Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kisah kehilangan mendadak Louis James Fraser (Tuan Fraser) yang misteri pada tahun 1910 telah menarik minat syarikat produksi Millionaire Films Production Sdn. Bhd. (MFP) untuk menerbitkan filem yang diberi judul Misteri Fraser 1910.
Nama Tuan Fraser dari Scotland itu cukup dikenali sebagai individu yang meneroka Bukit Fraser di daerah Raub, Pahang, iaitu salah sebuah pusat peranginan yang popular.
Menjelang tayangan umumnya di pawagam di seluruh negara, MFP menganjurkan Majlis Malam Gala Misteri Fraser 1910 di GSC Mid Valley pada 18 Jun lalu.
Penerbit Misteri Fraser 1910 (MF1910), Puan Elanie Aidid memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan filem tersebut tercetus ketika beliau mencari lokasi penggambaran sebuah filem lain di Bukit Fraser pada tahun 2019.

“Semasa di situ, kami terbaca sejarah tentang Fraser yang hilang secara misteri selepas menemui lubuk bijih timah, dan langsung tidak ditemui. Ada juga beberapa laluan mendaki di situ turut dinamakan bersempena dengan nama orang yang terlibat dalam pencarian Fraser seperti Bishop Trail dan Abu Suradi Trail,” jelas beliau.
“Hal itu mencetuskan ilham kepada saya untuk terus mengkaji dan mencipta teori fiksyen kehilangan peneroka tersebut sehinggalah terbitnya filem ini,” jelas Elanie.
Tambah Elanie, kisah kehilangan Fraser menarik untuk dijadikan filem kerana kisah tersebut cukup popular sehingga sering dicari di Internet sama ada di dalam mahupun di luar negara.
“Jadi, filem ini ialah inspirasi kisah benar tentang kejadian yang berlaku 115 tahun yang lalu, dan ditokok tambah menerusi hasil kajian cerita penduduk setempat dengan elemen komersial untuk tontonan di pawagam,” katanya.

Menurut Elanie lagi, skrip filem tersebut dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem.
“Penulis skrip dibimbing dan dipantau oleh Panel Skrip FINAS yang berpengalaman mengendalikan perkembangan cerita, dari mula hingga tamat supaya jalan ceritanya berkembang dengan baik,” tambah Elanie sambil menegaskan filem sulung terbitan syarikatnya ini wajar ditonton kerana menampilkan kisah yang cukup menarik.
Jelasnya, keunikan MF1910 tidak hanya terletak pada kisah seram semata-mata, malah kekuatannya turut ada pada unsur lain seperti kisah sejarah, dan penonton akan dibawa kembali ke dunia klasik tahun 1910 dengan dialog bahasa baku lama, busana klasik, serta peralatan pentas yang bertepatan dengan era tersebut.
“Sebagai penerbit, pastilah saya berharap filem ini dapat diterima penonton dan bermanfaat untuk pengetahuan umum,” ujar Elanie.
Menariknya, MF1910 telah dipilih memenangi kategori Best First Time Filmmaker, LiZ Off Global Network Sessions Vol., 4 (Pinewood Studio, United Kingdom), dan bersaing dengan 26 buah filem dari negara lain.
MF1910 mendapat undian tertinggi di festival filem yang berlangsung dari 21 April 2025 hingga 4 Mei 2025 itu, yang datang daripada penonton luar negara.