Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRanau – Puncak sambutan Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, Sabah, menyaksikan seorang bakal guru Bahasa Melayu, Atitih Yatih Robert, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Tahun 2025.
Atitih Yatih Robert, 26 tahun yang mewakili daerah Tamparuli, berjaya menewaskan 51 peserta lain dari pelbagai daerah dan zon yang bertanding dalam pertandingan ratu cantik tradisi negeri Sabah.
Pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan sejak tahun 1960 merupakan acara kemuncak Pesta Kaamatan yang bertujuan untuk memelihara dan mempromosikan kebudayaan etnik Kadazandusun Murut.
Bakal guru ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, dan kini sedang menunggu penempatan beliau sebagai seorang guru.
Sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Tahun 2025, Atitih Yatih Robert membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai berjumlah RM15,000, serta pelbagai hadiah iringan lain daripada pihak penaja.
Kemenangan ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada dirinya, tetapi juga mengangkat nama Tamparuli di pentas negeri.
Unduk Ngadau Kaamatan bukan sekadar pertandingan kecantikan, malah merupakan simbol kepada semangat “Huminodun”, iaitu pengorbanan dan kerendahan hati seorang wanita yang penting dalam mitologi Kaamatan.
Pertandingan ini juga berperanan sebagai platform untuk memupuk dan menghargai nilai tradisi, bahasa dan budaya masyarakat Kadazandusun Murut kepada generasi muda, khususnya di Sabah.