada 13 Jun dengan satu sesi fotografi istimewa bertemakan era kegemilangan P. Ramlee di Butik KHATAM, Jalan Transfer.
Khalayak daripada pelbagai lapisan umur dan ras memberi warna kosmopolitan terhadap acara sanjungan seni ini.