Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Baiq Nurhani Balqis Murtam, pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist Kuantan dan Mohamad Aswad Shamsuddin dinobatkan sebagai johan dalam Program Pencungkilan Bakat Seni Pahang 2025 melalui dua kategori utama yang dipertandingkan, iaitu Lagu Rakyat dan Irama Malaysia.
Baiq Nurhani Balqis Murtam yang dikenali sebagai peserta realiti The Chosen One dan tampil dengan lagu Burung Kenek Kenek, berjaya mempertontonkan kepada umum bahawa bakatnya bukan calang-calang apabila persembahannya yang diiringi oleh dua penari tradisional berjaya menambat hati para juri dan penonton.
“Saya sangat bersyukur dan terharu. Kemenangan ini untuk kampung saya dan untuk seni budaya kita yang semakin dilupakan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Aswad Shamsuddin pula menyerlah dengan vokal mantap menerusi lagu Nyanyian Serambi, dan turut merangkul Anugerah Finalis Paling Popular selepas mencatat 155 undian.
“Saya menyertai pertandingan ini untuk menyemarakkan semula seni suara tradisional. Saya bangga dapat menyumbang sesuatu untuk irama warisan,” katanya.
Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 berserta trofi.

Sementara itu, naib johan bagi kategori Lagu Rakyat dimenangi oleh Siti Norhaidar Mohd Mustapha menerusi lagu Walinong Sari, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Saiful Bahri Shamri dengan lagu Lemak Manis.
Naib johan bagi kategori Irama Malaysia pula dimenangi oleh Siti Ainsyah Mustafa menerusi lagu Arena Rambong, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nurain Noor Azam dengan Dikir Puteri.
Masing-masing bagi kedua-dua kategori tersebut menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan RM700 berserta trofi.
Program Pencungkilan Bakat Seni Pahang 2025 anjuran Pertubuhan Kompang Negeri Pahang (PKNP) dengan sokongan penuh (JKKN) Pahang serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini melabuhkan tirainya malam tadi di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang.
Program bertemakan “Kampung Koi Ada Bakat” ini berjaya menghimpunkan bakat seni suara terbaik dari seluruh Pahang, sekali gus mengangkat martabat muzik tradisional dan irama Malaysia ke pentas yang lebih berprestij.
Barisan juri akhir terdiri daripada tokoh seni suara dan muzik tersohor Pahang, iaitu Encik Rabiulawal A. Anuar, Tuan Syed Indra Syed Omar atau lebih dikenali sebagai SISO daripada kumpulan Kopratasa dan Toh Puan Roslizawati Abdul Rahman.
Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat; YH Dato’ Sharuddin Jali, Pegawai Daerah Kuantan yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir ialah Encik Mohd Rizal Ismail, Pengarah JKKN Pahang; dan Encik Abdul Jamil Wahab, Pengerusi PKNP.
Program ini berjaya menarik lebih 500 penonton yang hadir, membuktikan bahawa seni tradisional masih mendapat tempat dalam hati masyarakat.
Program Pencungkilan Bakat Seni Pahang 2025 bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform untuk memperkasakan seni warisan dan menyemai rasa cinta terhadap budaya sendiri.